Showing posts with label Cerita Pendek. Show all posts
Showing posts with label Cerita Pendek. Show all posts

Thursday, October 23, 2014

Dua puluh tiga.




Aku dan kamu ada sesuatu
Pantas waktu berlalu
Terimalah seadanya
Tiada apa yang sempurna

Walau apapun yang terjadi
Harus tabah kita hadapi
Segala apa yang kita lalui
Menjadi kita yang hari ini

Fikir sebelum bicara
Jatuh sebelum terluka
Pasti adanya suka dan duka
Pasti ada menangis dan ketawa

Berjanji biar pasti
Berjanji ditepati




Friday, October 10, 2014

Minat.


Menurut Irfan Khairi ;
"Lakukan apa yang kita minat. Minat akan memberi motivasi, disiplin dan semangat tanpa perlu banyak tenaga. Antara kunci kejayaan adalah minat."

Apa minat saya?

1. Kemaskini blog.
Kalau banyak yang saya baca, saya lihat dan saya alami. Semakin banyak yang saya hendak kongsi. Sebagai inspirasi orang yang rajin "google" dan saya di kemudian hari. Minta maaf kalau ayat ada terkasar. Kalau kurang setuju boleh komen. Kalau tak suka terus jangan baca...heh

2. Memasak.
Eh eh bukan hendak memukul gendang sekampung. Minat memasak bukan bermakna saya handal di dapur. Bukan juga bermaksud enak rasanya. Saya minat mencuba resepi baru. Apatah lagi kalau resepi tersebut sudah menjadi viral. Wajib cuba!

3. Haiwan.
Entah kenapa jiwa kanak-kanak yang jakun melihat haiwan ada dalam diri ini. Sebab bertubuh kecil menyebabkan virus ini masih ada dalam badan? Lama tak jalan zoo....nak tengok panda....huahua..

4. Berniaga.
Haaa...ini bukan secara tetap. Sekadar suka-suka. Tiga tahun sebelum ini berturut-turut buat jualan kerepek raya. Ohsem gile! Lepas itu ada jual tudung, ada jual stokin kaki, ada stokin tangan. Adalah untung sikit seposen dua. Tapi seronok tak terkata. Tips yang saya baca dari mereka yang berjaya dalam bidang jual-beli adalah ikhlas nak membantu orang lain dan hendak mengikut sunnah. Berniaga kan sunnah Rasulullah. Untung sikit tak mengapa. Dapat pahala banyak..kan kan.

5. Tidur/rehat.
Ini bukan minat. Ini sakit dalaman...haha


Ok semua, Salam Jumaat.

Panasnya cuaca....best pulak kalau dapat abc kan kan


Thursday, October 09, 2014

Kalaulah kita TAHU bersyukur.


Alhamdulillah.

Hari ini seorang pakar motivasi Raja Shamri b Raja Husin datang ke sekolah. Jujur, saya tidak kenal beliau dan tidak pernah melihatnya. Tapi paparan layar tidak menipu yang beliau pernah keluar di televisyen.

Kisah hidupnya sangat menyentuh hati. Boleh saya yakin 100% yang berada di dalam dewan baik pelajar dan baik guru ada mengalirkan air mata mendengarnya.

Drama arahan Erma Fatima dan Rashid Sibir pun tidak mampu membuat kita tersangat tersentuh dan mengalirkan air mata jika drama tidak diiringi dengan latar muzik yang bersesuaian. Tanpa muzik, hanya cerita dari mulutnya telah membuatkan semua hati meruntun.

Raja Shamri adalah insan terpilih. Allah tahu dia mampu menanggung beban sebegini hebat. Tiada insan lain sekuatnya. Tiada keluarga lain yang mampu tabah seperti keluarganya.

Bergelar OKU sejak kecil dan dilahirkan dalam sebuah keluarga kurang kemampuan membuatnya bermotivasi tinggi bagi mengubah nasib diri dan keluarganya.

Tips kejayaan beliau sama ada cemerlang dalam peperiksaan ataupun kerjaya, dunia dan akhirat kena seiring. Kesimpulan yang saya boleh buat :
1. Hormat orang lain. Jangan biadap. Walau dengan sesiapa, yang tua dan juga yang muda.
2. Rajin membantu. Banyak memberi, makin banyaklah yang menerima.
3. Rajin solat dan mengaji. Solat Dhuha untuk jemput rezeki.
4. Gembirakan hati orang lain untuk lebih gembira.
5. Bersyukur dengan apa Allah beri.

Bahagian kelima yang paling berat, sebab kita ada sikap tamak. Apa yang ada tidak disyukuri. Yang tak dapat asyik diminta-minta.

Kalaulah kita tahu bersyukur.

Kalaulah kita tahu bersyukur. 



Tuesday, October 07, 2014

Imbasan kenangan 2013.


Assalamualaikum.

Selamat Hari Raya Aidil-Adha.

Hari ini muncul pula kekuatan untuk menaip kenangan ataupun pengalaman yang telah dilalui sepanjang tahun 2013. Tujuan menaip? Untuk pembacaan sendiri supaya tidak lupa. Selain itu, untuk panduan jika membawa kebaikkan kepada mereka yang mencarinya dalam laman maya.


Kelantan TRIP : Tahun Baru Cina
Bermula dengan angan-angan. Proses perancangan yang berlaku dihujung waktu. Kerana nak dapatkan persetujuan Mak dan Abah. Memang semua adik beradik sedia maklum yang Abah tak mungkin akan meninggalkan segala 'belaan' dalam satu tempoh yang lama. Akhirnya bersetuju untuk mengikuti jalan-jalan ke Kelantan.

Memandu bersendirian dengan mengikuti secara dekat kereta famili angah. Kemudian penempahan rumah tumpangan yang kurang memuaskan, tapi masih boleh didiami selama 4 malam. Hampir semua tempat membeli-belah di pelusuk Kelantan sudah kami redah. Dalam keadaan cuaca yang gerimis dan mendung kami selamat mengikuti trip selama 5 hari.

Keseluruhannya, semua bahagian daerah Kelantan mudah dicari. Jalannya dan papan tanda senang nak faham. Kalau dapat pergi lagi mungkin bukanlah dimusim cuti sekolah. Sebab? Kelantan sesak sangat!

Ada beberapa cerita telah dikongsikan di sini. TRIP 1. TRIP 2. TRIP 3. TRIP 4. TRIP 5.


PRU-13 : 3 Mei
Bersedia menjadi Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk saluran ke 3 dari 6 saluran di pusat pengundian SMK Permas Jaya merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Sehingga hari ini masih lagi bagaikan mimpi dapat berhadapan dengan komuniti yang berbeza pahaman politik. Apatah lagi berhadapan dengan ejen parti yang dilantik. Darah sentiasa berderau. Waktu bersenggang dan nak melepak juga belum dapat meredakan hati yang sentiasa berdebar-debar. Manalah tahu ada kemungkinan diluar jangkaan kita.

Dengan adanya pengalaman ini, rasanya mahu menjadi KTM untuk PRU akan datang. Masih berpeluang lagikah?

Ramai tak percaya saya adalah KTM. Tapi polis penggiring, ejen parti dan pengundi panggil saya PUAN. Mereka menghormati saya walaupun saya kecil orangnya. Heh.


Saya kurang pasti adakah pengalaman dan kenangan PRU-13 sudah ditulis dalam blog atau tidak. Tapi hanya jumpa ceritanya disini. PRU-13.


Lawatan Sekolah : Mei-Jun
Memasukki tahun ketiga mengikuti rombongan Persatuan Sains dan Matematik. Bagaimanapun fasa tahun ini berubah pula. Tiada lagi memasukki Sunway Laggoon. Bertukarkan kepada Ice-skating di Sunway Piramid. Pertama kali. Wow.


Rombongan kali ini memang banyak tempat dilawati. Bermula KLCC dengan Sunway Piramid. Kemudian esoknya ke tempat paling wajib untuk dilawati iaitu Genting Highland. Balik esoknya bergerak ke Pusat Sains Negara.



Merisik : 4 November.
Alhamdulillah. Selamat  dirisik pada tanggal 4 November 2914 bersamaan 1 Muharram 1434 H. Memang belum pernah ditulis tentang peristiwa penting ini dimana-mana. Bukan bermaksud tidak menghargai momen indah ini, tapi ada banyak perkara yang harus dijaga sehingga tarikh kami rasmi dengan akad nikah. Kecenderungan peristiwa ini dirahsiakan. banyak baiknya. Maka teruslah disimpan sehinggalah saya bocorkan saat ini.

Gambar? Entah ada disimpan atau memang tiada? Biarlah rahsia kot. Heh.



Dipinang : 25 Disember.
Sepertimana peristiwa merisik, begitulah juga bertunang. Kecenderungan dirahsiakan banyak baiknya, maka teruslah tersimpan secara rahsia. Gambar pun hanya dipaparkan pada posting tarikh nikah kami.


Majlis memang biasa sahaja. Atas permintaan saya yang tak mahu ada timbul unsur pembaziran. Seringkas mungkin seperti majlis merisik sebenarnya saya fikirkan. Sebab tak mahu menyusahkan kedua belah pihak. Tiada pelamin. Hantaran hanya barangan dan manisan yang biasa-biasa juga.

Saya tak minta dari famili yang berlebihan. Cuma saya minta dipercepatkan majlis rasmi sahaja.


Pindah : Dis
Mungkin inilah dikatakan rezeki kalau dah tertulis untuk kita, insyaAllah tak kemana. Rezeki nak kahwin agaknya. Saya dapat pindah bersama-sama kawan baik serumah saya sejak awal mengajar. Sebenarnya juga tidak berperancangan untuk pindah. Ada sebab saya diberikan kekuatan untuk mengisi eg-tukar.

1. Rezeki.
Ayat seorang rakan : " intan, ko mohonlah pindah, mana tau rezeki aku dan baby aku nak pindah ni...sebenarnya ada kat ko...kita kan selalu buat benda yang sama...ko mohonlah pindah"

Memang rezeki kita saling berkait. Kami sama-sama dapat pindah tanpa membuat rayuan jika nak dibandingkan orang lain. Siapa kata yang belum kahwin tak mungkin dapat pindah? Rezeki masing-masing kan.

2. Famili
Nyai baru sahaja meninggal bulan 4 yang lepas. Bertambah kritikal dengan masalah dalaman famili sebelah mak pula. Saya perlu ada di kampung untuk menangkis fitnah mak. Mak tak bersuara, biarlah saya bersuara. Mak adalah syurga saya. Saya perlu pertahankan syurga saya.

3. Kengkangan Kerja.
Ya. Saya sudah bosan dengan SMK Permas Jaya. Rencam. Suatu tatabahasa baru yang saya belajar dari senoir bagaimana mengelak kerja. Saya seronok bekerja. Seronok bekerja rupanya menjadi duri dalam hati mereka yang berkira-kira bekerja.

Bekerja lebih sedikit, tapi berkokok riuh sekampung. Duit gaji yang kita terima itu bukan semua milik kita, tidak takutkah nanti kalau Allah persoalkan di akhirat nanti? Biar kerja lebih dengan gaji yang biasa-biasa. Bukan kerja biasa-biasa untuk dapat gaji lebih.



4. Ubah angin.
Memang kengkangan kerja menyebabkan saya hendak berubah angin. Lagipun masa mohon eg-tukar, saya belum ada mana-mana komitmen. Belum dirisik dan belum bertunang.

Apabila saya bertanyakan perancangan masa depan ayatnya telah berubah dari "takyah la pindah, nanti kejap je lagi dah nak pindah" kepada "terpulanglah, kalau ada baiknya..pindahlah"

Masa itu, saya fikirkan memang saya perlu banyak bersabar lagi.



ALHAMDULILLAH.
Alhamdulillah. Memasukki tahun 2014 berbagai lagi kenangan dan pengalaman baru. Semua memasukki diari hidup bagaikan peluru berpandu. Mungkin ini sahaja yang dapat saya kongsikan. Mungkin sesetengahnya sudah saya lupai secara sengaja ataupun tidak.

Masa berlalu dengan pantas. Saya akui, pengalaman mengajar kita menjadi lebih matang dan menjadi lebih rasional dalam mengambil dan melakukan sesuatu keputusan.

Saya juga masih percaya. Andai kita berniat nekad untuk menjadi lebih baik, Allah akan hantar orang yang baik-baik untuk bersama-sama kita.

Saya juga memahami konsep banyak kita memberi, insyaAllah banyaklah Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Allah sentiasa bersama kita.



Semoga kita semua sentiasa dibawah keberkatan dan keredhaan Allah.

May Allah bless us.

Amin.



Sunday, July 14, 2013

APA ITU ISTIDRAJ?



Ianya adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya.


Inilah yang dinamakan istidraj.



Rasullulah s.a.w. bersabda : "Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT."
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)



Tetapi, manusia yang durhaka dan sering berbuat maksiat yang terkeliru dengan pemikirannya merasakan bahawa nikmat yang telah datang kepadanya adalah kerana Allah berserta dan kasih dengan perbuatan maksiat mereka.



Masih ada juga orang ragu-ragu, kerana kalau kita hendak dapat kebahagian di dunia dan akhirat kita mesti ikut jejak langkah Rasullulah saw dan berpegang teguh pada agama Islam.



Tetapi bagaimana dengan ada orang yang sembahyang 5 waktu sehari semalam, bangun tengah malam bertahajjud, puasa bukan di bulan Ramadhan sahaja, bahkan Isnin, Khamis dan puasa sunat yang lain.



Tapi, hidup mereka biasa sahaja.



Ada yang susah juga. Kenapa?



Dan bagaimana pula orang yang seumur hidup tak sembahyang, puasa pun tak pernah, rumahnya tersergam indah, kereta mewah menjalar, duit banyak, dia boleh hidup kaya dan mewah.



Bila kita tanya, apa kamu tak takut mati? Katanya, alah, orang lain pun mati juga, kalau masuk neraka, ramai-ramai. Tak kisahlah!



Sombongnya mereka, takburnya mereka.



Rasullulah s.a.w. naik ke langit bertemu Allah pun tak sombong.



Nabi Sulaiman, sebesar-besar pangkatnya sehinggakan semua makhluk di muka bumi tunduk di bawah perintahnya pun tak sombong!



Secantik-cantik Nabi Yusof dan semerdu suara Nabi Daud, mereka tak sombong.



Bila sampai masa dan ketikanya, mereka tunduk dan sujud menyembah Allah.



Manusia istidraj - Manusia yang lupa daratan.



Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya.



Mereka memandang hina kepada orang yang beramal.



"Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah.



Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah.



Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong."



Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.



Rasullulah s.a.w bersabda: "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semua itu dengan dua sayapnya" (Kitab Nasaibul'Ibad)



Anai-anai, jika tidak bersayap, maka dia akan duduk diam di bawah batu atau merayap di celah-celah daun, tetapi jika Allah hendak membinasakannya, Allah berikan dia sayap.



Lalu, bila sudah bersayap, anai-anai pun menjadi kelkatu.



Kelkatu, bila mendapat nikmat(sayap), dia akan cuba melawan api.



Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, cuba hendak melawan Allah swt.



Buktinya, Firaun. Nikmatnya tak terkira, tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan.



Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan.



Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.



Namrud, yang cuba membakar Nabi Ibrahim. Betapa besar pangkat Namrud?



Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.



Tidak ada manusia hari ini sekaya Qarun.



Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta.



Akhirnya dia ditenggelamkan bersama-sama hartanya sekali akibat terlalu takbur.



Jadi kalau kita kaya,jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.



Jadi,jika kita kaji dan fikir betul-betul,maka terjawablah segala keraguan yang mengganggu fikiran kita.



Mengapa orang kafir kaya, dan orang yangi berbuat maksiat hidup senang /mewah.



Pemberian yang diberikan oleh Allah pada mereka bukanlah yang diredhaiNya.



Rupa-rupanya ianya adalah bertujuan untuk menghancurkannya.



Untuk apa hidup ini tanpa keredhaanNya?



Tetapi jangan pula ada orang kaya beribadat, masuk masjid dengan kereta mewah kita katakan itu istidraj.



Orang naik pangkat, istidraj.



Orang-orang besar, istidraj.



Jangan!



Orang yang mengunakan nikmatnya untuk kebajikan untuk mengabdi kepada Allah bukan istidraj.



Dan jangan pula kita tidak mahu kekayaan. Kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada pegangan.



Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.



Tujuan hidup kita adalah mencari keredaan Allah.



Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah?



Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu ialah apabila dia bersyukur nikmatnya.



Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah.



Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah.



Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah,
niscaya selamatlah kita di dunia dan akhirat.




Friday, July 12, 2013

Masjid Biru-Ungu.


Hai....Assalamualaikum ;)


Selamat pagi Jumaat. Hari ini 3 Ramadhan.  Jumaat pertama dalam bulan puasa. Semoga semua yang sedang membaca (jika ada) selamat menyambut keberkatan bersahur pagi tadi. 


Semalam, Alhamdulillah pertama kali berterawih di masjid baru Permas Jaya. Masjid Al-Azim. Motif perjalanan jauh sedangkan ada 2 surau berdekatan? Sebab belum pernah menjejakkan kaki ke masjid biru-ungu yang sangat cantik sejak pembukaannya sebulan dua yang lepas. Masa majlis perasmian pun tak sempat nak datang.


Jujur saya katakan saya jarang sekali pergi terawih secara konsisten 30/29 hari puasa. Selain diberikan cuti yang memang khas untuk orang perempuan. Ada 2 perkara yang paling nak elak sekali ke Masjid/Surau.




PEREMPUAN.
Apa kaitan perempuan? Entah kenapa saya jadi sakit jiwa bila melihat orang perempuan masuk masjid dengan pakaian tak menutup aurata sebaiknya. Dengan baju yang berlengan pendek dan berkaki ayam (saya harap faham maksud kaki ayam:nampak kulit). Memang ada yang siap juga bertelekung, tapi kaki ayam lagi. Mungkin saya sahaja yang gatal mata nak tengok semua itu. Tapi lelaki bagaimana yea?

Kenapa saya sakit jiwa? Sebab keadaan ini menyebabkan hati saya suka berprasangka buruk. Niat diorang baik datang masjid. Tapi saya yang fikir tak baik. 


KENAL.
Saya kurang suka kalau ada sesiapa nampak saya di masjid, surau, mall, kedai, jumpa boyfriend, jumpa girlfriend, beli itu ini dan macam-macam lagi. Waktu kejadian tak pula nak tegur. Kemudian mereka-mereka jumpa saya dimana-mana semasa saya bersama kawan yang tak tahu akan aktiviti saya. Maka mulalah penceritaan mereka didepan kawan-kawan yang tak tahu apa pun. 

Entah, saya tak berminat pula nak ingat balik benda lama. Tak minat juga kalau kawan tahu apa saya buat. Tak semua perkara yang kita lakukan perlu dikongsikan dengan semua orang kan. Errrmmmm...



Eh..ini dikira mengumpat ke? Eh..eh...tak kan, saja memberi pendapat. Yang wajib puasa dan solat. Lagipun solat terawih hanya sunat di bulan puasa. Solat terawih pun boleh dibuat dirumah dan dimana-mana pun. Ramai orang silap. Mungkin juga saya silap. Mohon maaf zahir dan batin. 





Wednesday, July 10, 2013

Bukan sekadar berlapar dahaga.

Hai, Assalamualaikum....

Salam 1 Ramadhan semua. Jam 4 menghampiri 5 petang. Lebih kurang 2 jam lebih akan berbuka puasa. Ramailah yang sudah berstatus isteri, ibu dan emak, umi pun ada, memulakan langkah bersilat di dapur. Memastikan dapur terus berasap dengan menu pilihan..hihi. Yang tak berkaitan, tengoklah tahap kerajinan, atau mungkin sudah menjelma kedai makan dan menunpilihan di Bazar Ramadhan kan..


Walaubagaimanapun, perlu diingatkan yang puasa bukan setakat memikirkan menu berbuka dan bersahur. Bukan juga memeningkan kepala dengan persiapan nak berhari raya. 


Puasa dalam semua segi. Makan dan minum tentulah diharamkan diwaktu siang. Solat jangan lupa. Mata pun jaga selalu. Hati dan kepala jangan fikir perkara tak elok. Kerja jangan mengular. Mulut dan telinga dikawal, sama ada masuk dannkeluar benda tak elok. JAGA TINGKAH-LAKU. Hanya kita sendiri yang kawal diri kita sendiri.


Jangan salahkan orang lain. Jangan ikut orang laij. Dan yang paling penting, jangan salahkan takdir. Memang Allah yang menentukan.  Tapi Allah tak mengubah nasib kita sebagaimana kita usaha nak mengubahnya




Matlamat saya Ramadhan kali ini. Nak kurangkan tengok blog pakcik beautifulnara. Kadang saya tak pasti sama ada suka baca gosip atau gaya penulisan pakcik nara ni.... Hihi.....apa pun memang kena kurangkan. InsyaAllah. 



p/s : putih-putih melati, merah-merah delima...baik-baik jaga diri, semoga segala amalan Allah terima.... :)


Tuesday, July 02, 2013

Cerita Pendek : Part 1


Hi, Assalamualaikum...

Hari ini nak cerita pendek sahaja. Mengenai isu pemakaian. Bila terpandangkan perkongsian gambar dibawah, sendiri mengakui memang banyak dan berleluasa berlaku. 



Tak perlu  menoleh jauh, lihat sahaja di 'facebook' berapa banyak butik maya (online) yang melabel butik mereka sebagai butik muslimah. Malangnya tidak memenuhi ciri muslimah. Hanya sekadar memilikki pakaian yang hanya MENUTUP tubuh badan semata bukannya MENUTUP AURAT seperti yang dikehendaki oleh syarak.