Wednesday, November 11, 2015

Sebulan Al Fatih.



Alhamdulillah.

11 Oktober 2015.

Hari ini 11 November. Genap sebulan amanah Allah kepada kami berdua. Perjalanan yang rasanya panjang menanti dan menunggu akhirnya terasa singkat apabila hari ini genap sebulan. Si kecil telah keluar melihat matahari pagi mendapatkan vaksin pertamanya. Alhamdulillah. 

Andai diberikan kesempatan waktu. Saya kira kesempatan yang agak panjang untuk saya coretkan sedikit kenangan untuk bacaan si kecil akan datang. Sedikit kenangan perjalanan menunggu dan melahirkannya. Sungguh, hanya Allah sahaja yang memahami situasi, perasaan, sakit, perit dan pedih. Hanya Allah.

Alhamdulillah. Si kecil ini sihat walafiat. Walaupun sebelum ini banyak 'ahli nujum' berteka teki tentang jantina. Banyak juga kata negatif singgah dengan momokan jaundies. Alhamdulillah, si kecil sihat sehingga hari ini.

Tiada tips ataupun menu istimewa diamalkan. Hanya doa sepanjang tempoh kehamilan yang tak pernah putus, saya mohon Allah jaga si kecil, bantu saya menjaga si kecil sepanjang dalam kandungan. Sehingga kini masih juga saya amalkan. Andai ada sakit, biarlah saya yang menangung sakitnya. Jangan bebankan si kecil. Alhamdulillah, Allah kabulkan. 

May Allah bless fatih, ibu dan papa.
Love u.



Thursday, November 05, 2015

Meggi.



Sebenarnya lama juga saya berpantang dengan makanan kegemaran ramai yang sangat mudah disediakan ini. 

Apabila disebut makanan segera, maka berapi-api orang sibuk cerita tak elok, tak bagus dan tak yang macam-macam lagi. Sakit juga telinga mendengarnya.

Namun saya bukanlah terlampau ekstrem dengan makanan segera ini, sekadar makan 'jarang-jarang' apabila tekak merasa menu lain sudah tak sedap masuk ke perut. 

Kalau ramai pelajar mengatakan menu ini yang terbaik dihujung semester, saya masih lagi tenang mengira baki duit biasiswa. Awal semester sudah saya asingkan duit masuk ke akaun lain. Malah siap sedia mengira kos makan sehari selama hampir 14 minggu berkuliah. 

Sehingga sekarang sudah bekerja, saya praktikkan perkara yang sama. Duit gaji bulanan perlu diagihkan kepada bayaran hutang piutang. Kemudian peruntukkan untuk orang tua dan semestinya tolak terus secara automatik ke akaun simpanan luar. Tidak hanya simpanan awal bulan, baki belanja harian yang tidak digunakan secara total akan dimasukkan ke dalam tabung sementara untuk perkara kecemasan. 

Memang sukar hendak konsisten dan istiqamah membuat agihan bulanan. Apatah lagi jika kita masih lagi mudah terpengaruh dengan kemahuan diri sendiri. 

Kadang masalah yang saya selalu alami, apabila terlampau ekstrem menyimpan ada beberapa keperluan pun saya abaikan. Contohnya waktu menyelengara kereta pun saya lewatkan, cermin mata yang semakin unsang masih digunakan, sekadar menyebut beberapa contoh. 

Sejak dua tiga menjak, cermin mata asyik hilang dan tanggal cermin dari bingkainya. Rupanya sudah masuk 5 tahun tidak bertukar. Kuasa kanta pun dah macam orang rabun. Keperluan yang perlu difikirkan sebelum bersekolah kembali tahun depan nampaknya.


Wednesday, November 04, 2015

Peristiwa 4 November


Peristiwa 4 November.

Saya jarang lupa tarikh penting dalam hidup saya. Peristiwa penting pun begitu. Malah perkara yang pernah berlaku walaupun sekecil mana, masih juga teringat jika masih berbekas di dalam hati. Itu perkara kecil, kalau perkara besar sangatlah di ingati. Perkara gembira dan juga yang kurang mengembirakan.

4 November 2013.
Kalau ikut tarikh kalendar Islam. Hujung tahun waktu itu. Petang itu wajar membaca doa hujung tahun. 

Tentulah saya ingat. Keluarga dari Serom 6 datang merisik. Saya fikirkan biasa sahaja kedatangan bawa sebentuk cincin mungkin. Meleset apabila siap dua dulang cantik berhias di isi dengan buah dan sepasang baju. 

Malu dan segan. Entah. Perasaan yang tak boleh digambarkan. Tarikh yang penting, permulaan untuk langkah seterusnya. Selepas tarikh ini, pelbagai perkara perlu dipelajari dengan sepantas mungkin diserap. 

Saya sentiasa berpegang. Saya tidak sempurna. Namun saya cuba menjadi yang sempurna mungkin. InsyaAllah. 

Jika saya berbuat silap dan salah. Tegurlah dengan berhikmah. Saya manusia biasa yang punya perasaan. Walaupun nampak tidak berperasaan. 




Sunday, September 27, 2015

Menu yang pernah dimasak.



Hari ini rasa nak masukkan semua gambar makanan yang pernah dibuat untuk tahun 2015. Sebahagian gambar yang sempat diambil. Ada juga yang tak tahu letak dimana. Mungkin dalam telefon kecil. 

Tak mengapa, sebelum tab semakin berat dengan menyimpan pelbagai memori. Baik juga diabadikan dalam blog. Sekurangnya saya boleh mengimbau kembali akan datang. Resepi? Tak perlu rasanya, hanya google sahaja. Berderet orang berkongsi resepi.


Ini pecal daun ubi dan ikan caru bakar cecah air asam. Lama tak makan. Sebenarnya rasa sedap makan pecal di rumah ibu mertua. Itu yang mencuba bagi ibu sendiri makan.



Sengaja menayang berketul udang buat tatapan...haha. Mee goreng mamak dengan udang besar. Memang mimpi indah makan udang banyak begini.



Ini mee sup dengan udang juga. Memang hantu udang kot. Heh



Ini semasa musim mangga. Buat jeruk. Walaupun tak makan banyak, entah nafsu nak buat banyak. Lepas buat tak makan, simpan dalam peti. Tapi pelik juga bila dah tiada. Mak buang atau ada bagi kat orang.


Ketam masak lemak cili api. Kebetulan dapat ketam murah. Selalu sekilo mahu cecah rm30. Musim rasanya dapat murah bawah harga rm20. Bolehlah walaupun kecil saiznya.


Pengat keladi. Ini bukam saya buat rasanya. Cuma waktu ini sibuk buat kerja sekolah. Emak sangat baik hati siap hidangkan kepada saya. Terharu.


Donut gebu. Cubaan menggunakan tepung naik sendiri. Memang gebu. Cepat naik dan teksturnya sangat lembut.


Donut sambal dan bom goreng. Gila menguli. Buat lagi resepi pau gebu tapi diolah dengan cara berbeza.


Pengat keladi ceria. Ini air tangan sendiri. Menarik bukan? 


Musim mengentel karipap kembali. Selepas gila membuat karipap frozen. Lama juga tak mengentel karipap. Sudahnya malas macam biasa. 


Bubur kosong. Kurang selera makan. Agak murung. Memgejarkan masa menanda kertas periksa. Sedap juga. Mudah ditelan. Boleh dicuba bagi mereka yang malas mengunyah seperti saya.


Lama juga tak memasak. Seminggu lepas gian nak memasak. Bubur somsom. Memang sedap dimakan petang.

Kalau mood rajin datang melanda, memang rasa nak masak. Tapi memikirkan yang setia makan hanya beberapa mulut sahaja, selalu idea itu hilang. Malas membazir. Kalau nak masak, pastikan esok kena bawa ke sekolah. Kawan sebelah meja pasti tidak menolak. 

Salam maghrib.




Saturday, September 26, 2015

Besday Emak.


Besday mak.
Cuba dijadikan tradisi wajib tahunan. Besday mak kami adik beradik cuba sambut. Paling wajid datang anak mak. Menantu pula jika tak dapat datang, dapat beri izin isteri menyambutnya pun sangat membantu.

Tahun lepas memang kebetulan juga semasa cuti penggal. Ada saya kobgsikan disini. Besday tahun lepas.


Tahun ini sedikit kelainan untuk diri saya sendiri. Saya bawa mak dan abah jalan makan diluar. Sengaja bawa ke kedai eksklusif sedikit. Lagipun abah asyik persoalkan kesedapan kopi yang dijual. Sedap sangat ke?

Selepas diuji, abah mengakui memang sedap. Tapi biasalah abah mesti nak bandingkan dengan kopi dijual diwarung...hihi...


Persetujuan bersama, besday mak sambut seawal sehari. Sebab angah esoknya hendak bertolak balik berhari raya di Kelantan. Menu pilihan untuk tahun ini seperti sebelum ini, disponsor dan dikongsi semeja. Lebih mudah dan ringkas. Tak membebankan yang sibuk bekerja ataupun tidak.

Menu.
Tomyam bihun (makude)
Kek kedai (maklong)
Kek marble (makngah)
Koktel (makude)
Kopi dan teh (ada kat dapur)
Buah (maklong)
Pulut kuning (maknyaii)
Ayam kfc (makngah)


Gambar diambil oleh abang ngah. Menantu paling rajin untuk sesi makan-makan...hihi. Menantu lain, rajin membanting tulang mencari sesuap rezeki...hikhik
Cucu semua ada dalam gambar, ada 6 orang dan ketujuh masih dalam perut. Yang ke 6 sibuk mengempeng maknya. Malu-malu pula yea, tahun lepas senyap je kena bedung. :P
Adik lelaki? Sibuk dengan bisnes masak-masak. 


Selamat hari lahir mak.
Semoga diperluaskan rezeki, diberikan kesejahteraan kesihatan dan disenangkan segala urusan.

InsyaAllah. 
Ada rezeki lebih, kesempatan yang panjang kami adik beradik buat lagi tahun depan.

Amin.


Sebagai ingatan.



Salam Aidil-adha.

Peristiwa ini berlaku raya Aidil-fitri yang lepas. Cuba saya kongsikan untuk raya kali ini. Entah mengapa, mungkin ada peristiwa yang sedikit mengamit pandangan dan perasaan.

Mungkin ada sebahagian dari kita yang mendapat cuti pendek hari raya kali ini. Kebetulan juga cuti dibekukan untuk hari jumaat pula. Hampa. Tak dapat pulang ke kampung. Terpaksa dengan rela hati beraya di perantauan. Jika isteri senasib yang sama, maka makan ketupat lodeh dirumah sendiri.

Inilah masalahnya, jika kita hanya memikirkan balik kampung apabila cuti bersempena. Dapat cuti raya, cuti merdeka, cuti keputeraan sultan atau raja, dan cuti umum. Hanya cuti itu sahaja peruntukkan untuk balik kampung. Maklumlah nenek dan atuk pasti tengok kalendar dan maklum dengan cuti umum sekian.

Entah kenapa susah benar kalau bercuti hujung minggu, luangkan masa balik kampung. Kalau jarak kurang dari 5 jam, rasanya boleh balik setiap bulan. Atau jika lebih 10 jam perjalanan, mungkin 2 atau 3 bulan sekali. Peruntukkan kos balik kampung pada setiap gaji bulanan. Buat tabungan.

Memang kos hidup tinggi. Tapi bagaimana kita menguruskan keperluan dan kemahuan kita dalam perbelanjaan. Bagi saya, gaji besar atau gaji kecil bukan masalahnya. Semakin besar periuk, semakin besarlah keraknya.

Peristiwa ini berlaku semasa saya ke klinik raya yang lepas. Saya duduk menunggu giliran. Datang perempuan tua yang sangat kurus duduk bersebelahan dengan saya. Saya tidak menegur dan hanya melihat tab sendiri. Takut dan bimbang jika orang sebelah demam dan batuk berjangkit jika diajak berbual. Air liur agen penyebaran kan.

Sedang konon khusyuk melihat tab. Saya menjeling perempuan disebelah saya. Ada getaran dibadannya. Agak kuat. Saya terdiam. Lalu saya tutup tab dan simpan dalam beg. Saya keluarkan tisu baru. Untuk saya tutup hidung dan mulut sendiri. Berjaga-jaga.

"Makcik demam teruk ni...."
Saya menyapa. Jujur dan terang.

"Haah nak, dah makan ubat...tapi masih macam ni..."
Dia menoleh saya. Matanya merah dan suaranya bergetar. Nampak agak menakutkan bagi saya. Saya sentuh tangannya. Saya sentuh lengannya.

"Ya Allah cik.....badannya panas sangat. Kuat gigilnya...demam panas ni kan. Cik penat sangat raya ni....tak rehat eaaa...."

"Anak cucu balik...makcik tak boleh nak rehat. Kesian diorg nak makan apa..."

"Kenapa tak terus pergi hospital besar? Kalau cik terus ke sana, mesti masuk air ni...dapat rehat sejam dua...."

"Anak yang bongsu cuti hari ni....dapat hantar klinik. Kalau ke hospital siapa nak jaga"

Sayu ayatnya. Sedih dihati saya. Hatinya mungkin pedih. Saya usap lengannya.

"Kalau tak elok makan ubat, nanti cik mintak dihantar ke hospital yea...jangan buat keje berat cik...rehat je, anak-anak faham cik tak sihat..."

Itulah dia. Emak. Anak-anak balik tetap berusaha berikan yang terbaik. Walaupun tahu badan dah tak secergas dahulu. Kudrat semakin lemah, namun tetap cuba melayan anak cucu sebaiknya. Kenapa kita tidak begini?

Kalau kita balik sekurangnya sebulan sekali, dan secara bergilir mungkin lebih baik. Maka kita dapat pantau keadaan mak dan ayah dikampung. Demam kita hantar ke klinik. Sengal dan sakit badan, hantar berurut pula. Tidaklah raya terkejut dengan keadaan sibuk dan ramai anak cucu.

Entahlah, susah nak bercakap hal berkaitan keluarga. Malas nak mencari salah siapa. Baiknya kita baikki masa kita untuk keluarga. Tak perlu mengharap abang akak dan adik kena begitu dan begini. Kita yang perlu ubah diri kita.

Penting untuk saya.

Sebagai ingatan di hari kemudian.

Semoga Allah redha dan memberkati.

*sempena besday mak*


Jerebu



Jerebu. 
Semakin tebal. Semakin buruk. 
Matahari terlindung disebalik debu kecil.




Friday, September 25, 2015

Aidil-adha yang menginsafkan.


Salam Aidil-adha.

Alhamdulillah masih diberikan kesempatan menyambut hari raya Aidil-adha. Cuti yang agak panjang bagi warga sekolah untuk raya kali ini. Kebetulan jatuh pada cuti pertengahan penggal kedua. Untunglah yang bersekolah, juga untunglah cikgu dan cikgi seluruh Malaysia. 

Namun musibah bagi rakyat Malaysia barangkali kerana sedang dilanda jerebu yang agak teruk. Maka, percutian panjang begini lebih baik hanya duduk bertapa di rumah. Mengeratkan silahturrahim. Melakukan aktiviti bersama keluarga dan jangan pula duduk sebumbung tapi masing-masing jauh merayap di alam maya. Adeh!

Saya bercuti seawal cuti sempena Hari Malaysia 16 september yang lepas. Selepas bercuti, aktiviti memang dalam rumah. Keluar sekejap untuk belanja barang dapur teman mak. 

Semasa pergi ke Lembaga Tabung Haji pada khamis lepas, rupanya mak dan abah sempat bertanya kepada pegawai bank tentang giliran untuk pergi haji. InsyaAllah dari tahun 2019 semasa daftar, naik ke 2017. Maksudnya mungkin tahun 2017 yang pasti, atau jika kekosongan pada tahun depan. 

Jika tahun depan rasa belum bersedia, apatah lagi si kecil masih selesa di dalam perut lagi ketika karangan ini ditaip. Mampukah meninggalkan si kecil yang baru hendak genap setahun, misi menyusukan si kecil untuk 2 tahun belum tercapai. Bimbang ketandusan susu dan kerinduan yang pasti melimpah ruah. Namun, jika itu yang ditakdirkan, saya hanya redha...ini jemputan dari Yang Maha Kuasa.

Kemudian, seawal jam 4 petang. Penuh berita kemalangan di laluan jamrah. SubhanAllah...... AllahuAkbar.... Ya Allah...besarnya ujian yang Engkau berikan kepada jemaah haji tahun ini. Saya terkesima. Ajal dan maut semua ketentuanNya.

Memang dalam hidup ini. Kita perlu banyak redha. Banyak bersabar dan banyak bertenang dengan segala kemungkinan. Hidup ini hanya jambatan ke alam kehidupan yang abadi. 

Ya Allah, jangan Engkau bebankan kami dengan beban yang tak mampu kami tanggung. Sesungguhnya Engkau yang Maha Mengetahui.






Saturday, September 19, 2015

Rezeki Allah.


Rezeki sambung belajar,
Rezeki keputusan cemerlang dengan kepujian,
Rezeki kerja awal,
Rezeki gaji besar,
Rezeki sambung belajar lagi,
Rezeki kereta besar,
Rezeki kahwin awal,
Rezeki dapat anak cepat...anak ramai,
Rezeki bercuti dalam dan luar negara,
Rezeki kesihatan baik,
Rezeki macam-macam lagi.....

Semua ini rezeki. Rezeki ini Allah yang anugerahkan. Sebagai tanda kasih sayang Allah. Tapi jangan lupa juga, Allah berikan kemudahan den kesenangan rezeki untuk menguji keimanan hambanya. 

Kita jangan sombong. Jangan sombong dengan Allah. Jangan sombong dan riak dengan orang lain. Jangan bandingkan rezeki kita dapat dengan apa yang orang dapat. Rezeki Allah beri tak sama. Allah berikan rezeki yang bersesuaian dengan kemampuan kita dan keimanan kita.

Sejak akhir-akhir ini, banyak pula yang berkongsikan dan menviralkan kisah peribadi rezeki berkahwin awal, rezeki berniaga online, kisah berhenti kerja menjadi suri rumah dan macam lagi bentuk cerita.

Kahwin.
Siapa manusia kat dunia merancang berkahwin lambat? Jika beliau merancang mungkin ada sebab yang kuat. Tapi bagaimana mereka merancang? Mereka fokus dengan rancangan mereka. Bukan mendedahkan diri mencari pasangan. Mereka mungkin merancang bekerja, menyenangkan ibu ayah dan adik-adik yang masih bersekolah. Mungkin. 

Tak perlulah sibuk viral tentang kehidupan sendiri yang kahwin awal. Memang patut anda berkahwin dari kehulu-hilir berkepit. 

Ada juga yang sibuk berkongsi, perkahwinan sederhana. Menyalahkan keluarga pihak perempuan yang menetapkan hantaran tinggi. Kalau betul ada keluarga yang begini, mungkin sebab utamanya keluarga perempuan hendak memang tak ingin bermenantukan si lelaki. Kalau kail panjang sejengkal, jangan cuba lautan dalam. Kalau dah tahu tak mampu, jangan dipinang perempuan bangsawan...kan?

Banyak lagi isu tentang kahwin. Janganlah berkongsi dan viralkan kisah anda. Bukan semua orang dapat memahami pengajaran dari kisah anda. Bukan semua. Ada segelintir mula mengutuk tindakan ibu bapa. 

Ramai yang menyalahkan ibu bapa. Kisah anda bukan 100% membawa kebaikan. Malah bagi saya banyak keburukan yang muncul.

Berdosa dengan membantah cakap ibu bapa. Mengutuk apatah lagi. Membelakangkan dan menidakkan hak ibu bapa. Kerana mereka kita lahir didunia. Selagi tak meyalahkan syarak, kita wajib patuh. Wajib.

Biarlah kita sakit hati, sedih, meroyan, putus asa dan sebagainya dengan tindakan ibu bapa kita. Ada sebab. Sebabnya? Allah yang menyebabkan semua ini berlaku, ibu bapa hanya asbab sahaja. Jika kita salahkan ibu bapa...maka sebenarnya kita menyalahkan Allah menghalang keinginan kita. 

Nanti ada kelapangan saya kongsikan kisah saya juga. Bagaimana mematuhi ibu bapa mengandakan rezeki kita. InsyaAllah. 


Kita merancang, dan Allah yang menentukan.

Selalu sangat dapat ayat begini kan.

Penting sekali, redha dan tawakal.

Rezeki Allah luas.


*ini pun dikira rezeki*

Wednesday, August 19, 2015

Apabila ketua bertukar...


Bali sekolah petang tadi, kebetulan terdengar berita semasa. Penangguhan amali sains bagi calon SPM 2016. Terkejut.

Terkejut. Walaupun sebenarnya sudah di agak dari awalnya. Namun cuba menidakkan sebab kemungkinan realiti situasi tersebut akan berlaku suatu hari nanti. 

Ya. Nampaknya langkah berjaga-jaga sudah diambil. Saya masih meneruskan PEKA. Alhamdulillah. 

Kenapa ya...apabila seseorang menjadi ketua, rombakan terus dibuat...kenapa tidak meneruskan usaha ketua lama? 

Aiyakkk...memang patutlah saya tak layak jadi seorang ketua. 





p/s: harapnya ketua keluarga tak sembarangan menukar susunan barang dapur secara tiba-tiba. Pengsan nak cari nanti. Ok... :P


Tuesday, August 04, 2015

Kehilangan 17 Syawal.


Hari ini satu lagi berita kehilangan saya terima. Pada masa yang sama sambutan raya tahun lepas juga menerima berita kehilangan. Menjadi sesuatu yang dekat dihati apabila kehilangan itu dialami oleh bekas rakan sekelas yang tentunya sebaya dengan umur sendiri.

Tahun lepas, berita kehilangan begitu mendalam dirasai kerana dalam usia 28 tahun saya baru sahaja dikurniakan seorang suami. Sedangkan rakan seperjuangan baru sahaja diambil kembali suaminya. 

Tahun ini, berita kehilangan itu mengambit kembali kerana situasi yang sama dirasai oleh kedua-dua rakan ini. Mereka ditinggalkan oleh suami dalam anugerah tiga cahaya mata. Perjuangan, matlamat dan cita-cita yang selama ini dikongsikan bersama insan bernama suami masih belum selesai, sedangkan kini harus dilalui seorang diri. 

Ya Allah, memang ujian yang Engkau berikan sesuai dengan kekuatan hambaMu. Engkau berikan ketabahan dan kekuatan serta keluasan rezeki buat wanita ini dan anak-anaknya.



Saya mempelajari sesuatu dari peristiwa ini, suami hanyalah pinjamanan. Kasih sayang dan cinta dari seorang suami hanya pinjaman dari Allah kepada kita. Seperti mana anugerah anak kepada ibu bapa dan seperti mana ibu bapa pinjaman kepada anaknya. Suatu masa nanti, Allah akan ambil tanpa sedikit pun pesanan untuk persediaan. Hanya kekuatan dan keredhaan dipinjamkan kepada kita.



Sunday, August 02, 2015

Ayam Pencen


"Ini ayam apa?"
"Ayam pencen..."
"Mana tau pencen ke daging ke ayam kampung?"
"Ayam pencen keras macam ayam kampung tapi tulang peha ayam kampung besar...."

Sebaiknya saya jawab. Sebenarnya saya sendiri tak tahu jawapannya. Main agak sahaja. Senyap situasi tadi, suami teruskan meratah ayam masak kicap dengan ketupat. Memang hantu ayam.

"Kesian  ayam-ayam ni kan..." saya mencentuskan suasana.

"Kenapa?"

"Ayam ni bila pencen je kena sembelih..." menjadi lawak saya. Dia ketawa.

"Entah pencen keje apa agaknya kan" tak mahu mengalah, menambah lawak saya. Ya, saya juga tergelak sama.

"Ada kot yang jadik cikgu, pencen cikgu....tak sempat guna duit pencen terus disembelih..." saya menambah. Tak mahu mengalah.

"Entah duit bonus pencen 500 tu sempat pakai ke tak ek" saya siku tangannya. Memberikan hint supaya tak menambah lawak dan memberikan kredit kemenangan untuk saya. 

Itulah riwayat hidup seekor ayam. Tamat perkhidmatan terus diberhentikan dengan disembelih. Kalaulah kita yang ada akal ini mengerti jika tamat perkhidmatan umur 60 tahun itu penghujung usia kita. Tentunya kita sentiasa berbuat baik. Dan melakukan yang terbaik. Kalaulah kan....



p/s: suami...love u much.


Friday, July 31, 2015

Kehilangan Ramadhan...


Salam 15 Syawal.

Alhamdulillah, syukur masih dipinjamkan usia sehingga ke hari ini. Menempuh lagi ujian yang silih berganti. Ujian bukan semestinya perkara yang menyakitkan hati, perkara gembira juga merupakan ujian. Lagi hebat ujian tentang perkara gembira sebabnya kita kadang lupa mengucapkan syukur, malah lupa kepada pemberi rasa gembira itu.

Sekolah seperti biasa. Cumanya agak sibuk dengan urusan keluar masuk sekolah. Isnin yang lepas sirih pulang ke ganggang, saya kembali ke UTM. Bukan sebagai pelajar, tapi sebagai tenaga pengajar. Ya, memang peluang datang tidak diduga, saya terpilih menjadi pemudah cara kepada pelajar yang lemah Fizik diperingkat SBP. Ingin ditolak, peluang begini tidak hadir berkali, saya gigihkan juga menyiapkan sedikit nota untuk dikongsikan semasa cuti hari raya. Hampir menangis dihujung bicara bila saya sempat kongsikan kepada pelajar,


Semestinya bukan saya dihadapan. Saya ambil bab tingkatan 4 sahaja. Belum mahir untuk tingkatan 5.


"Saya ada rahsia, dahulu saya seperti kamu semua....duduk, tapi hari ini saya pegang mikrofon berdiri dihadapan kamu. Saya tahu suatu hari nanti kamu juga akan jadi seperti saya."

Kemudian, selang sehari ada pula membawa pelajar untuk pameran Festival Sains dan Teknologi peringkat Batu Pahat. Oleh kerana malas memandu, sudahnya saya menaikki bas dan terpaksa menunggu sehingga 4 petang pulang bersama pelajar. Ya Allah, semoga kesihatan saya sejahtera untuk esoknya hari terakhir sekolah. Sayang jika saya mengambil cuti rehat atau cuti sakit. 

Sempat juga berborak dengan rakan lama. Ex-utm. Tapi dia pakar it, saya lebih ke fizik.


Sekiannya cerita pengalaman seminggu selepas seminggu beraya. Saya kongsikan supaya saya tak lupa. Kadang perkara yang berlaku dalam masa yang singkat mudah dilupakan. Cara nak ingat dengan kita titipkan dalam penulisan. Ada yang suka menulis buku, tapi saya selesa menulis dalam blog. Tapi hanya hal tertentu yang patut dikongsikan.

Salam Syawal dari saya. 
Entah kenapa bagaikan ada sesuatu yang hilang.
Berbicara apa yang perlu.
Semoga semua ini ada hikmahnya.

Love u.
May Allah bless...


p/s: miss my husband kot...😂

Saturday, July 25, 2015

Beraidilfitri di Puncak Gunung Ledang.


Salam Aidilfitri.

Seminggu berlalu Aidilfitri. Seminggu juga berakhirnya cuti raya. Alhamdulillah tahun ini masih dapat bercuti seminggu, cuti lama berhari raya. 

Tahun lepas beraya dirumah emak sendiri, tahun ini giliran suami. Tapi kami tak pernah pun membincangkan destinasi raya kami, dalam hati faham-faham sendiri. Berapa hari disana dan disini, juga tak pernah disuarakan. Bagi saya, sama sahaja raya dimana, yang penting memang akan kedua-dua destinasi. InsyaAllah semoga berterusan begitulah.


Tahun ini bersama keluarga baru dan penuh ahli kerabat semua. Kebetulan mungkin tahun ini kami beraya pertama di Ledang, JDT.

Anak buah dah ada 15 orang. Tapi saya masih ada masalah mengingatkan nama mereka semua. Ada lagi yang malu-malu nak bersalam, saya pun malu juga...hihi



Tahun kedua, masih berdua....insyaAllah kalau memang rezeki kami tahun depan nak tambahkan kerusi kosong disebelah. 

Semoga Allah redha.

Maaf salah silap.





Sunday, July 12, 2015

Cara perempuan melawan tekanan.


Ini kenyataan. Kalau dilahirkan perempuan, sikapnya ada mesti yang sama. Berbelanja menghabiskan duit memang cara terbaik merawat keletihan, tekanan dan ketidakstabilan emosi.

Walaupun disogok dengan memperbanyakkan zikir dan membaca Quran. Tidak dinafikan selain cara tersebut, berbelanja adalah rawatan yang dapat mengembirakan hati seorang perempuan.

Lelaki kena faham, situasi nak ambil hati perempuan mudah sahaja. Belanja apa yang perempuan suka. InsyaAllah baiklah hatinya, senyum memanjang sahaja nanti. Tapi bergantung juga sebab yang mengakibatkan perempuan mengalami ketidakstabilan emosi. Bergantung kepada sebab. Kalau sebab kritikal, laburlah emas permata setinggi bukit mana pun....kalau dah kritikal caranya berbeza. Maka abaikan tips diatas.

Sebenarnya agak lama saya tak berjual beli secara maya. Hampir 6 bulan juga. Kebanyakkan belian sama ada secara depan mata ataupun kirim kak ngah yang juga beli secara maya. Beli banyak dapat jimat kos pos. Kalau untung sabut dapat pula harga istimewa..hihi

Kebetulan pula menghadapi lebaran yang akan tiba 5 hari lagi. Sebenarnya memang saya akui cuaca panas menyebabkan kepenatan yang agak dirasai. Tekanan berlari marathon menghabiskan sukatan pelajaran. Tugasan sampingan untuk majlis tertentu. Ulang alik sekolah juga dirasakan semakin jauh pula di bulan puasa. Dan ditambah pula kondisi keadaan diri dan melihat baju raya yang tak berapa berkenan dimata. Emosi terus tak stabil. Silap sedikit, kesannya besar jika tersalah tersilap langkah.

Sekiannya, saya cuba hiburkan hati mencuri masa membelek kedai maya. Macam-macam pilihan menari-nari dimata. Tapi kengkangan saiz untuk perempuan kurang 155cm tinggi, tentunya pilihan semakin sukar. Tambahan musim perayaan, banyak saiz dah berkurangan.

Alhamdulillah, kedai maya sejak zaman mengajar di Permas Jaya juga mencuri pandang. Saya tak beli baju raya pilihan, tapi lebih baju kasual untuk ber'deting'. Heh...moden kan.


Sesiapa berkenan, bolehlah masuk Qsara.com. Sebelum ini dia buka kedai secara maya, jual pun dalam facebook, lama-lama keluarkan jenama sendiri. Sekarang ada kedai sudah di Bangi. Siap ada website sendiri. Kagum. Sokong produk buatan Malaysia yeaaa....


Alhamdulilah, baju dah sampai petang tadi. Seronok sebab kecekapan penghantaran dan kualitinya masih sama seperti sebelum ini. 



Penghantaran percuma untuk belian melebihi RM 75. Dan dukacita saya maklumkan, jualan promosi rasa secara maya telah tiada. Baru sahaja saya pastikan, betul rupanya. Tapi team Qsara.com telah mengadakan jualan murah sempena raya di PWTC hall. Murah sangat promosinya, beli satu percuma 1. Mengelat sungguh. Nasiblah saya jauh...hikhik

Untuk pengetahuan semua, Qsara.com rajin juga buat jualan murah setiap selasa. Jualan selasa dah lama juga dipromosikan sejak zaman jualan facebook lagi. Sebenarnya banyak juga saya terjebak dengan jualan murah hari selasa. Tapi mungkin 6 bulan yang sudah yang terakhir agaknya.

Rasanya mungkin ada trip kedua berbelanja disini nampaknya. Tunggu promosi akan datang. Sebab memang sangat murah, blouse saya beli hanya RM 29, tapi hari ini kembali ke asal harga RM 39. Tunggu.....

Ok, sekian luahan hati gembira hari ini. Hihi...sekolah tinggal dua hari sahaja, cuti 10 hari.....wahhhhh, raya sakan ok. Jangan lupa teraweh 3 malam lagi. Selamat semua yea..

May Allah bless.




p/s: terima kasih suami, sebab belanja kite...hihi 🙈, terima kasih daun keladi...sambung sendiri pantun ni 


Saturday, July 11, 2015

Pengat Keladi bersama bidadari.


Salam 25 Ramadhan.

Beberapa minit sahaja lagi akan tiba waktu berbuka. Petang ini sempat mengambil gambar resepi Pengat Keladi bersama bidadarinya...hikhik

Mudah sahaja resepi Pengat Keladi. Rebus keladi sehingga agak empuk (jangan empuk sangat). Masukkan butiran tepung berwarna-warni dan tunggu air mendidih sekejap. Masukkan santan. Tunggu sehingga mendidih kecil, masukkan jagung manis, gula melaka dan gula pasir serta secubit garam. Yummyy....!!! 

Oh ya, nak bagi pengat berbau wangi, jangan lupa masukkan daun pandan. Butiran tepung juga mudah dibuat. Sesenduk tepung gandum dan sesenduk tepung pulut serta secubit garam diuli rata dengan air. Kemudian bahagikan dua bahagian untuk diwarnakan. Kalau nak banyak lagi tepung, pastikan nisbah tepung gandum dan tepung pulut sama banyak. 


Ok semua, selamat berbuka.

May Allah bless...


Saturday, July 04, 2015

Bom buatan sendiri.


Salam Ramadhan...

Alhamdulillah, Ramadhan ke 17 hujan akhirnya membasahi bumi. Semalam sebenarnya telah pun merasai hujan, lebat juga tapi hanya semasa disekolah. Apabila pulang ke rumah, mak katakan tiada hujan pun. 

Hari ini mood membuat kuih. Kuih yang belum pernah dibuat. Makanya wajiblah saya taipkan di sini supaya akan datang ada jejak yang boleh diikuti.

Bom inti kelapa.

1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung pau
2 sudu besar susu tepung
1 biji telur
1 sudu besar majerin
secubit garam

1 sudu besar mauripan dan 1 sudu besar gula direndam sebati dalam setengah cawan air suam. Biarkan seketika sampai kembang naik.

Gabungkan kedua-dua adunan sehingga tidak melekat ditangan. Kalau melekat ditangan tambah tepung secukupnya, kalau keras tambahkan sedikit air lagi.

Selesai diuli. Tutupkan dengan kain lembap. Biarkan adunan naik semangkuk...hihi

Apabila adunan naik, tumbuk dan uli lagi. Lagi rajin kita ulang proses naik, kembang, tumbuk dan uli....semakin lembut nanti doh.

Kemudian, bolehlah mula membuat bom inti kelapa. Inti kelapa pun mudah sahaja. Gaulkan kelapa parut, gula merah dan sedikit gula dan garam diatas api kecil sehingga sekata warnanya. 

Resepi ini boleh sahaja digunakan untuk buat doh donut, roti dan sebagainya. Tadi sahaja dapat buat donut juga...hihi

Taraaa....kongsi gambar yea, sebagai kenangan



Alhamdulillah

May Allah bless



Monday, June 29, 2015

Berkongsi kebahagiaan


Salam Ramadhan.
Hari ke 12 kita berpuasa. Masa berlalu dengan pantas dengan cuaca yang agak panas. Saya seperti pernah terbaca yang bulan Ramadhan memang maksudnya bulan yang panas. Enrah lupa dimana sumbernya, google sendiri la eh. Alhamdulillah masih dikurniakan kesihatan yang baik.

Sempena bulan yang mulia dan berlipat ganda, saya nak kongsikan cara menyalurkan kebahagiaan. Jika ada lebihan kewangan untuk persiapan hari raya, bolehlah dikongsikan.


Ok, selamat beramal semua....

May Allah bless u..


Wednesday, June 24, 2015

Misi bulan Ramadhan.


Asslamualaikum...

Selamat berpuasa. Semoga Ramadhan tahun ini menjadi lebih indah buat diri masing-masing. Rasanya belum lagi terlambat untuk kita memperbaiki kekurangan diri.

Kita sering fokus kepada usaha meningkatkan ibadah di bulan mulia ini. Menambahkan solat sunat, memperbanyakkan baca Quran, ringgan tulang membantu dan tak lupa bersedekah.

Dalam pada usaha meningkatkan diri, kita terlupa bahawa meninggalkan perkara yang tak elok (maksiat) adalah yang paling utama. 



Memerangi perkara tak elok dan meninggalkan terus di bulan Ramadhan dan bulan seterusnya perlulah diselitkan sekali dalam misi bulan Ramadhan.

Fikirkan bersama.

Semoga Allah redha..may Allah bless...





Wednesday, June 17, 2015

Ramadhan tahun ini...


Assalamualaikum...

Salam Ramadhan....kena taip laju-laju, sekejap lagi nak pergi teraweh. Hanya hendak berkongsi niat dan matlamat untuk Ramadhan tahun ini, insyaAllah sama-sama kita mempertingkatkan ibadah masing-masing. 

1. Matlamat tahun yang sudah hendak khatam al-Quran. Tahun lepas dapat tak sampai suku juzu'. InsyaAllah, harapnya dapat separuh mungkin lebih baik.

2. Teraweh cukup 30 Ramadhan. Tahun lepas apabila ada jamuan berbuka di sekolah yang berturutan, akhirnya ada waktunya saya pengsan tak mampu nak teraweh sendirian. Ada rasanya 2 atau 3 hari tak cukup dengan sengaja. Kalau disebabkan cuti umum mungkin dalam beberapa hari. InsyaAllah, harapnya tahun ini cukup 30 hari. Apatah lagi tiada cuti umum dijangkakan....doa banyak-banyak.



Niat yang baik, supaya hasilnya baik. Tingkatkan ibadah sempena promosi pahala lipat ganda. Mungkin ini Ramadhan kita yang terakhir....

May Allah bless u all......


Tuesday, June 09, 2015

Dari Terengganu ke Floria.


Assalamualaikum.

Sebelum kembali sibuk dengan rutin sekolah, juga sebelum terlupa dan bimbang adanya kemalangan jiwa 'henpon' canggih ini. Saya kongsikan beberapa gambar sepanjang cuti sekolah tahun ini. Tahun lepas ke Langkawi....entah dimana gambarnya yea...huhu


Destinasi cuti ke Terengganu. Cuaca sangat panas, sebab Kuala Terengganu memang berada berdekatan pantai. Rasa mengecil mata. 

Sementara itu, hendak melunaskan rindu pada universiti kesayangan. Banyak perubahan katanya. Dan ada pula masjid baru...baru sangat sebab saya sempat bertanya dengan staf disitu agaknya, baru 3 atau 4 bulan.



Teringat masa makan sotong goreng tepung (dan lain-lain). Makcik kedai sebelah berborak "cuaca harini tak berapa panas kan..." 

Saya membesarkan mata dan angkat kening kat suami "punyalah panas berpeluh, siap mandi lagi saya tadi...makcik leh cakap tak panas..konfius"

"Diorang dah biasa...dulu abg gelap kat sini, sekarang je putih" 

"Erkkk"


Sebenarnya percutian ini pada awalnya adalah kejutan untuk saya. Tapi biasalah...bukan senang nak buat kejutan, pasti akhirnya terbocor rahsia...hihi...

Lokasi penginapan di Hotel Tabung Haji Kuala Terengganu, betul berhadapan dengan stadium yang runtuh dulu. Entah apa namanya, rasanya dua tiga kali tanya suami. Tapi saya lupa, malas google...cari sendiri yea. Hotel ok dan sangat selesa, bilik besar dan luas. Kalau bawa anak 5 orang pun masih muat lagi...hikhik


Pemandangan memang sangat cantik. Air laut membiru....wah, terasa lama tak tengok laut dan pantai. Terujaaaaa.....rasa nak terjun. Kali terakhir mandi laut semasa mengikuti rombongan Kokurikulum di Smk Permas Jaya di Mersing. Lepas itu, takda peluang...lagipun dah makin matang. Tak sopan mandi di khalayak ramai kan.

Kemudian, janji asalnya yang dekat sebulan asyik disebut nak tengok bunga di Floria Putrajaya. Sampai Putrajaya hampir azan isyak, singgah masjid besi sebab solat jamak maghrib dan isyak kemudian baru tengok bunga-bunga. 

Tahun ini bayaran masuk Rm 5. Suami kata sebelum ini percuma dan tahun lepas bayaran Rm 1. Tapinya tahun lepas tak berkesempatan. Datang malam bukan waktu sesuai tengok bunga, cadangan saya eloknya datang pagi. Bunga kembang mekar melihat matahari. Hihi


Setiap kali ternampak dompet duit dibuka, saya sering kali juga curi-curi tengok gambar awek mana pula yang disimpannya. Haha...nampak sangat....muka sekarang dah hilang 'cute'. Sebab itulah asyik cemburu dengan awek dalam dompet tu....huhuuuu


Ok yang terakhir, posing paling terbaik saya dapat tangkap. Susah nak dapatkan gambar yang baik dengan posing yang baik, sebab waktu malam dan dah semakin pemalu model saya rupanya...ececececeeehhhhh....


p/s: Terima kasih suamiku, may Allah bless u and our family. Love u muchhhh....


Tuesday, June 02, 2015

Sambutan hari lahir ke 29.


Hujung 20-an.
Bagi saya, umur bukanlah rahsia. Saya sedia berkongsi umur. Tapi tak pasti pula 5 tahun ke 10 tahun akan datang. Ramai memberi komen, nampak muda. Kurang pasti ambil hati atau hakikat memang nampak muda..hihi. 

Tahun ini sambut ulang tahun kelahiran jauh di Kelantan. Kondisi diri yang belum sihat sepenuhnya. Genap sebulan sakit tekak bertukar dengan selesema dan demam. Ya Allah, mudah-mudahan ini kifarah atas dosa yang aku lakukan. 

Makan, inilah gambar sambutan hari lahir ke 29 tahun. Terima kasih emak kerana melahirkan, menjaga dan mendidik diri ini dengan penuh sabar. Semoga syurga milik mu tanpa hisab. Amin.


Haaa.....ini la virus rakyat Malaysia hari ini. Sebelum makan tangkap gambar. 



Air feberet katanya.....


Yeahhhhh!!!! Pizaaaa....love u, muaahh 😙


Semoga baki umur yang tinggal ini akan menjadikan saya insan yang lebih baik, sabar dan redha dengan dugaan dan cabaran yang mendatang. Semoga bertambah amalan ibadahnya dan istiqamah amal yang baik. Berharap juga menjadi isteri yang solehah dan redha serta disayangi suami. Hihi..


p/s: baju biru tu hadiah besday dia....da dapat hadiah, sebab tu tak ajak makan2 aritu....haha, lupa nak belanja makan laaa.....


Sunday, May 17, 2015

Selamat Hari Guru.


Saya seorang cikgu, kerjaya saya adalah guru. Saya mengajar apa yang telah saya belajar. Saya mendidik sebagaimana saya terdidik. Saya tahu tidak banyak, namun tidak pula menyembunyikan walaupun sedikit.
Saya menghormati setiap kerjaya didunia ini, namun saya bangga menjadi seorang guru. Sesungguhnya kerjaya ini tidak popular, gaji yang sedikit dan sering kali dipersoalkan tugas dan tanggungjawabnya.
Namun inilah pilihan saya, iaitu mengajar, mendidik dan memanusiakan manusia.

SELAMAT HARI GURU




Sunday, May 10, 2015

Sikap orang kita.


Sikap.
Hari ini saya suka nak menaip berkaitan dengan sikap orang kita. Mungkin juga saya tergolong dalam salah satu sikap yang saya nyatakan.

1. Solat dibarisan belakang/dekat laluan keluar masuk.
Alhamdulillah, anda berjaya solat dimasjid/surau. Malangnya, sikap yang saya kurang berkenan biasanya jemaah muslimah suka sangat solat di hujung barisan. Ada juga (banyak) solat di laluan keluar masuk tempat solat muslimah.

Muslimah nak masuk susah, nak keluar juga susah. Akhirnya terpaksa melangkah jemaah yang sedang solat. Punyalah luas tempat solat muslimah....tapi kawasan belakang nak ke hujung juga pilihan.

Baik di masjid ataupun surau RnR. Kenapa ya? Sepatutnya bahagian belakang adalah tempat muslimah melipat telekung, membetulkan tudung, memakai stokin, menyusukan anak ataupun bagi muslimah yang terpaksa solat duduk.

Tolonglah ubah sikap. Tak salah pun kalau bergerak setapak dua kehadapan, walaupun anda tak berminat nak solat berjemaah. Sekurang-kurangnya anda tak menganggu orang keluar masuk.

2. Memandu laju.
Saya pun suka memandu laju. Tapi bukan laju bermaksud saya mengejar masa. Sengaja laju sebab nak cabar diri...hihi. Tapi berdasarkan pengamatan saya memang pun pemandu yang memandu kereta jenama myV suka memandu laju. Terutamanya laluan bahaya.

Kalau perjalanan sekolah saya yang bersimpang siur hampir 20km pun ada pemandu myV memandu laju dan pemandunya perempuan. Memang saya nak nyatakan pemandu myV agaknya terlupa dia bawa kereta yang berisiko untuk mengalami kecederaan serius.

Oh ya, ini fakta sebelum kemalangan antara myV dan pajero yang mengorbankan 3 nyawa. Sebelum ini, ada kereta myV pecut laju menghala ke Batu Pahat. Akhirnya tumpas apabila bertembung dengan treller panjang dijalan simpang siur. Malang tak berbau kan.

3. Menegur atau jujur?
Banyak kali saya lihat, beberapa orang guru secara terbuka menegur pihak pentadbir tentang kesilapan pentadbir (kelemahan mungkin).

Contohnya beberapa hari lepas kecoh seorang guru yang mengatakan pemandu van sekolah meninggalkan mereka dalam satu kejohanan, sedangkan mereka terlewat 10 minit kerana ada majlis penutup.

Kerana mulut badan binasa.
Habis semua kena maki.
Bahasa jiwa bangsa.
Sebelum nenegur, lihat salah diri.

Bagi saya, jika mahu mengamuk dan menunjukkan ketidak puas hati. Teruslah berhubung dan berbincang (nak bergaduh pun boleh) dengan pihak berkenaan. Tak perlu nak memaki dan memalukan mana-mana pihak. Saya rasa lebih banyak nampak silap diri sendiri dari salah orang yang ditegur.

Jujur dan telus mungkin. Tapi menjaga aib lebih utama dari yang lain bukan?

4. Pilihan.
Seorang rakan tanpa berlapik mengatakan alasan sahaja nak ikut suami pindah. Kalau ada tolak ansur, tak salah kalau suami yang ikut isteri berpindah. Kita boleh membuat pilihan, tapi pilihan yang dipilih haruslah yang bersesuaian dengan situasi.

Hanya mereka yang pernah tinggal berjauhan dengan keluarga atau suami yang memahami situasi ini.

Jika anda tak mampu berkata yang baik, adalah lebih baik berdiam diri sahaja.

Seorang rakan saya berjauhan dengan suamk dan keluarga, dengan menguruskan seorang anak lelaki berumur 8 bulan. Bayangkan betapa lasaknya bayi 8 bulan yang baru mengenal minum, makan, kaki dan barang disekelilingnya. Ibunya seorang yang uruskan.

Berfikir sebelum berkata. Ok?

5. Menyampaikan maklumat atau fitnah?
Kadang saya menjadi takut dengan media sosial. Lagi berkaitan dengan isu politik. Perkara yang diviralkan boleh jadi belum tentu kesahihan, boleh menjadi dosa fitnah.

Kadang saya terfikir, saya yang membaca termasuk dalam kategori mengumpat ke? Berdosakah?


Semoga Allah redha dengan tulisan ini. Jika dibaca dan memberikan kesedaran pada yang membaca, Alhamdulillah...limpahkan kesejahteraan buat mereka. Jika disebaliknya, ampunkan kekhilafan diriku ini ya Allah.





Tuesday, May 05, 2015

Kita Memang Tak Berjodoh.


Pagi tadi, dalam suasana musim bercuti empat hari. Saya cuba mencari semangat ke sekolah. Demam nak masuk hari ke empat. Hampir terkejut apabila terbaca berita harian, Fahrin Ahmad hendak buat sidang media. Tak lama kemudian, muncul pula tajuk berita, Fahrin Ahmad nak menamatkan zaman bujang 9 mei yang kebetulan adalah tarikh lahir beliau.


Huhuuuu....kita memang tak pernah berjodoh. Cehhhh!!!!