Tuesday, December 03, 2013

Hati-hati menjaga hati, Hati-hati untuk berkongsi.


Assalamualaikum. 

Hi semua. Selamat membaca. Agak lama juga tidak menaip di blog kesayangan. Tempat berkongsi gambar, cerita dan sedikit pembacaan. Sebagai inspirasi saya dikemudian hari dan perkongsian sihat motivasi diri sendiri dan yang sudi membaca.

Bila saya mula menaip, apabila saya baca kembali, saya rasa kurang sesuai untuk dikongsikan. Ada juga yang sesuai, tapi apabila saya ulang baca dan difikirkan kembali, mungkin bagi yang membaca akan berfikirkan yang lain pula.

Saya manusia biasa. Apabila terlihat rakan facebook berkongsikan aktiviti harian. Saya rasa seronok membacanya. Kadangkala aktiviti mereka memberi inspirasi kepada saya untuk laksanakan bersama keluarga.

Ada juga yang beberapa aktiviti mereka yang saya rasa kurang sesuai untuk dikongsikan dan saya sendiri malu membacanya. Bercuti bersama keluarga memang tak salah, tapi saya bimbangi akan mengudang masalah lain pula. Rumah ditinggalkan kosong kan sangat bahaya. Pelanduk mungkin melupakan jerat, tapi jerat tak mungkin melupakan pelanduk. Masih boleh nak berkongsi, selepas selamat bercuti, bolehlah dikongsikan. 

Ada juga berkongsi aset dunia yang dimilikki. Kereta, rumah, anak bijak bestari setiap tahun naik pentas terima anugerah. Anak yang comel setiap hari kongsi gambar. Hati-hati semua ini. Semua yang kita milikki hanya pinjaman yang Allah bagi. Allah bagi sebagai amanah untuk kita jaga dan gunakan. Bimbang ada mata-mata cemburu. Boleh mengundang jenayah pula dikemudian hari. 

Ada yang berkongsi amalan ibadat yang dilakukan. Berpuasa setiap isnin khamis, mengaji Quran 7 kali khatam, bersedekah 7 ribu, membantu nenek tua melintas jalan, belanja rakan 7 ratus dan macam lagi sentiasa ditulis dan secepat mungkin disebarkan. Gambar sedang mengaji pun turut dimuat naik? Apa motif sebenarnya berkongsi begini? Mencari bakal suami/isteri yang solehah tak perlulah promote sampai begini.... 

Hati-hati menjaga hati masing-masing. 

Sebenarnya nak buat baik bukanlah untuk ditunjuk dan dipaparkan dimana-mana. Takut pula timbul riak dalam diri. Ada pepatah mengatakan, tangan kanan buat amal sedekah jangan sampai tangan kiri dapat tahu. Bukan menggunakan konsep cubit peha kanan, peha kiri pun rasa sakitnya.



Media sosial memang baik kalau kita gunakan secara baik. Berpada-pada untuk berkongsi. Orang yang bahagia, tidak akan menunjuk-nunjuk kebahagiaan mereka. Mereka bahagia kerana mereka faham, kebahagiaan mereka adalah pinjaman kasih sayang yang Allah berikan.

Maafkan saya juga kerana berkongsi perkara ini. Bimbang akan disalah tafsir. Saya faham, memang saya banyak dan terlampau banyak kekurangan. Saya berkongsi sebagai peringatan untuk saya agar tidak berbuat demikian dikemudian hari. Andai saya lupa, tolong ingatkan saya secara berhikmah. Terima kasih. Wassalam.




1 comment:

Unknown said...

bab dunia, lihat pada yang di bawah, bukan di atas..bab ilmu dan akhirat, lihat pada yang di atas, bukan di bawah..