Showing posts with label Resepi. Show all posts
Showing posts with label Resepi. Show all posts

Friday, January 19, 2018

Azam Pertama 2018. #1M1K


Bismillahirahmanirrahim..

Sudah terlambat agaknya bila baru mula menaip post pertama di tahun 2018. Hari ini sudah hari ke 18 berlalu.

Bermula 1 januari sekolah bermula, tak cukup tangan hendak menaip. Barangkali juga lupa adanya blog yang dibuka bagi mengasah bakat menulis dan berkongsi cerita. Paling utama, buntu ayat mana harus dimulakan bagi memulakan permulaan tahun baru.

Ya...masih belum bertemu impian dan harapan bagi 2018. Banyak suka dan duka silih berganti di tahun 2017, menyebabkan hati tak sanggup lagi merancang. Beratnya untuk redha dengan ketentuan Illahi yang memberi dan menarik nikmat sekelip mata. Allahuakbar!!

Bagi meningkatkan kepuasan diri. Azam pertama saya untuk tahun 2018 adalah nak tambah kemahiran membuat kuih tradisional. Maka dengan itu, kena rajin buat kuih. Kita tetapkan matlamat dengan 1 minggu 1 kuih. #1M1K



Seri muka labu.
Minggu pertama sekolah rasa nak makan seri muka. Oleh kerana pandan baru mula ditanam dan tak terfikir nak ambil lebih dari rumah mentua tempoh hari, jadi kita oleh guna labu yang dilenyek. Resepi agak-agak mengikut resepi seri muka durian. Rupa dah menarik, rasa menarik.


Kuih lapis.
Minggu kedua kita melapis kuih. Mudah juga kuih kukus. Dalam masa 1 jam dah siap. Tapi masa untuk dimakan kena tunggu sejuk baru molek untuk dipotong.


Kek kukus pisang.
Kali ini bukan minggu ketiga, tapi entah tengah gian nak mengukus. Tapi itulah, pahit pulak kek. Tak tahu maba silap. Kemungkinan besar mungkin jenis pisang kurang sesuai.


Karipap.
Mengubat kekecewaan, kita rehat sekejap menggunakan pengukus.maka muncullah air tangan kita si karipap inti kentang. Tambahan pula kita boleh sejuk bekukan dan mudah digoreng pagi untuk bento ke sekolah.


Apam gula merah.
Siapa kata dah kecewa tak boleh teruskan hidup. Kita cuba juga bercinta dengan pengukus. Sebenarnya dah lama termimpi nak buat apam. Tapi kengkangan mencari kelapa parut yang tak ketemu. Akhirnya jumpa satu kedai, tapi alahai....di parut sampai ke tempurung. Tak molek sikit warna kelapa.

Cukuplah untuk menunjukkan semangat mengobar-gobarkan impian azam tercapai. Akan datang menu minggu ke empat muncul bersama dengan resepi. InsyaAllah.

Azam pertama tahun 2018. Azam seterusnya masih dalam perancangan.

Semoga memberi manfaat.

Assalamualaikum.


Friday, October 31, 2014

FROZEN in the house.


Hi, Assalamualaikum.

Awal pagi begini, kalau hari sekolah memang dah tiga jam dalam perjalanan ke Jepun. Tak mungkin akan ada sebarang cerita ditaip waktu-waktu begini..hihi

Baru-baru ini seorang teman sebelah meja berkongsi resepi membuat kuih sejuk beku atau lebih 'femes' dikenali sebagai 'FROZEN FOOD'. Setelah mencari bersama pakcik Google ternyata kebanyakkan rahsia kuih sejuk beku tidak dipaparkan. 

Rata-rata hanya berkongsi teknik yang sama. Ada dua teknik yang serupa digunakan oleh suri rumah tangga @ ibu mithali diluar sana. 

1. Beku terus.
Karipap yang sedia dicetak akan disimpan ke dalam peti ais sekejap, mungkin dalam beberapa minit. Kemudian dikeluarkan untuk terbalikkan karipap tadi dan disejukkan lagi beberapa minit. Selepas beku sepenuhnya, barulah disimpan dalam bekas kedap udara ataupun plastik. Akhirnya boleh simpan dalam peti ais semula.

2. Goreng separuh.
Teknik kedua ini paling banyak dikongsikan. Karipap yang sedia dicetak, digoreng separuh masak. Kemudian setelah sejuk dan minyak telah kering, barulah dibungkus dalam bekas kedap udara ataupun plastik. Seterusnya disimpan dalam peti ais.


Bagaimana dengan teknik yang saya dapati dari rakan sebelah meja?

Memang saya tak jumpa teknik ini apabila bertanya kepada pakcik Google. Penat juga mencari. Tapi tak berpeluh lagi..heh.

Menurut rakan saya, teknik ini diperolehi oleh kakaknya yang telah mengikuti kursus makanan sejuk beku.

Maafkan saya jika teknik ini sebenarnya yang dipraktikkan oleh pengusaha sejuk beku yang selama ini menjadi rahsia peribadi dan teknik ini bukan untuk sebaran ramai. Maafkan saya. Bagi saya ilmu perlu dikongsi, rezeki ada dimana-mana. 

Caranya mudah juga dan saya kira lebih baik sebab lebih sihat. Kemudian karipap boleh disimpan lebih lama. Karipap yang sedia dicetak dikukus sekejap dalam 3 minit dan apabila sejuk, barulah disimpan dalam bekas kedap udara ataupun plastik. Setelah siap boleh disimpan dalam peti ais. Mudah sahaja.

Apabila mahu digunakan, keluarkan peti ais dan terus digoreng tanpa perlu menunggu karipap pada suhu dapur. Mudah macam goreng nugget kan.


Bagaimana? Agaknya laku ke kalau dijual? Tapi rasanya sekadar hobi suka-suka. Mudah ada kuih sejuk beku, kalau ada tetamu senang nak dihidang. 

Sesiapa yang hendak mencuba dipersilakan. Boleh buka pernigaan kuih sejuk beku. Kalau berminat nak tahu lebih lanjut, boleh email nooryan315@gmail.com.

Ok, nak ucap selamat malam ke? :P

Saturday, October 11, 2014

Resepi : Serunding Anak Menantu.


Semalam saya jadi rajin hendak mencuba resepi baru. Serunding kelapa bersama daging korban. Sebenarnya lama nak cuba resepi ini sejak berhari raya Aidilfitri yang lepas. Sebabnya nampak serunding emak mentua lain benar dengan serunding emak sendiri. 

Makanya saya tunggulah raya Aidiladha pula sebab beraya di Muar pula. Malangnya emak mentua dah siap tempah serunding dengan orang kampung. Alaaa....hancus musnah impian nak curi resepi.

Tapi tak mengapa dengan bantuan emak sendiri, kami reka-reka serunding emak mentua berdasarkan rasa-rasa 'kunjungan' berkat raya.

Kita ringkaskan cerita, saya kongsikan resepi serunding misteri itu. Saya namakan Serunding Anak Menantu.

Bahan-bahan.
Kelapa parut - disangan (goreng tanpa minyak)
Daging - direbus dan dikerat 18x
Bawang merah - 3 ulas
Bawang putih - 3 ulas
Kunyit
Halia
Ketumbar + Jintan - 1 sudu
Lada putih + Lada hitam - 1 sudu
Garam + Gula + Kiub ayam
Minyak - untuk menumis

Cara memasak.
1. Bawang-bawang, kunyit, halia, ketumbar, jintan, lada putih dan lada hitam kisar. Gunakan air secara minima.
2. Tumis bahan yang dikisar sampai naik bau. Masukkan daging bagi nak pastikan daging ada rasa rempah. Kacau sampai kering.
3. Masukkan kelapa yang siap disangan. Guna api kecil dan kacau sampai kering. 

Tadaaaa......


Sebelum itu minta pendapat anak emak mentua. Tapi macam biasa responnya. Dah boleh agak bagaimana...hahaha.


Ok la. Serunding Anak Menantu selamat dihidang. Esok nak bawa ke sekolah. Nak tengok komen isteri solehah dan ibu mithali bagaimana pula. Heh :P


Thursday, October 02, 2014

Resepi : Karipap Sardin Kentang



Bahan inti :
Kentang 5 biji - cincang dadu
Bawang merah 2 ulas : racik halus
Bawang putih 3 ulas : racik halus
Cili padi 5 biji : racik halus
Sardin jenama Ayam Brand : lenyek
Serbuk cili 1 sudu : bancuh dengan sedikit air
Serbuk kari 2 sudu : bancuh dengan sedikit air
Daun bawang dan daun saderi : potong halus
Garam  dan gula

Tumis bawang merah dan putih sampai naik bau. Masukkan cili padi sampai naik bau. Masukkan bancuhan serbuk cili dan kari sampai naik bau lagi. Campak sedikit garam dan gula. Kemudian masukkan kentang dan sardin juga letakkan sedikit air (agak-agak hampir tenggelam kentang). Tutup kuali dan api kecilkan. Tengok sekali sekala dan sampai kentang empuk. Lepas empuk, padam api dan masukkan daun hirisan tadi. Biar sejuk.

Bahan doh :
Tepung gandum 400 g
Minyak masak 4 sudu : panaskan
Air sejuk
Garam dan gula

Tepung gandum sebatikan dengan secubit garam dan gula. Masukkan minyak panas dan kacau guna sudu. Kemudian baru ratakan dengan tangan semua dengan masukkan air sedikit demi sedikit sampai jadi doh.

Ok siap. Boleh mulakan aktiviti mencetak.

Tips :
1. Guna serbuk kari ikan 
2. Air sejuk untuk hasilkan kulit karipap yang meletup-letup apabila digoreng
3. Minyak masak dipanaskan


Friday, September 19, 2014

Resepi Pizza ekkkpress.


Hi, Salam Jumaat.

Genap seminggu cuti sekolah. Apa perkara yang paling best untuk tambah semangat untuk ke sekolah?

Kebetulan memang tengah mood rajin memasak melihat menu masakan. Kita nak kongsikan resepi pizza ekkkpressss. 

Caranya paling mudah dan ringkas. Anak buah darjah enam pun boleh mencuba. Pertama kena pastikan sambungan internet dirumah sentiasa lancar. Tujuannya? Mestilah mudah nak baca menu saya ini. Kalau tiada internet bagaimana nak baca menu kan kan.

Sebelum itu, buka link ini. Daftar masuk sebagai pengguna pertama kali. Kalau dah ada akaun, gunakan yang sedia ada. 

Selepas itu, pilihlah jenis pizza pilihan. Ikutkan sahaja arahan yang diberi. Jangan lupa alamat rumah...kang ditunggu-tunggu tak kunjung tiba. Kalau rasa belum berapa pandai nak pilih, kita boleh telefon nombor 1 300 888 333. 

Ekkkpresss betul penghantaran. Susah benor nak lewat 30 minit...kalau lewat dapat piza percuma untuk pembelian akan datang...hihi...belum rezeki :P

Sememgnya Dominos pizza yang terbaik...hihi. Puji ada makna...tolonglah bagi point nuffnang. Krik...krikkk


Susah rupanya nak menaip menggunakan telefon kecil. My tab cepatlah sembuh, janganlah merajuk......kita belanja pizza ni.

Lusa sekolah dah, kita pun lapar dah.
Mana orang yang belanja air kelapa goyang (baca sebagai coconut shake) ni...panjat pokok kelapa ke agaknya.



p/s: sekarang mood membaca kembali...tunggu review. Ok :)

Friday, August 15, 2014

Mee Goreng Pantas Kilat


Assalammualaikum. 

Hi semua. Selamat Hari Raya. MAAF ZAHIR BATIN. 

Hari ini emak cuti masak, sebab ada jamuan rumah terbuka jiran sebelah. Makanya, malam baru nak mulakan aktiviti masak. Malam ini saya fikirkan adik lelaki yang akan masak, rupanya dia didapur menyiapkan bahan katering untuk esok. Hampessss.....

Ok, tak mengapa. Sesiapa rasa nak follow menu ringkas dan cepat pantas untuk makan malam. Meh sini saya tunjukkan. Kurang dari 20 minit sahaja.

Mee Goreng Pantas Kilat.

Bahan-bahan
Mee Kuning - 500g 
Udang
Bebola ikan
Taugeh
Sawi
Daun sup
Daun saderi
Lada merah - 2 biji (dihiris)
Bawang merah - 2 ulas (tumbuk)
Bawang putih - 3 ulas (tumbuk)
Serbuk cili - 2 sudu (bancuh dengan air)
Ikan bilis - 10 ekor (tumbuk)
Sos cili - 2 sudu
Sos tiram - 2 sudu
Kicap - 1 sudu
Telur - 2 biji

Cara Memasak
1. Panaskan minyak dan tumis bawang. 
2. Naik bau dan masukkan bancuhan serbuk lada. 
3. Masukkan ikan bilis yang ditumbuk.
4. Masukkan udang dan gaul sekata.
5. Masukkan bebola ikan dan gaul rata. 
6. Masukkan sos cili, sos tiram dan kicap. Kacau lagi dan masukkan telur.
7. Letak garam, gula dan ajinomoto. Ikut selera lidah masing-masing. 
8. Masukkan mee kuning dan gaul sekata sampai naik bau.
9. Masukkan sawi, lada merah dan taugeh.
10. Masukkan daun bawang dan daun saderi.


10 langkah sahaja boleh siap kurang dari 20 minit. Terkejar-kejar nak buat semua..hehe..sebenarnya ada menu rahsia untuk lagi sedap. Saya letak 3 sudu sambal kacang yang kebetulan ada dalam peti ais. Makin naik rasanya...wallaaaa...




Ok, sedia untuk dijual dimakan. 



Wednesday, August 13, 2014

Misi BOM udang disebalik batu.


Hi...hi semua, Assalammualaikum. 

Selamat Hari Raya,  MAAF ZAHIR BATIN.

Seperti yang dirancang dan dijanjikan. Hari ini misi seterusnya membuat bom (sila baca sebagai cucur). Setiap waktu terluang, asyik berfikir bahan apa yang diperlukan lagi dalam bom nanti. Rasanya udang besar tak perlu, beli udang baru yang kecil sedikit. Takut pula tak cukup..maklumlah, selalunya berkaitan dengan menu udang cepat habisnya.

Kurangkan merepek yang bukan-bukan. Kita terus tengok apa bahan yang diperlukan. Oh yea, untuk pembetulan yang bom udang tak perlu pun telur sebenarnya. Tapi saya gunakan juga telur untuk lebih sedap dan adunan jadi gebu.

Sebelum itu juga. Seperti biasa dimanakah inspirasi resepi saya jumpa? Bukan lagi buku resepi emak, saya gunakan khidmat pakcik google yang baik hati. Tekan sahaja kata kunci 'cucur udang' berlambak akan jumpa. Saya rujuk blog ini sahaja - Dapur Tanpa Sempadan.


Bom Udang disebalik batu

Bahan-bahan
Tepung gandum
Yis segera (mauripan)
Udang
Lobak
Daun bawang
Daun saderi
Daun kucai
Taugeh
Lada merah
Bawang merah
Telur ayam

Bahan-bahan untuk sos
Lada merah
Bawang putih


Cara membuatnya
1. Siapkan bahan semua, udang dibersihkan dan lap guna tisu untuk kurangkan air. Sayur dipotong semua macam dalam gambar atau ikut suka hati.
2. Kemudian campur tepung, garam, gula dan yis. Ukuran ikut suka hati masing-masing. Gaul rata.
3. Pecahkan telur. Gaul rata dan sebati.
4. Masukkan air dan agak-agak sahaja, jangan terlampau lembik atau keras. Macam adunan buat jemput-jemput biasa...hihi, macam bom pisang semalam. Boleh tengok gambar dibawah.
5. Masukkan bahan selebihnya dan gaul rata.


6. Lupa nak bagitahu, saya bagi sedikit serbuk kunyit. Entah nak bagi warna kuning sedikit kot..hihi
7. Gaul sebati seperti dibawah. Biarkan sekejap tunggu yis berkerja dengan efisien.


8. Ok sekarang dah naik. Gaul lagi sebelum goreng. Seperti saya bagitahu semalam, supaya bila masuk kuali panas bom akan naik lagi cantik dan minyak tak masuk.


Tadaaaaa.....wah, best tak? ;)


Eh lupa nak bagitahu cara buat sosnya. Kisar guna blender lada merah dan bawang putih. Masak sehingga pekat, masukkan sos cili maggi, cuka jalen dan kicap jalen. Garam dan gula jangan lupa. Semua ukuran ikut suka lidah...hihi



Alhamdulillah,  selamat dibedil oleh mulut anak buah yang kebetulan balik. Siap plan boleh dijual dengan harga sebiji seringgit sebab besar sangat saiznya...hahaha


p/s : ekkk....dato tak jeles ke...hikhik

Tuesday, August 12, 2014

Misi BOM kampung pisang.


Hi, Assalammualaikum. 

Selamat Hari Raya semua. MAAF ZAHIR BATIN. 

Jika siang tadi mata asyik nak melelap. Selepas dicuit, mata terus segar. Otak terus cari idea nak berfikir. Berfikir menu berbuka sempena berakhirnya misi berpuasa enam hari ini. Alhamdulillah.


Masih teringat masak lemak cili padi udang besar minggu lepas. Terkecewa tak dapat membeli ketam biru sebab sudah diborong pembeli lain. Ada baki udang lagi. 

Misi membuat cucur udang. Keluarkan udang dari peti ais. Kemudian mencari buku resepi kuih emak. Alamakkkkkkk....telur ayam takda.

Pening pening. Bebel sorang kat bilik belakang. Sambil kepala ligat fikir, takda telur tak menjadi ke cucur udang nanti?

Oleh kerana bimbang misi gagal. Terus tukar ke Bom kampung pisang.

Bahan-bahan :
Pisang
Tepung gandum
Soda bikarbonat
Yis kering (mauripan)
Gula
Garam

Cara membuat :
1. Pisang siap kupas. Letak sedikit gula dan garam untuk tambah sedap. Agak sendiri. Sudu kecil soda bikarbonat. Sudu kecil yis kering. 
2. Ramas semua bahan sampai lumat.
3. Tambah tepung. Pandai agak sahaja. Jangan terlampau lembik nanti goreng berminyak. Jangan terlebih tepung, nanti boleh buat bom ayam belakang rumah pula.

Kalau sama dengan cara saya, anda mungkin dapat hasil seperti ini. Tinggal sebentar nak beri masa untuk soda bikarbonat dan yis bekerja dengan efisien. Lebih kurang 20-30 minit. Bergantung masing-masing. Sebab saya tak set jam...hihi


Selepas tinggal sebentar, kacau lagi bahan diatas. Jangan risau kalau menurun sedikit. Macam buat donut, kena bagi turun sikit baru boleh goreng. Supaya dalam minyak akan naik cantik.

Tadaaa....cantik bulat Bom Kampung Pisang saya. Lalallaa....



Selamat Hari Raya semua. Selamat berpuasa enam di bulan syawal. 


p/s: hari ini percubaan spm peringkat sbp subjek fizik. Tahniah anak murid semua. Ada dua cabaran lagi. Jaga kesihatan, jaga diri yea..



Saturday, December 14, 2013

Kentang Putar KFC.


Assalamualaikum. 

Hi semua. Genap seminggu tak menaip. Buku yang dibaca pun tak habis lagi sebenarnya. Kali ini nak kongsi resepi. Percubaan baru dari saya membuat kentang putar seperti yang dijual oleh KFC. 

Kalau gunakan pakcik google saya, mesti berbagai resepi muncul. Kebanyakkan semua sama dan lebih kurang. Ini saya taip bukanlah bermaksud resepi saya yang paling bagus. Sekadar untuk saya gunakan dimasa depan. Resepi kentang putar begini bagus juga dimakan oleh bayi 6 bulan ke atas. Cuma kurangkan penggunaan lada hitam dan lada putih serta perasa tambahan. Bagus juga untuk orang yang malas makan sebab terpaksa kunyah makanan, macam saya..hihi ;)



Bahan-bahan seperti di atas ada kentang, 3 ulas bawang merah, 2 ulas bawang putih, butter, susu, kiub ayam dan dalam bekas lada hitam dan putih yang siap dikisar. Tiada dalam gambar,  2 sudu tepung jagung dan 2 cawan air.

Mula-mula kita kupas kentang dan rebus dengan air cukup-cukup paras kentang. Gunakan api kecil dan tutup periuk. Letak secubit garam.

Sementara tunggu kentang, kupas bawang kemudian kisar (tumbuk guna lesung pun boleh). Dua sudu tepung jagung bacuhkan dengan air.

Kentang dah empuk, cucuk guna garfu untuk pastikan kentang semua sudah empuk di masak. Kalau ada air lebihan, buangkan air tersebut. Dalam keadaan kentang panas, lenyekkan kentang semua, masukkan sedikit butter untuk berikan permukaan berkilat pada kentang. Kemudian taburkan serbuk lada hitam dan putih. Kemudian masukkan susu untuk berikan kentang nampak gebu dan lembut. 

Butter,  lada hitam dan putih juga susu terpulang pada masing-masing. Nak sedap letak susu lebih sikit. Kurangkan pedas dengan kurangkan lada hitam dan lada putih. Tapi saya suka susu lebih...hihi, jangan terbanyak sangat nanti jadi berkuah pula kentang putar awak tu...


Kemudian,  untuk kuahnya. Semua bawang yang dikisar ditumis dengan 2 sudu butter (agak-agak je yea..). Kemudian biarkan sampai naik bau dan warnanya keperangan. Sedap bau ni mak saya kata...hihi

Barulah masukkan air dan tepung jagung dan 2 ketul kiub ayam. Biarkan mendidih. Oh ya lupa, api semua gunakan sederhana atau kecil. Senang nak kawal sebab bimbang terhangus...hihi

Sepanjang pemerhatian saya, kentang putar ini sedap sebab ada susu dan butter. Kuahnya pula guna butter dan kiub ayam. Kalau buat kek batik pun saya guna butter dan susu sebab rasanya lebih sedap dan berlemak. Butter dan susu penting sangat. Kiub ayam saya rasa satu cukup, tapi mak saya kata ini ok daaa...mungkin lidah saya kurang suka rasa perasa terlebih. Mak suka, saya pun suka....tunggu Jannah je ni. Ini Resepi Kek Batik.

Ok..taraaaaa...hasilnya....



Rasanya? Mestilah sedap hingga menjilat jari....kurang minyak, nampak macam menu sihat kan...selamat mencuba semua.



Saturday, November 24, 2012

Gulung dan Goreng


Salah satu tabiat saya dari zaman belajar dimatrikulasi sampailah sekarang, apabila membeli ROTI memang akan mengambil yang paling BESAR. Sebabnya, suka bandingkan harga roti yang kecil dan besar. Beza harga yang sangat ketara dan rasa rugi kalau beli yang kecil. Padahal..bila dah mula dekat dengan tarikh luput, rasa bersalah menyelubungi diri. Nasib baiklah sekarang setiap minggu atau dua minggu balik kampung, maka...roti yang dah nak 'expired' dapat juga diselamatkan.

Bagi sesiapa yang mengalami masalah yang sama dengan saya. Mengalami kebosanan menelan roti tawar atau roti cecah milo atau roti bakar atau dan sebagainya (apa jenis ayat ni ek :P). Bolehlah mengaplikasikan resepi kedua dari saya yang menggunakan bahan utamanya ROTI.

Jangan risau jikalau roti anda telah sampai tarikh luputnya atau telah terlepas. Roti anda masih bermakna sebelum mata anda dapat mengenalpasti wujudnya microorganisma. Mata anda. Bukan menggunakan microscope yea. InsyaAllah, belum pernah saya mengalami sakit perut makan resepi roti tamat tempoh. ^^

Sebelum ini, pernah kongsikan Resepi Puding Roti Berkaramel. Rujuk sini.

Resepi kali ini sangat la mudah. Hanya roti dan sardin kecil. Mula-mula hancurkan sardin. Tumis bawang dan lada dan masukkan sardin hancur. Ala-kadar sahaja, asalkan ada naik bau-bau wangi sardin. Kira dah ok la tu. :P

Sementara tunggu sardin sejuk. Ambil roti dan giling roti menggunakan gelas/cawan menjadi nipis sedikit  dan sekata seperti gambar dibawah ini yea.



Kemudian, ambil sedikit sardin yang telah disejukkan dan ratakan diatas roti sedia digiling tadi. Letakkan sardin sebahagian dari roti sahaja dan tak perlu tebal sangat isi sardin.


Selepas itu, bolehlah kita 'rolll....'  gulungkan roti semampat mungkin supaya gulungan roti menjadi comel-molek seperti yang saya buat ini. :D Pastikan gulungan roti betul-betul mampat supaya tak pecah apabila digoreng. Lekatkan hujung roti menggunakan bancuhan tepung (macam buat popiah).


Tarraaa...... ^^ Selesai sudah gulungan roti saya. Untuk hasil yang lebih baik, bolehlah simpan sebentar roti didalam peti ais. Untuk apa? Entah...saya tak pasti..tapi senang digoreng :P


Masa untuk mengoreng... :D Pecahkan sebiji telur dan taburkan sedikit garam, kemudian...kacau sehingga sebati. Golek-golekkan roti gulung sardin yang telah disejukkan, kemudian masukkan ke dalam kuali yang telahpun panas minyaknya. Sama sahaja cara menggoreng roti dengan menggoreng pisang ke, tempe ke...apa2 pun la.... Asalkan nampak keperang-perangan, bolehlah mula diangkat roti tadi.


Ini roti yang telah selamat dimandikan minyak panas. Amacam?


Untuk hiasan, bolehlah potong-pontong seperti sushi. Yes! Sushi Malaysia... :D


Rasanya? Tentulah sedap..ekekeeee :P Ini kes masuk bakul angakat sendiri. Tak mengapa, sebab saya ringgan sedikit dari orang tu...... >,<




Selamat Mencuba

May Allah Bless u

^_^


****************************


Monday, November 12, 2012

Resepi Puding Roti Karamel


Sila percaya semua. Ini memang bukan post yang salah. Resepi pertama saya ingin kongsikan bersama. Bila tengok blog-blog orang lain, seronok je mereka berkongsi pasal resepi masak-masak...maka saya pun sukacita nak kongsi resepi yang pernah saya buat dan kebetulan ada gambar.


Dan khas dari dapur fresh-fresh lagi, malam ini saya baru sahaja menyudahkan resepi Puding Roti Karamel. Sebelum ini pernah mencuba sekali puding roti, cuma tiada karamel dibawah je. Malah secara gigih saya 'google' resepi tersebut, malang sekalilah memang tak best lansung puding tu. Terusnya hanya menjadi hidangan ayam-ayam kesayangan Abah saya je. Nasib baik Abah tak marah. Kalau tidakkkkkk....sedekahkan je telinga nak dengar ceramah 'membazir'.


Bahan-bahan:

Bahan A :
2 sudu gula
2 sudu air

Bahan B :
5/6 keping roti (gunting kepad 4-6 bahagian)
1 biji telur
2 sudu gula
1 sudu tepung jagung
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan air
Soda bikarbonat
Secubit garam


Langkah-langkah :

Bahan A. Gula dipanaskan diatas kuali. Api kecil. Letakkan air dan kacau sehingga semuanya sebati dan berwarna keperangan. Macam gambar dibawah. 


Kemudian,  tuang larutan keperangan ini didalam loyang yang dirasakan sesuai. Larutan ini agak pekat dan sila cepat-cepat tuang dan pastikan lapisan tersebut rasa yea.

Alamak....serius saya tak sangka gambar yang dibawah adalah terbalik. Tapilah abaikan, asalkan mesej asal tersampai. Teruskan ke bahan B. Pukul telur bersama gula macam gamba terbalik dibawah sehingga gula larut/gebu. Ini tak kesah sangat, sebab kita buat puding bukan kek nak gebu-gebu telur tu. Asalkan gula telah larut, itu dah cukup ok. Sebab itulah saya hanya menggunakan garfu sahaja memulu telur tadi...hehe ^_^ Malas nak mencuci mesin-mesin kuih ni...lalalala~

Masukkan susu cair, air, soda bikarbonat, garam dan jangan dilupa tepung jagung. Kacaulah semua bahan ini sehinggalah nampak rata dan sebati yea.



Lepas sebati adunan bahan B tadi, jangan malu-malu nak masukkan kedalam roti yang sedia digunting. Saya tak gunting, saya carik-carik roti menjadik kecil. Mana-mana pun boleh, tiada masalah. Rendam-rendam adunan bahan B dengan roti.



Kemudian, jangan pula nak segan-segan tuang adunan roti dan bahan B kedalam loyang yang telah tersedia gula hangus tadi. Nampak tak kesan retak pada gula hangus saya tu. Gula hangus tu dah memekat betul dalam loyang. Bila kena air sejuk terus retak. Tapi jangan risau, tidak memberi kesan pun pada puding anda. 



Kemudian, sebagai hiasan bolehlah decorate dengan kismis. Nampak cantik tak? Oh...sebelum dikukus, lupa pula mahu memesan panaskan air rebusan kukusan anda yea. Bila dah mendidih, barulah masukkan loyang seperti gamba dibawah. Kukus selama 30-40 minit yea.



Lupa pula nak ambik gambar selepas siap dikukus. Memang terbimbang sangat sebab roti naik sangat-sangat. Dalam hati terdetik-detik, jadik ke tak puding aku ni...lalalala~

Jangan risau lagi, memang itulah hasilnya...tunggu dan biarkan sejuk. Lepas sejuk bolehlah terbalikkan ke atas pinggan atau apa juga alas yang sesuai. Cantik tak? Teruja menjadi puding saya kali ini.



Taraaaaaa!!!! Siap untuk dimakan. Saiz sangat kecil kan. Sesuai la untuk dimakan seorang atau berdua. Adik laki dengan Mak baru sahaja menghabiskan separuh. Kejap je dah habis. Tak sangka betul. Kejap lagi kalau Abah bangun malam karang, memang confirm la habis. 



Kebetulan sahaja berniat nak meningkatkan resepi masak-masak saya. Sebenarnya, masa Raya Haji lepas ada buat Puding Roti, memang tak menjadi macam saya cerita diatas. Nak tau sebab apa? Sebab pemberi resepi tidak beritahu pun kena letak tepung jagung. Kalau takda tepung memang la tekstur puding lembik semacam je. Tapi kali ini menjadi disebabkan resepi buku yang tak sia-sia saya beli. Buku apa? Nanti saya kongsikan...jom makan malam...lalalala~


p/s : Tips yang baik untuk roti yang tak sempat dihabiskan dan dah sampai tarikh 'expired'. Elakkan pembaziran.


*************************************