Tuesday, January 26, 2016

Senja langit karmizi


Tanggal 26 hari ini di tahun 2016. Masa berlalu begitu pantas. Sehinggakan saya belum rasanya puas melalui hari siang dan malam. Belum lagi selesa dengan situasi adanya orang baru di sisi. Masih lagi mencari sudut yang sesuai untuk menyerap semangat aura 2016. Tahun baru, orang baru dan semangat baru.

Senja langit karmizi. 
Maafkan saya andai tajuknya sedikit berunsur sastera. Entah muncul di depan mata. Cantik pula bahasanya. Saya coretkan di sini tanpa mengetahui keindahan di mana.

Pagi semalam hujan rintik. Tapi masih gah bulan dilangit. Jam merangkak ke 7 pagi. Langit gelap bagaikan masih malam. Saya gagahkan diri ke sekolah. AlFatih yang bijak melambai dalam hati melihat ibunya semakin jauh. Iye anak....bukan mengejarkan duit ibu mu bekerja, tapi ini tanggungjawab sosial yang perlu dilunaskan.


Ibu sayang Al Fatih...
Tapi papa ♡ ibu...



Saturday, January 09, 2016

G 2000




Mood pagi jam 1. Selepas menyusukan Al Fatih, ibu memang dah set dalam kepala nak merasmikan printer baru. Printer G 2000 reffilable terbaru dari Canon. Bercinta rupanya beli printer. Sudah 10 tahun sejak pertama kali menggunakan printer. Ketika itu menggunakan IP 2700. Alahai...jauh beza fungsi dan fizikalnya. 

Sesiapa yang berkenan bolehlah tengok kat sini. Ada dua G 2000 dengan G 3000. Beza utama adalah fungsi wireless...beza rm200. Beli kat kedai untung RM 20. Kalau tengok di Lazada ada yang jual harga bawah RM 550. 

Lawa juga kualiti warnanya. Ada banyak kertas gambar yang tersimpan, boleh cuba nanti. Sekadar merasmikan hanya pakai kertas A4 biasa potong empat. Bolehlah buat bagi semangat pagi buta yang hening dan sejuk ini...hukhuk


Al Fatih masih dibuai mimpi.
Ibu sayang Al Fatih, tapi papa ♡ ibu.


Friday, January 08, 2016

Menu 2016 - Kek Oren



Hari ini mood ibu entah kenapa rasa rindu nak membuat kuih. Rindu nak masak. Rindu nak gembirakan hati. Mungkin sebab seminggu sekolah bermula, ibu dah mula balik jam 5 petang. Belum bermula kelas tambahan, tapi masa berlalu singkat. Tugas baru tahun ini, dapat tanggungjawab penyelaras bilik BOSS (Bilik Operasi Sistem Pinjaman Buku Teks Sekolah). Terkejut dan terkedu. Abaikan cerita sekolah. Kembali ke tajuk utama.

Ibu nampak buah oren dalam peti ais. Dalam seminggu juga tak berganjak jumlahnya. Ibu berkira-kira macam pernah terbaca orang buat kek buah oren. Macam biasa, kegemaran ibu untuk bertanya takut tersesat jalan. Dan macam biasa juga, encik google tak menghampakan ibu.

Bahan pun tak serumit mana. Semuanya ada di dalam dapur. Ibu pun semestinya mencari kek yang paling mudah. Ibu kongsikan bahan utamanya dan cara membuatnya.

Bahan
1 biji oren
1 cawan gula
1 cawan minyak
2 biji telur
2 cawan tepung
1 sudu besar baking powder
Secubit garam

Cara membuat
1. Kupas oren. Buang urat putih dan biji jika ada. Potong kecil dan blender
2. Masukkan telur, minyak, gula. Blender sampai gula hancur.
3. Masukkan dalam bekas. Kacau dan masukkan tepung yang sudah diayak sedikit demi sedikit.

Siap dikaup. Bakar suhu 180 selama 45minit ke 1jam. Bergantung oven masing-masing. Tips nak bagi nampak cantik dan bau wangi. Parut kulit oren dan tambahkan pewarna oren. Kek nampak wangi dan cantik.

Mudah kan resepi kek oren. Sedap makan masa minum petang dengan teh o panas. Terbaik dari oven mak...hehe

Ok selamat mencuba. 
Ibu dah buat 3 kek oren petang ini.
Al Fatih kejap tidur kejap jaga.



Ibu sayang Al Fatih, tapi papa ♡ ibu.
May Allah bless us..




Friday, January 01, 2016

Buku baru 2016.




Assalamualaikum.

Belum sempat menaip cerita tahun 2015, rupanya hari ini sudah menjengah 1 Januari tahun 2016. Wah...tahun ini sudah berganjar ke umur 30 tahun pula. Sekejap masa berlalu. Macam belum sempat buat banyak perkara. Malah belum sempat berkongsi cerita tentang Al Fatih. Blog yang dihasilkan sebagai catatan dan gambar untuk Al Fatih juga belum sempat direalisasikan. Aduhai masa, sangat cemburu dengan saya eh.

Azam pertama.
InsyaAllah tahun ini berjanji untuk diri sendiri untuk menjadi isteri, guru, ibu dan anak yang lebih banyak sabar dan kurangkan merungut untuk perkara yang remeh. 

Azam kedua.
Misi paling besar untuk tahun ini juga pastinya untuk Al Fatih. Semoga Allah memberkati kami untuk memastikan Al Fatih mendapat susu ibu sepenuhnya sehingga genap 2 tahun. Semoga Allah mempermudahkan perjalanan panjang 2 tahun ini. 

Azam ketiga.
Walaupun dalam hati serba risau misi ini tidak berjaya. Tak mengapa, saya cuba juga hendak melaksanakan. Semoga Allah mengcukupkan waktu untuk saya khatam Quran seperti tahun sebelum ini.


InsyaAllah mungkin ini misi saya setakat ini. Lusa dah bermula sesi persekolahan. Masih disekolah yang sama. Tapi misi yang berbeza. Semangat baru. Tahun ke 7 saya berkhidmat sebagai seorang guru.


Ok, nak kongsi gambar keluarga. Jarang saya dan suami berbaju sedondon jika bukan baju hari raya. Baju tak sedondon tak mengapa, asalkan hati kita bermatlamat yang sama. Terima kasih menerima kekurangan diri ini. Semoga Allah sentiasa memberkati keluarga kecil kita.



Ahmad Al Fatih, papa ♡ ibu