Friday, December 16, 2016

YES...rambang mataku!!!


YES sana, YES sini.
Tergoda sana, tergoda sini.
Rambang sana, rambang sini.

Dua tahun tak beli baju sekolah...oppsss, maksudnya baju kurung baru. Memang plan nak beli hujung tahun, sebab mesti banyak jualan YES. Rasanya kalau tak silap beli atau buat baju kurung masa hari raya. Itu pun sayang nak pakai sebab takut luntur. Lagi satu sebab baju raya sedondon dengan suami....hihi

Tapi...
Tapi......
Bila banyak sangat YES. Banyak tergoda dengan benda lain. Rambang mata pada perkara yang bukan bernama baju kurung.

Saya nampak baju Al Fatih murah. Saya beli. Mana nak dapat set baju budak harga bawah RM 12. Set tau...maksudnya sepasang baju dan seluar. Kualiti tip top. Sekali dapat...ada pula yang terbesar, mungkin kena tunggu Al Fatih 18 bulan rasanya. Eh takpa, akan datang tak perlu beli lagi. Itu belum masuk borong lampin pakai buang....hehe

Kemudian, nampak baju blause pula. Gatal tengok orang jual kombo. Apa maksud kombo? Beli satu harga lain, beli dua harga lain. Bila beli tiga pula terus turun lagi harga lain. Berganda-ganda untung. Apa lagi....borong lagi kombo. Kombo 3 helai RM 135. Sehelai jatuh harga RM 45. Set kombo yang pertama untuk along, angah dan mak. Set kombo kedua saya punya...lalalala

Kemudian, terjengah pula kedai tudung bawal kegemaran saya. Bawal buatan sendiri. Maksudnya kain ela lebar yang dipotong ikut saiz besar siap di jahit tepi. Pun sama.....kedai maya memang suka buat kombo. Kombo 4 helai untuk harga RM 100. Weiii...mana nak dapat. Harga tudung sekarang paling murah RM 39 ke atas. Borong mesti mesti mesti...

Akhirnya....sampai ke hari ini saya belum juga beli baju kurung. Sebab berkira-kira nak beli telekung dan jubah seluar pula. Alahaiiiiii.........perlu ke tidak?


Ini apa pula? Tengokkkk....kakak sendiri jual tudung. Macam wajib beli je....untuk promote kat sekolah je ni...haha

Perempuan...oh perempuan...
Macam kena buat pembersihan harta karun lama. Kena cepat bersihkan yang tak muat untuk bagi kat sesiapa rasanya.



Thursday, December 15, 2016

Kembara Al Fatih ke MAHA 2016


 Sabtu | 10.12.2016
Jam 3.56 pagi jam tangan ibu berbunyi. Pertama kali set alarm kat jam tangan baru. Baru dua ke tiga bulan lepas beli jam jenis getah. Senang dibawa jalan, dicampak Al Fatih dan semestinya tak perlu buka jam bila ambil wuduk. Sebelum ini jam besi macam sayang pula kena air, takut berkarat...sedangkan jelas tulis tahan karat..haha, mind set kita kadang membunuh kepercayaan kita.

Selepas ibu dan papa siap semua, barulah kejutkan Al Fatih. Awalnya dia mamai lagi, tapi siram dua tiga kali air suam...terus angkat untuk pakaikan baju. 

Papa siap dengan baju sejuk, ibu pelik juga sejuk sangat ke agaknya. Tapi ibu tak pakaikan Al Fatih baju sejuk lagi. Angin sejuk rupanya bukan setakat di tanah tinggi, rupanya memang nak hujan. Ada kawasan yang dah hujan lebat. Ada kawasan awan tebal sangat sampaikan sukar nak kesan garis putih di jalan.


Solat subuh awalnya plan di Hentian Titiwangsa di puncak. Tapi dibatalkan sebab masih awal lagi dari jangkaan. Teruskan perjalanan sebab mungkin boleh solat di RNR Tasik Banding. Tapi dibatalkan juga last minute sebab tempatnya sunyi takda orang. Ibu kesejukan.... Al Fatih dah siap berbungkus dan ibu pangku. 

Akhirnya solat subuh dah agak lewat jam 6.40 pagi di RNR Gerik. Al Fatih ibu biarkan berbaring. Nyenyak sungguh dia tidur sampai ke RNR Tapah. Itupun ibu pujuk bangun, sebab semua orang dah lapar. Sedap betul dia tidur. 



Sampai Bangi - Serdang tengah hari. Panas terik juga sejak sampai ke Tapah. Singgah MAHA 2016 sekejap sebab nak tengok lembu 'sado' dan dapatkan nangka madu. Kalau sebelum ini orang sibuk bercerita bahangnya dan teriknya cuaca, tapi rezeki Al Fatih pula mendung dan hujan petang pula. Sama cuaca dua tahun lepas ibu datang dengan papa...

Al Fatih terlentok kepenatan. Banyak tidur sebenarnya. Nasib la nak.....


Elok tidur sepanjang berjalan di Maha. Sampai sahaja kat kereta, segar bugar pula bocah cilik ni. Bijak sangat. 

Masuk Maha percuma sama macam sebelum ini, tapi keluar parking kena bayar RM 5, juga sama macam tahun lepas.

Malam makan di Garden Cafe dan tidur hotel sahaja. Sengaja tak nak susahkan Makngah Al Fatih. Asyik menumpang rumah orang, kita seganlah kan. 

Ahad | 11.12.2016

Tengah hari singgah di mall mana tah, saya tak ingat dekat kawasan Serdang. Semata-mata nak pergi cari kotak kunci. Nasib baik jumpa. Lepas tu makan kedai Hangout dalam mall tu juga. Sedap nasi kerabu dengan harga yang sangat berpatutan. Nasi kerabu siap aksesori dan ayam potong 8 dengan harga bawah RM 12. Murahkan. Al Fatih pun suka.

Al Fatih sempat paw papa belon sepeket besar untuk stok setahun agaknya...hihi


Isnin | 12.12.2016

Tahun melawat Perak 2017 tau kawan-kawan. Tapi kami lawat kawasan dahulu tengok perkembangan persiapan...haha

Tak merancang untuk tidur bermalam di Teluk Intan. Kebetulan nampak kawan post gambar Menara Condong di Teluk Intan. Wahhh...pagi itu juga terus google cari. Senang nak cari sebab betul di tengah bandar dan tak ramai orang.


Banyak gambar, tapi kongsi gambar berselfie dengan papa jelah. Bukan senang nak bagi muka bertiga masuk frame kan. Apatah lagi papa nak berselfie kan. Nanti ada masa saya kongsi sejarah Menara Condong...hihi....hihi...ketawa sat, tah bila.....harap ada masa..hihi...hihi...


Jeng jeng jeng....ini dalam perjalanan balik. Berselfie berdua. Al Fatih mengorokk... Masih 'cute' macam awal-awal kawen tak... sedikit buncit nampak di situ..haha


Al Fatih dah muncul. Suka dia tengok muka sendiri, ketawa gembira sangat. Selfie bertiga pula. 

Sebenarnya dalam perjalanan balik nak singgah Lenggong. Tengok tapak arkeologi. Malangnya rupanya ditutup untuk penambah baikkan. Yerlah untuk tahun 2017 la agaknya. Ok kita singgah tahun depan la eh.

Eh, entah kenapa macam cikgu sejarah pula nak melawat tempat bersejarah...haha. Kalau Al Fatih dah besar kena bagi tugasan untuk dia setiap kali bawa jalan. Buat buku skrap ke...travelog perjalanan ke....macam yang sedang ibu buat ini ke...tak pun boleh latih dia tangkap gambar cantik-cantik dan albumkan. InsyaAllah semoga ada rezeki dan diberikan kesihatan.


Alhamdulillah...sepanjang perjalanan dalam hati sentiasa berdoa dijauhkan dari sebarang kesulitan. Mohon Allah lindungi kami. Perjalanan ke KL pada hari sabtu, trafik ke utara jem teruk sebab ada lori minyak tergolek dalam kawasan sungai Perak. Dalam berita kata dalam 2 jam dah selesai. Tapi jem sampai kami masuk KL masih perlahan trafik. Bukan setakat lori minyak, ada juga kemalangan kecil antara motor dengan kereta juga rasanya. Dalam perjalanan pulang pula trafik ke KL pula yang perlahan. 

Ya Allah, terima kasih dengan rahmat-Mu.

Semoga ada kesempatan lagi.


Thursday, December 08, 2016

Al Fatih dapat geraham


Hari ini cuba muat naik video. Selalu sangat muat naik gambar, sampai terlupa yang blogspot juga boleh menampung video. Masa pun cantik sangat sebab Al Fatih sedang beradu mesra di atas toto. 

Video sebelum Al Fatih demam lara. Rupanya....demam nak dapat upah. Pening juga memikirkan upah apa Fatih nak dapat. Gigi dah enam batang, merangkak sudah, berjalan pun Alhamdulillah semakin stabil dan laju. Memang asyik fikirkan salah sendiri sebab pakaikan Fatih baju pendek masa hujan yang lepas. 

Pagi semalam lepas dia menyusu dan golek kekenyangan sebelah ibu, tersengih dan nampaklah gigi geraham atas tumbuh. Geraham kanan dah molek banyak nampak, sebelah kiri masih belum jelas. 

Ya Allah...semakin besar budak Al Fatih. Ibu masih lagi melatih Al Fatih supaya dapat bermesra dengan orang. Harapnya Fatih cepat menyesuaikan diri. 

Kalau lihat dari pembacaan di laman sosial, ada ibu bapa yang taksub sangat dah mula mengajar anak sejak umur 3 bulan lagi. Bermula dengan melihat warna hitam putih dan bentuk sehingga sentiasa diperdengarkan dengan bacaan Al Quran. SubhanaAllah....hebat ibu ini. 

Saya? Kita masing-masing ada cara tersendiri untuk berikan yang terbaik buat anak. Tiada yang salah dan tiada yang betul tentang pendidikan anak-anak. Terpulang kepada diri sendiri. Tapi jangan pula kita salahkan tindakan orang lain kan...






Tuesday, December 06, 2016

Lara Al Fatih


Hari lepas sibuk protest banyak sangat tajuk cerita 'lara' kan. Sekian kalinya Al Fatih saya turut terjebak melara. 

Sebenarnya tak perasan sejak bila mula demam, cuma petang khamis memang ada keluar dengan tujuan nak beli tepung dan bahan nak buat koktel buah-buahan. Baru sahaja gerak dalam 10 minit, di bandar dah mula mendung berarak gelap. Dalam hati terdetik sudah, alamak hujan....kesian Al Fatih sejuk. Sebab saya pakaikan dia baju pendek tanpa lengan dan seluar berongga.

Walaupun tak keluar sedikit pun kecuali keluar masa dah sampai rumah. Itu pun saya dah selubung dalam tudung. Mungkin kesan kesejukkan penghawa dinggin kereta.

Sabarlah anak, ibu dan papa pun terlara juga. Pakej lengkap setiap seorang. Ada yang dapat demam panas, ada yang selesema dan ada yang dapat batuk. Kita bahagi sama rata yeee...

Hari semalam pula. Demam panas dah reda selepas 2 kali masukkan ubat punggung. Terkejut ibu, sebab nampak ruam penuh satu badan. Menurut mak mentua sebab panas dalam, dah nak sihat memang keluar merah....oooo, begitu rupanya.

Hari ini masih ada merah ruam, cuma menyusut sedikit berbanding semalam. Walaubagaimana pun, Al Fatih tetap cergas dan aktif sepanjang melara demam panas turun naik. 

Alhamdulillah, pengalaman pertama kali anak demam panas. Semoga catatan ini akan menjadi sempadan di hari depan. Terima kasih Allah.



Monday, December 05, 2016

Projek antarabangsa...


Haaa...cerita masak-masak kalau dapat cepat-cepat nak ditaip dan dikongsi. Oleh kerana sibuk di viralkan tentang keria antarabangsa di Melaka. Kemudian dah sampai ke Batu Pahat, tatkala cuti sekolah telah menjelma pula. Tak merasa la saya nak order. 

Makin ditengok oleh perkongsian rakan facebook, makin tak boleh jadi. Makin meleleh air liur. Hari ini usaha juga untuk menguli keledek rebus yang dilenyek dan dicampur tepung. Bahannya dah siap dibeli sabtu lepas. Memang sengaja minta keledek, sebenarnya ada misi. Cuma tak bagi tahu suami, sebab nanti takut masa kejadiannya, tak seperti yang di impikan.



Hari ini Al Fatih walaupun masih manja mengade sebab baru baik demam panas. Saya kejap ke dapur, kejap konon baring sebelah dia yang sedang tidur. Sempatlah juga menyiapkan proses melubangkan keria dan akhirnya menyira. 

Macam main pondok-pondok masak sikit kuantitinya. Oleh kerana nak makan, kita buatlah juga. Kalau terbuat banyak, siapa pula nak makan. 


Bahan-bahan semua agak-agak. Kebetulan chef Azlina Fans kat facebook berkongsi resepi hari ini. Bertambah semangat kita. Tapi kita derhaka sedikit pada resepi dia. Almaklumlah ada bahan yang kita takda kat rumah kecil ini.

Kita gunakan keledek oren, takda sebab pilih oren...sebabnya ini sahaja keledek yang suami kita jumpa. Rebus siap berkupas dan sedikit garam dan lenyek. Tambah tepung gandum dan sedikit tepung beras. Uli sampai sebati. Rehatkan doh. Lama juga terbengkalai projek, sebab Al Fatih dah merengek.....

Sambung bahagikan doh kepada ketulan kecil. Penyekkan dan buat lubang. Minyak siap-siap panas, kecilkan api dan masukkan muat kuali. Jangan tindan pula. Susah nak terbalikkan. Jangan sibuk nak terbalikkan, tunggu sampai bawah dah kekuningan, baru terbalikkan. Baru cantik dan sampai timbul...bolehlah angkat.

Proses menyira. Gula melaka, gula pasir dan air dimasak sampai berbuih-buih. Penuh berbuih tau dan cecairnya likat. Masukkan keria dan gaul sampai kering dan berpasir. Kalau tak berpasir berkemungkinan besar sebab kurang menjadi air sira.

Sekian.

Selamat mencuba, sedap menyirap....


Thursday, December 01, 2016

Lara di cuti sekolah



Habis mati kutu di cuti sekolah. Seminggu bercuti sekolah semakin lara rupanya. Cuti yang ditunggu selama 10 bulan. Rancangan tv tak begitu memberangsangkan. 

Memang musim tajuk drama dengan perkataan Lara ke? Sepanjang seminggu bercuti, hampir saya hafal tajuk dan waktu drama ditayangkan. 
Lara Ameena kat tv2, 
Lara Cinta Ameena tv3, 
Lara oh Lara 104, 
Lara Aishah 105,

Pengsan tengok drama kat Malaysia. Tajuk drama pun bermusim. Sebelum ini sibuk drama isteri/suami perkerjaan. Ada juga drama nama pelakon utama. 

Al Fatih, kita hadamkan semua ini eh. Sabarkan dan tunggu Papa balik kerja. Mana tau Papa ajak kita jalan-jalan...huhu


Monday, November 14, 2016

Rekezi Allah tak pernah salah 😀😀😀


Pagi ini hujan lagi. Alhamdulillah selamat sampai ke sekolah, walaupun lambat seperti hari sebelum ini. Jam perakam waktu jam jari menunjukkan 7.24 pagi. Ada peningkatan sedikit berbanding sebelum ini. Tapi masih kategori lewat.

Angin bertiup dengan awan gelap mula menyelubungi bumi Sehebat. Sempat saya pindahkan 2 bungkusan kerepek pisang tanduk yang ditempah rakan setugas. Walaupun harga dinaikkan atas faktor mibyak masak ditarik subsidi, Alhamdulillah permintaan masih ada. Malah lebih baik dari sebelum ini. Rezeki Allah tak pernah salah alamat.



Ini gambar Al Fatih masa sambut besday kat kampung serom 6 dengan papa, atuk dan sepupu semua. Kek promosi kat kedai resepi rahsia beli 3 percuma sepotong lagi. Bila dihitung sama sahaja harga sebiji kek yang berharga RM 88.80. Kek yang warna krim berkacang nampak sedap kan, sesedap rasanya...yummyyy!!!


Ini pula gambar Al Fatih masa jalan-jalan kat PD. Kedai mana lagi kalau bukan kedai ayam kegeraman papa Al fatih. Kita cuma minta kentang je kan Fatih...kite dieeetttt🙈🙈🙈


Ini pula gambar semalam kita sarapan pagi kat Muar. Kedai pilihan penyanyi comel Sufian Suhaimi. Tergoda dengan kecomelan Sufian, sanggup kita pusing 2 kali mencari parking. Siap salah masuk kedai...hehe... Bolehlah nak suka-suka makan dengan menu yang bernama pelik. Sambil tengok dekorasi titipan dinding yang penuh gambar selebriti dan orang ternama. Tak ketinggalan, gambar Sultan Johor pun ada. Terbaiklah agaknya kedai ni kan...

Walaupun masa yang terhad untuk berjalan. Dengan kesibukan sekolah asrama penuh yang sangat penuh aktiviti. Dengan jarak yang agak jauh terpisah, sebenarnya masa yang sedikit kalau kita manfaatkan sebaiknya, itulah kemanisan yang menjadi kenangan. 

Kadang saya perhatikan, jika kita melalui hari-hari kita dengan gembira tanpa ada rasa mengeluh dan merungut. Kita akan lebih bahagia dan gembira. Berbanding kalau kita asyik merungut, mesti terluah dimuka yang stressss....kerja yang tidak kualiti. 

Kalau kita tak mampu nak laksanakan sesuatu tugas, kita buatlah yang terbaik. Itu kemampuan kita, jangan berkecil hati kalau kita tak seperti yang orang lain mahu dan jangan marah kalau orang pula lain tak memenuhi apa yang kita mahukan. 

Hidup ini pilihan. Pilihan untuk kita gembira, pilihan untuk lebih dekat dengan-NYA.

Thursday, November 03, 2016

Hello November 2016.


November datang lagi. 
SPM akan bermula Isnin nanti. Proses menanda kertas akhir tahun tingkatan 4 telah pun berakhir. Sekarang hanya tunggu tarikh ketibaan hari periksa Fizik. 

Hujung minggu lepas, cuti Depavalli. Al Fatih jalan-jalan dengan ibu dan papa. Tenkiu papa..muaaahhhh 😙😙


Thursday, October 13, 2016

One year old. Happy Birthday !!!


Alhamdulillah.
Tahniah Al Fatih. Semoga menjadi anak yang soleh untuk ibu, papa, kedua-dua atok....dan orang lain. Semoga dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Maafkan ibu dan papa sebab tak merancang apa untuk hari lahir awak yang pertama. Nyaie ingatkan ibu sebelum kita pergi klinik, carikan awak kek.

Iyee...ibu tahu awak suka nampak lilin. Nampak ibu bawa kek siap lilin, bukan main awak kejar. 

Nanti kita sambut lagi potong kek dengan sepupu belah papa pula ye. Hujung bulan, insyaAllah.


Tahniah juga sayang bucuk ibu. Selamat mengambil imunisasi untuk satu tahun. Menangis sekejap, sebab takut misi. Berat naik 200g, sekarang 8.7kg. Panjang 74cm. BMI 15. Alhamdulillah, masih menyusu ibu. Makan ikut mood. Ok la kan.

Ibu pun suka, sebab ibu dah kurus 46kg. Berat yang dulu zaman kampus tak pernah ibu fikirkan. Rupanya sibuk bekerja senang je nak turunkan berat. Haha....kurus sebab penat, makan pun terkejar-kejar...😂😂😂

Budak kemam nasi kat pipi...aaaiissshh




Tuesday, October 04, 2016

Tempat Jatuh Lagi Di Kenang


Al kisahnya, cuti panjang seminggu raya Aidiladha yang lepas pergi meronda Johor Bahru. Eatah tebiat apa agaknya ada orang ajak mengimbau kenangan tiga tahun lepas. 

Masa gerak dah agak siang. Dalam kepala asyik fikir kertas periksa belum siap tanda. Tapi kalau dah diajak tak elok menolak...macam menolak rezeki...hihi

Awalnya pusing masuk skudai, sebab ada orang nak tengok Padang Seri Gelam tempat JDT selalu bersenam sepak bola. Ikutkan nak singgah juga Stadium JDT, tapi tak sempat. Maklumlah saya kalau bahagian ingat jalan, selalu silap...hihi.

Kemudian nak tunjuk Masjid Sultan Abu Bakar. Kempunan pula nak masuk sebab trngah buat baik pulih. Solatnya ditukar ke bangunan sebelum masjid. Eloklah selesa dengan bilik air yang bersih dan terjaga.


Selepas solat, gerak nak masum Permas. Tapi sengaja nak lalu bandaraya nak tengok baik pulih jalan depan City Square yang kononya nak jadi bandar terbesar kat Malaysia akan datang. Sesak yang amat, tapi sempat la skodeng Istana Pasir Pelangi. Mana la tau sempat tengok bekas ex-gf orang tu...katanyaaa...

Cuaca panas sangat. Kita singgah masuk Jusco kejap. Makan nasi ayam penyek...rindunya. Rasanya dulu dah terlebih sangat faham selok belok Jusco, tempat melepak selepas sekolah. Haha...


Singgah sebentar ke rumah lama. Rumah kedua kat Permas selepas rumah makcik Niang Rapik yang menyeramkan. Tuan rumah pun sangat baik. Baiklah bagi saya sebab kalau ada kerosakan, cepat hantar orang tolong baikki. Sewa rumah pun masa itu RM 550 pun berbaloi, sebab kebanyakkan sewa dah naik ada sampai RM 900. Ini pun rupanya dah naik sekarang jadi RM 750. Aiyakkk....patutlah nampak kosong. 

Eh nak tau, pokok pandan saya masih hidup. Rindunya bercucuk tanam tanah sekangkang kera..


Haa...inilah bahagian paling penting. Nak tunjuk sekolah lama kita. Siap kira masa pergi sekolah tak sampai 5 minit. Kalau ada aktiviti sekolah, kita jalan kaki pergi sekolah. Senang dan cepat pergi sekolah. Petronas dalam taman. Memang semuanya dekat depan mata. 

Sekarang pergi sekolah makan masa 30 minit. Mereputlah dalam kereta...haha




Begitulah kita. 
Selalu leka dan selalu lambat.
Apabila ianya pergi dan hilang depan mata.
Barulah kita menghargai ertinya.

Pengajarannya.
Apa yang ada dibentangkan depan mata.
Buka seluasnya.
Kesyukuran yang tidak terperi.
Agar suatu masa nanti.
Kita tidak merasa rugi.

Ibu Al Fatih

Monday, October 03, 2016

Aidiladha dan sambut besday serom.


Imbas kembali raya Aidiladha yang lepas. Ada buat makan-makan sambut besday. Sempena mereka yang dilahirkan bulan September. Tapi gambar makan-makan takda pula. Saya biasanya memang tak pegang henpon. Malam kejadian sibuk bakar otak-otak. Spesel dari Rengit...hihi.

Sayang pula takda gambar dimasukkan. Kek ada dua. Ada bbq daging dan ayam. Ada koktel...sedapnyaaaaa.....

Nampak tak saya tu...hihi

Ni gambar orang sg dulang beraya. Eh silap, anak dara mak datang beraya.

Inilah dia lembu besar yang dikorbankan sampai tak nak makan daging tu....

Ketua chef pagi Aidiladha. Orang kelantan yang bermastautin di Johor.

Omak..omak....habislah budaya kita mak. Dijajah orang Kelantan.

Gambar raya Aidiladha. Cukup semua. Al Fatih ahli paling comel. Cucu ke 16 atok Haji Kamarudin dan Hajah Umi Kalsom

Al Fatih demam pagi Aidiladha. Sebab itulah baju tshirt sahaja. Mood ibu pun kelaut sebab macam bela saka bila Al Fatih asyik nak berkepit.

Besday Nyaie


Hari khamis 22 september lepas, kami adik beradik merancang makan-makan kat rumah. Rancangnya menu kebarat sedikit sebab banyak daging korban. Dua hari awal saya siapkan perapan daging korban yang siap dipotong. Alhamdulillah lembut daging. Cuma perap dengan bawang putih, lada hitam dan sedikit garam. 


Kek besday ditaja oleh ucu. Tak sedaplah ucu, kurang kick.

Ada juga perap ayam. Sehari awal siap perap, sebab ada yang kata dah muak dengan daging. Ada pula yang tak selera makan daging sebab buat korban hari raya lepas. Pulakkk...

Koci kura-kura paling sedap. Ada nasi goreng cina unyuk budak-budak. Ada kentang putar macam kfc tau. Mabelessss....

Haaa....sapa tu ambil belon sebelum majlis?

Eh...anak siapa yang terlampau sangat tu....adoiyaiiik

Ok Al Fatih. Sabar yee...tunggu nanti awak pun akan potong kek.

Al Fatih semangat sangat nampak ramai sedara datang. Tidur lewat lebih jam 10 malam. Mata dah merah. Ibu pun letih. Lepas atok cu balik, kita dua tidur. Bangun esoknya semua dah siap kemas. Semua orang dah hilang...hihi, kesian...tak puas main. 



Sunday, October 02, 2016

Sindrom anak pertama : Part 1


Salam Maalhijrah 1437.
Alhamdulillah, hari ini masuk tahun baru Islam. 

Ahmad Al Fatih genap setahun pada 27 Zulhijjah yang lepas. Tunggu 8 hari lari lagi untuk genap tahun Masihi pula. Al Fatih tengah berusaha untuk melangkah dan berjalan. Tak mengapa sayang kalau lewat, ambillah masa. Nanti dah berjalan tentu bertambah tenaga nak mengejar awak. Tapi kalau dah pandai, kita boleh jalan hari-hari tengok lembu...hihi


Banyaklah gambar syok sendiri kita dalam kereta kan Al Fatih. Sampai kena amaran dah penuhhhhhh....kena buang pula. Walaupun ada yang dah simpan dalam jurnal. Tapi tetap sayang nak buang. Adehhh...sindrom anak pertama(1).


Semalam, rasanya pertama kali pergi majlis kahwin tengok ada seorang ibu muda bawa bekas makanan sendiri. Saya tengok dia dengan bayinya saya kira belum setahun sedang berdiri mencari meja. Memang semalam majlis penuh dewan, tempat ambil makanan beratur untuk kedua-dua bahagian. Beratur panjang. Meja penuh. 

Akhirnya dapat tempat duduk, suaminya beratur ambil makanan. Ibu muda tadi buka bekas makanan dan suapkan ke bayinya. Wahhhh.....kagum. Elok pula bayinya makan, tak sedikit pun tangan anaknya menepis atau buat main makanannya. Hihi.....sindrom anak pertaman (2).

Al Fatih semalam saya bagi buah jambu batu dan bubur yang ditambah air supaya kurang manis. Saya ibu yang malas, berharap Al Fatih berdikari makan apa sahaja, tidak memilih dan yang paling penting berkhasiat. 



Dua minggu lepas, sambut hari lahir Nyaie. Teruja sangat si Al Fatih. Tidurnya lewat ke jam 10 malam. Menu kali ini, makan daging korban bakar bbq. Makanan lain sebagai sampingan. 

Sindrom anak pertama (3). Biasanya orang teruja juga nak sambut hari lahir anak. Sepatutnya tinggal beberapa hari dah macam-macam rancangan. Tapi ibu masih tak merancang. Belum sampai idea lagi.



Ada tiga sindrom anak pertama yang saya sempat taip. Ada banyak lagi. Belum lagi masuk bagaimana terlampau obses dengan susu ibu, pakaian, penjagaan dan pengasuh. 

Walaubagaimana pun kehendak dan rancangan kita. Kenalah bersederhana. Kadang kita merancang, takda sokongan pihak ketiga. Semuanya musnah. Kita juga yang kecewa. 

Sebelum bertambah kecewa, bersedia dengan bersederhana dan redha. Tiada seorang pun yang akan memahami kita 100% macam yang kita kehendaki. Sama ada kita redha atau kita 'move on' sendiri...hihi.

Ok tata.

Love u sayang.
Ibu Al Fatih.

Thursday, September 08, 2016

Batu Pahat ke Jeli dengan Kasih Sayang.


Kesempatan ini saya cuba nak menaip perjalanan dari Batu Pahat ke Jeli dengan menggunakan perkhidmatan keretapi KTM. Perjalanan panjang lebih 12 jam ini memang saya sudah rancangkan semasa cuti raya Aidilfitri lagi. 

Niat naik keretapi lebih memenuhi impian mak dan abah yang nak berjalan ke rumah menantunya di Jeli. Tapi perjalanan yang bersyarat iaitu tak nak lama sangat dan tak nak naik kereta. Setelah diambil kira faktor kos dan jarak kena jalan kaki. Maka saya kira perkhidmatan keretapi yang paling sesuai. 

Perkara paling penting, tempah tiket awal sebulan untuk pastikan kita dapat tiket katil bahagian bawah. Sebab katil bawah lebih selesa, boleh panjangkan kaki dan boleh tidur kalau mampu. Saya dan Al Fatih elok tidur nyenyak.

Harga tiket dewasa : RM 49 (sehala)
Harga tiket warga emas : RM 35 (sehala)
Harga tiket bayi : percuma 

Jumlah kos tiket : RM 168 (dua hala) 



30 hb 2016 | selasa
9.10 malam tiket. Tunggu setengah jam awal. Ramai juga orang nak ke Kelantan rupanya. Tak lama juga menunggu dalam setengah jam. Dalam keretapi Al Fatih mulanya seronok sangat, sibuk tengok orang. Selepas menyusu terus lelap sampai pagi. Macam tidur kat katil rumah sendiri. 

Saya pun tak gerak mana dalam keretapi. Pergi ke tandas pun tak sebab tak suka guna tandas awam sangat. Solat subuh ambil wuduk guna air semburan Al Fatih. Solat duduk sahaja.

Bila cuaca dah mula siang. Al Fatih bangun dah. Seronok nampak luar. Sambil bagi makan biskut dan minum air masak. 

Sarapan ajak atok dan nyaie makan kat kantin. Ingatkan kantin jauh. Rupanya gerabak belakang je. Makanan memang mahal. Nasi lemak, nasi goreng dan bihun harga semua RM 6. Sandwich pun harga RM 3 kot. Lupa. Air panas cawan kecil dah RM 2.


31 hb 2016 | rabu
11.45 pagi sampai ke Stesen Tanah Merah. Lewat 2 jam dari dalam tiket. Oleh kerana tak pernah naik keretapi, jadi tertunggu dari Kuala Krai. Kurang asam betul pekerja KTM cakap 15 minit lagi. 

Nasib baik sampai sahaja dah ada suami tunggu. Saya dah siap ingatkan saya tak suka menunggu, akhirnya 1 jam suami tunggu...kekekeke

Lepas makan tengahari, semua rehat kepenatan. Mak dan abah memang rehat betullah. Petang lepas jam 6, jalan dengan Al Fatih pusing kampung naik motor dengan papa. Rezeki dapat makan durian pulak....yummy.

1 hb 2016 | khamis
Jam 9 pagi lebih kurang dah gerak nak jalan ke Kota Bahru. Cari keropok kering. Kali ke 3 jalan ke Wakaf Siti Khadijah. Jeli ke Kota Bahru ambil masa dalam 2 jam juga. Nasib baik hari bekerja, bandar tak sesak macam masa saya datang cuti tahun baru cina 3 tahun lepas. Ada sedikit penambahbaikkan sekitar wakaf.


Kemudian ke Rantau Panjang. Makan tengahari sebelah Masjid Beijing. Lawa masjid dengan reka bentuk tokong cina. Bila sampai Rantau Panjang, memang belanja sakan mak abah. Kedai semua dalam kedai dan tak perlu naik turun tangga. Abah dan mak sennag nak berjalan. 

Panas cuaca. Aiyoyoooo... Al Fatih sampai tertidur sambil jalan. 

2 hb 2016 | jumaat
Jam 9 pagi lebih kurang gerak ke Bukit Bunga. Abah cakap jajan tak cukup. Belanja lagi. Balik pun dah tengahari, makan bungkus lagi. Memang tak masak pun kat Jeli kali ini...hihi.

Kemas beg sebab malam nak gerak balik kampung. Barang belanja simpan dulu, nanti khamis dah cuti raya haji baru bawa balik naik kereta.

Jam 6 petang gerak ke Tanah Merah. Singgah solat jamak Maghrib dan Isyak kat Masjid Ismail Petra. 

Jam 7.45 malam dah sampai ke Stesen Tanah Merah. Ramai juga orang. Tapi lagi meriah. Siap ada taklimat keretapi apa, ke mana...peraturan. 



Jam 8.20 keretapi sampai. Al Fatih pun dah nampak tilam terus tidur. Bagus Al Fatih. Dilahirkan sebagai seorang pengembara...hihi

3 hb 2016 | sabtu
Lewat 1 jam keretapi sampai ke Stesen Kluang. Famili makngah dah tunggu. Kepenatan yang amat pula kali ini. Tidur sekejap sebelum balik ke rumah. Penat jalan.



Misi tercapai. 
Ada misi seterusnya, insyaAllah.



Friday, August 12, 2016

Membina kegembiraan.


Hari ini macam senang hati pula. Seperti banyak masa untuk menaip panjang. Banyak juga perkara yang tertinggal nak kongsi. Ada juga perkara nak dikongsi, tapi belum sesuai diberitakan seawal ini. 

Ok, kembali kepada tajuk dan fokus untuk menaip malam ini. Cara untuk membina kegembiraan. Makluman ini mungkin sesuai untuk orang perempuan. Mungkin lebih baik saya fokuskan membina kegembiraan untuk ibu menyusu supaya kilang susu terus maju dan berkembang dengan pesatnya.

Tujuan utama menaip juga untuk lebih gembira dan bermotivasi. Hari ini Al Fatih genap sepuluh bulan. Gembira sebab berjaya menyusukan Al Fatih dengan susu ibu. Semoga rezeki buat anak kecil itu berterusan.

Sedih juga, terkilan pun juga. Sebab ada geng pam susu disekolah yang mula hilang satu persatu. Awal tahun berenam berkongsi cerita dan gosip. Hari ini baru saya terperasan, semakin sunyi tempat lepak bersama. Semoga ada juga rezeki buat rakan-rakan Fatih.

Ok.....terus fokus pada tajuk. Langkah atau cara membina kegembiraan supaya kilang susu bertambah maju. Walaupun tidak kerap mengepam susu.

1. Lihat gambar atau video anak.
Semestinya beratus ribu gambar dan video dalam henpon ibu kan. Tengoklah satu persatu. Mesti seronok kan. Mesti ketawa sendiri kan.

2. Cuci mata.
Tak dapat nak shopping pun tak mengapa. Asalkan dapat tengok pun jadilah. Seronok pilih-pilih kan. Macam-macam nak beli. Tapi bila fikir balik semuanya cuma kemahuan.

3. Shopping sebagai reward untuk diri.
Yolah....kalau asyik tengok je, bosan la juga kan. Belilah sebagai hadiah untuk diri sendiri. Kalau barang tersebut juga memudahkan proses pengurusan susu ibu, apa salahnya. Sebagai contoh, beli baju yang mesra menyusu. Itupun antara keperluan untuk menyusu kan. Memudahkan untuk menyusu di tempat awam. Jangan ragu-ragu nak beli. Yang penting kita gembira kan.

4. Jalan ambil angin.
Sama ada ambil angin atau cuci mata di mall. Asalkan kita gembira. Tapi yang ini agak penat sedikit. Kadang saya pun tak minat sangat. Kecuali ada suami yang sanggup dukung Fatih...hehe

5. Tidur atau rehat.
Ada masa rehat puas. Tidur cukup-cukup. Bila tu? Semestinya semasa anak tidur. Kita pun tidurlah. Lantaklah kalau baju belum basuh, botol susu belum cuci, baju untuk esok belum sempat lipat. Itu belum ke ini belum ke...biarlah....tidur dulu. Rehat dulu. 

6. Minum susu.
Saya rasa bila dapat minum susu atau yang seangkatan seperti milo. Rasa mood baik je.......tenang je.... Lepas tidur sama-sama Fatih. Bangun jam 1 pagi. Minum susu sambil mengemas, rasa senang hati. Lepas tu tidur lagi. Esok bangun subuh pun bertenaga. 

7. Banyak minum air masak.
Kekurangan minum air masak juga mempengaruhi juga mood kita. Kurang air, lembik semacam je. Sekurangnya 1 liter keatas la. Cubalah. 

8. Makan.
Makan makanan yang kita nak sangat. Dapatkan secepat yang mungkin. Mesti gembira sangat. Makan durian yokkkkk.....


Ok, dah habis taip. Dah habis juga idea. Setakat ini gembira dengan lapan cara. Mungkin ada lagi, tapi dah terlupa apa. Nanti boleh dikongsikan lain kali.

Semoga kilang susu terus maju dan cemerlang sehingga Al Fatih genap 2 tahun. Lebih pun tak mengapa. Semoga Allah redha. Semoga diberikan kesihatan yang baik. Semoga ibu lain juga sama-sama berusaha dan diberikan rezeki melimpah ruah untuk anak masing-masing. InsyaAllah.



Masih bulat.

Thursday, August 11, 2016

Pipi Bulat


Genap 10 Bulan.
Hari ini 11 ogos, Ahmad Al Fatih bin Ahmad Kamil menjangkau 10 bulan. 

Pipi Bulat


Perkembangan Al Fatih sehingga minggu ini.
(ibu taip dan simpan beberapa kali, sebab kalau nak ambil masa menaip panjang...tak cukup masa).

1. Gigi sedia ada 4 batang. Ada perkembangan untuk gigi ke 5 dan ke 6 untuk muncul. Ibu belum sempat nak bawa Al Fatih pergi jumpa doktor gigi. Misi bagi tahu ada tempoh sehingga umur setahun. InsyaAllah, nanti kita cari masa ye sayang.

2. Merangkak dengan berjaya. Sebelum ini hanya mengelungsor macam anjing laut. Tapi sebulan ini dah nampak Fatih pandai mengawal lutut untuk bergerak. 

3. Boleh duduk dengan sendiri. Berdiri dengan memegang meja, kerusi, orang dan walker. Kadang terlupa sedang berpaut, terlepas tangan dan terbongkang ke belakang.

4. Makan? Suka makan, tapi tak banyak kuantiti. Ok tak mengapa.

5. Bermain? Suka mengacah dan mengajak orang bermain. Kesian takda kawan nak bermain. Sebab itulah ibu suka bawa Fatih jalan rumah maklong, makngah, atok cu dan jalan-jalan. Supaya Fatih kenal orang lain selain ibu, papa, nyaie, atok, atok serom. Kalau ramai kawan, sampai penat mengantuk pun sanggup tak tidur. Bila tidur dalam keadaan penat....awak pun mengigau malam-malam, menangis. Ibu juga susah hati.

6. Aktiviti mandi manda sangat disukai Al Fatih. Berendam lama pun awak tahan. Ibu tahu dan ibu pun suka. Sebab ibu sempat memasak, sempat cuci botol, sempat basuh baju. Nanti ibu belikan kolam besar eh sayang. Yeahhhh...kita ajak papa mandi kolam pun best ni.

7. Masih menyusu ibu sepenuhnya. Susu ibu harganya tiada. Selain untuk kebaikan Al Fatih untuk perkembangannya. Baik juga untuk ibu, tak perlu membancuh susu malam-malam buta.

8. Lampin pakai buang atau nama komersialnya pampers telah bertukar ke size XL. 


Ada beberapa lagi misi yang belum tercapai. Walaubagaimanapun tak mahu dikongsikan lagi buat masa ini. Biarlah bila sudah tercapai, baru kita kongsi. Okay.....


Tuesday, August 09, 2016

Gurau-gurau nak datang beraya.



Ramadhan telah lama meninggalkan kita. Syawal baru sahja berakhir. Sebelum cerita hari raya berbau basi untuk ditatap. Ada baiknya saya taip secepat yang mungkin.

Sepanjang mengajar di Batu Pahat, belum pernah anak murid datang beraya ke rumah. mulanya saya menyangka mereka hanya bergurau hendak datang ke rumah. Hampir tiap hari bila terserempak dengan saya asyik berpesan nak datang ke rumah. 

Terkejut juga mereka jumpa rumah saya dengan tidak menerima satu pun hint nombor telefon dan alamat rumah. 



Al Fatih nampak gembira dikelilinggi abang-abang eh.... Kelam kabut juga sebab tak bersedia menerima kunjungan. Apatah lagi baru balik dari pasar. Nasib baik niat beraya dibatalkan. Ada tetamu nak datang rumah. Sempatkan juga mengoreng mee hoon goreng dan sukun goreng.

Terima kasih sudi datang. Jangan malu-malu datang lagi tahun depan. Elok-elok meronda. 

Lain kali jangan gurau-gurau nak datang beraya.


Tuesday, July 12, 2016

Syawal dirai, Ramadhan yang dirindui.


Ramadhan tahun ini, perkara yang paling saya rindui tentunya malam teraweh berjemaah di masjid. Sempat sekali sahaja teraweh sendiri di rumah. Malam pertama teraweh, malam seterusnya lebih kepada godaan malas. Lepas hantar mak pergi teraweh di masjid, sampai dirumah terus padam lampu tidurkan Al Fatih. 

Pernah juga berangan nak bawa Al Fatih sekali ke masjid. Tapi mak melarang. Ada hikmahnya bila tersebarnya video lelaki yang cuba nak menculik bayi dari dukungan kakaknya di sebuah masjid ketika teraweh. Mujur kakaknya menjerit. Berderau saya melihat video tersebut. 

Semoga Allah berikan saya kesempatan untuk dapat kembali teraweh berjemaah dimasjid. InsyaAllah nak pergi sama-sama suami pula. 

Banyak juga perkara berlaku sebelum tibanya syawal. Terutamanya bila group whatapps famili sebelah emak yang 'panas' dek kerana ada sikap sepupu yang tidak menghormati makciknya. SubhanaAllah. Dugaan bulan puasa. 

Ada suatu perkara yang tak disangka. Suami yang belum pernah berjaya buat kejutan kepada saya, akhirnya berjaya buat kejutan malam balik ke rumah mentua. Cis...cissss...kenapalah saya tak boleh nak agak. Dimanakah deria ke 6 saya....huhu

Terima kasih bebanyak abang :)

Hadiah yang tak seberapa. Tapi amat bermakna buat saya, 14 bulan berhadapan henpon yang blackscreen apabila membuat/menerima panggilan. Terasa lebih bersemangat nak membuat/menerima panggilan selepas ini...hihi


Sebagai kenangan. Gambar raya tahun 2016. Al Fatih genap 9 bulan 11 julai semalam. Semoga Allah berkati famili kecil kami. Amin.