Thursday, May 12, 2016

Tarikh keramat part 2


Saya sambungkan bahagian kedua tarikh keramat bergelar seorang ibu. Selepas sampai ke hospital tengah malam 11 oktober 2015. Sepanjang perjalanan sentiasa baca doa nabi yunus. Mohon dalam hati dipermudahkan bersalin.

Mak pesan sebelum pergi, biasanya mak kalau dah sakit malam, subuh selamat bersalin. Okay...semangat untuk bersalin berkobar, sebab rasa jam 12 sekarang sampai 6 pagi tak lama. Saya tanya pada suami, nak temankan tak masuk bilik bersalin nanti. Hahaha.....entah kenapa tanya, semestinya masuklah.

Tapi rupanya cerita mak sangat berlainan di pihak saya. Pengalaman yang sangat panjang. Saya ceritakan mana yang masih ingat.


11hb oktober 2015 | ahad

Jam hampir ke 1 pagi rasanya. Sampai parking kereta hospital batu pahat. Masih malas lagi hendak gerak, sebab sakitnya belum kerap. Kalau ikutkan apa yang saya baca, sakit yang datang 5 minit sekali baru betul hendak bersalin. Saya tengok jam dalam 10 hingga 15 minit sakit datang. 

Sampai kaunter bilik bersalin. Buat prosedur yang sama macam hari khamis lepas. Cuma kali ini ada doktor muda perempuan datang, tanya ada tanda ke datang hospital. Saya jawab yea, tanda darah. Ok, dia nak cek jalan ada. 

Ligat kepala saya memikirkan cara dia nak cek jalan. Dengar cerita orang macam-macam. Bila pengalaman sendiri, barulah tahu begini cara cek jalan. Doktor cek jalan dengan seluk pakai jari tengah sedalamnya. Entah macam mana dia mengukur, saya pun tak pasti. Keliling bilik rawatan ada tampal poster saiz bukaan rahim dari 1cm hingga 10cm. Doktor tu kata baru 3cm. Masuk wad biasa dahulu. Pulak....belum lagi rupanya.

Suami agaknya yang minta wad pertama. Katil dua sahaja. Sorang pula tu. Suami dah siap angkat barang, teus tinggal saya sendirian. Saya berjalan keliling katil, keluar masuk wad berjalan ke kaunter dan patah balik. Ulang banyak kali sambil makan kurma. Bila letih, rehat kat katil sekejap. Rehat pun tak boleh lama sebab tahan sakit. Tak boleh nak lelap, sebab sakit datang sentiasa.

Misi datang cek contraction, dia kata kalau masih boleh tahan. Maksudnya belum nak bersalin. Saya tanya....bila yang sakit nak bersalin tak tahan tu rasanya? Bila awak dah tak boleh senyum. Ok, saya tersenyum.

Bila penat berjalan, saya baring sekejap kat katil. Sambil mengiring saya mengaji yasin. Teringat juga surah al-fath. Ada juga terlelap, tapi dikejutkan dengan misi datang tengok. Cuma tengok sahaja. Alahai.....dah la susah nak tidur, bila dah lelap diganggu pula. Sampailah jam 5 pagi, mesej kawan supaya titipkan doa. 

Sambil dengar azan subuh, saya masih belum bersalin. Mesej emak mintak doa. 

Lepas azan, saya mandi sebab nak solat. Darah tanda dah makin banyak. Risau macam mana nak solat. Telekung suami tak bawakan pula. Mesti suami dah ke masjid. 

Dengan apa yang ada, saya solat juga. Asalkan menutup aurat dan bersih. Saya sujud lama. Takut sangat nak bersalin. Dah tak tertahan sakitnya. Dengan tak cukup tidur dan rehat.

Misi masuk nak cek masa. Saya tukar baju sekejap. Misi kata dah makin kerap sakit awak. Masih boleh tahan ke. Saya kata boleh. Dia ingatkan lagi, kalau dah tak kuat, bagitahu. Dia ingatkan juga sarapan, makan jangan lupa. Untuk tenaga.

Jam 6 lebih, sarapan sampai. Sebelum itu saya selamat makan roti dan milo. Tak lalu pula nak makan. Nangis. Sedih entah apa. 

Jam 8 pagi. Kali ini saya macam dah tak boleh nak tahan. Saya mesej suami suruh tunggu depan wad, untuk sedia kalau ada apa.

Dua tiga kali juga saya patahkan niat nak bagitahu misi saya dah tak larat. Last kali ke berapa, saya bagitahu juga. Doktor cek baru 5cm. Alaaaaa......kenapa sikit sangat. Lama tunggu.

Jam 9 pagi rasanya baru ditolak ke bilik bersalin. Bagitahu suami pun dalam mesej sebab malas nak bercakap. Suami kata ok. Tapi misi lambat sangat tolak saya. Rupanya tak terjumpa pun suami masa ditolak depan wad ke bilik bersalin. Harap-harap suami tahulah nanti.

Sebelum ditolak, saya simpan sebiji kurma dalam mulut. Saya kemam. Diam-diam saya simpan sebiji lagi kurma dalam gengaman tangan yang saya siap bahagikan dua. Buat bekalan tenaga nanti.

Sampai bilik bersalin. Misi minta tukar baju. Baju pun dah kotor berdarah penuh. Dibaringkan dan diletakkan alat mesin ctg. Untuk tengok jantung bayi. Suami masih tiada. Saya minta misi carikan suami. Sebab saya dah makin sakit. Makin kerap.

Alhamdulillah, dijumpakan dengan misi yang baik. Dia teman saya. Tolong urutkan saya. Ingatkan saya bacaan yang sesuai untuk bersalin. Saya tak putus baca doa, kalau saya terdiam sebab penat.

Saya tunggu suami sampai. Belum ada. Sedih sangat. Kanan kiri bilik kecil, terdengar bayi menangis. Selamat dah bersalin orang lain. Saya minta misi telefonkan suami. Ada pula misi belagak kata, suami awak patutnya dah tahu kena tunggu dimana. Banyak kali dia ulang. Stress saya. 

Jam berapa tah suami baru masuk. Jam 11 lebih agaknya. Saya tak pasti. Masa tu rasa lega sangat sebab suami dah ada depan mata. Ya Allah.....barulah ada kekuatan nak hadapi sakit yang dah semakin mengila. 

Misi cakap sakit macam nak berak batu tu la sakit nak bersalin. Kalau rasa nak meneran, teruskan je. Sebab tu akan bantu buka laluan. Memang itulah yang saya rasa. Sakit macam nak berak batu yang tak dapat nak dikeluarkan. Mata saya asyik tengok jam. Sebab asyik berkira dah berapa lama saya sakit, kenapa semua orang tak layan saya. Maksud saya minta saya bersalin cepat.

Misi ada datang bawa air masak. Untuk tambah tenaga. Bila misi hilang, saya makan kurma yang saya bawa bekal. Oh ya, lupa nak bagitahu sampai bilik bersalin saya simpan kurma tadi bawah bantal. Suami terkejut nampak saya makan kurma. Heh...

Seingat saya sepanjang dalam bilik bersalin. Lebih 2 kali kain saya ditukar. Sebab banyak darah. Maka, saya rasa macam kurang praktikal kalau nak menggunakan seluar bersalin yang seperti dijual di pasaran. 

Semakin tengah hari. Saya semakin penat dan letih. Ada kalanya saya tertidur. Tertidur ok. Bukan main-main. Suami kejut. Sapukan air kat muka tah berapa kali. Sebab saya tak cukup tenaga. 

Saya betul rasa susahnya nak bersalin. Lebih 24 jam tempoh contraction kalau dikira sejak tengah hari semalam. Ya Allah, masa itu cuma ingat dah kat hujung nyawa. Macam dah nak mati je. Sebab rasa dah tak kuat nak hadapi. Cakap gan suami, apa dosa saya sampai macam ni azabnya bersalin.

Ada rasanya doktor datang. Tanya puan ok ke. Puan sabar, banyakkan berzikir. Puan boleh tahan tak, puan nak ubat tahan sakit tak. Oleh kerana sebelum ini dah baca kesan pengambilan ubat tahan sakit. Saya tanyakan juga pada doktor, ubat boleh hilangkan sakit ke doktor. Ubat tu buat mengantuk ke. Doktor kata, sakit bersalin tak mungkin berkurang dan kesannya memang mengantuk. Maka, saya jawab tak perlu. Sebab saya sedia mengantuk dan letih sekarang ini.

Azan zuhur pun saya masih sempat dengar. Memang tak solat, sebab dah dalam bilik bersalin dengan sakit yang mengila. Kain penuh darah. Saya niat saya mengantikan solat sahaja. Ok saya faham, ramai ustazah kata wajib solat walaupun sakit, walaupun penuh darah. Cuba solat. Ya Allah......sakit bersalin tak sama untuk semua orang. 

Saya tak tahulah berapa kali meneran. Sebab saya sentiasa mencuba. Akhirnya kaki diikat ke atas. Doktor suruh teran tutup mulut. Doktor siap ugut nak vakum dan suami kena keluar kalau saya tak teran sungguh-sungguh. Tiga kali rasanya teran sungguh, sebab yang pertama dah nampak rambut. Kedua nak bagi kepala keluar. Ketiga nak bagi bahu lepas. 

Kemudian apabila beby keluar, doktor tanya suami. Suami blur nak jawab apa. Doktor tanya lelaki ke perempuan. Suami jawab lelaki. Terus beby dibawa lari ke nicu sebab nafas laju dan tak menangis. Alahai anakkk......

Kemudian ada sesuatu keluar selepas beby keluar. Saya agak mungkin itu rahim, ataupun uri bayi. Memang rasa dikeluarkan.

Peristiwa paling saya ingat sampai hari ini. Beby tak menangis, tapi yang menangis bagai pula saya. Memang saya menangis sungguh. Sampaikan staf atau doktor yang tegur, puan kenapa nak menangis...dah selamat semuanya. Suami raup kepala, kononnya minta saya redakan nangis. Wehhhhh.....emosi la, tolonglah faham. Tadi sepanjang sakit bersalin saya tak menangis tau. Saya kuat tahan sakit. Orang nak feel sikit pun tak boleh...huhuhuhuuuuuuu

Selepas bayi keluar, tak sempat nak buat skin to skin. Sebab beby ada masalah nafas laju dan tak menangis. Saya yang baru reda menangis selepas ditegur staf di bilik bersalin. Kemudian mereka mohon suami keluar sebab nak uruskan saya. Terus saya rehat dan tertidur.

Saya tak ingat berapa lama saya tidur. Sepanjang proses tukar kain dan proses jahit memang saya banyak tidur. Sakit dijahit tak sakit mana, kalau dibandingkan bersalin. Saya dapat rasa yang mencuci dan menjahit saya, tapi saya tiada kekuatan langsung. Ada juga dia ajak saya berbual. Entah apa soalannya saya tak ingat langsung. Saya macam makan ubat mengantuk.

Jam 5 petang agaknya saya siap semua dan diberikan air milo suam. Ya Allah.....lega rasanya dah bersih, dah puas tidur dan dapat milo. Keluar dari wad bersalin. Terus cari suami, eh rupanya dia dah tunggu la. Eh mak gan abah dah ada. Kak ngah pun ada. Eh seronoknya.

Mak nangis pulak. Sebab mak kata lamanya bersalin. Mak tak lama macam saya bersalin. Dah lebih 24 jam sakit. Mak cereta itu ini dengan saya. Mak doa supaya cepat bersalin, senang bersalin. Saya cakap dengan mak, rezekinya tak sama dengan mak. Takpalah....

Abah pula tanya mak, beby berapa? Mak jawab, lelaki.
Abah tanya lagi, berapa? Mak jawab sorang la...kenapa.
Abah ingat saya mengandung kembar sebab saiz perut saya besar. Besar sebab beby besar. Sebab itulah lamanya saya sakit hendak bersalin.

Selepas mak abah dan semua balik. Saya tanya suami, dah tengok beby? Dah azankan ke..,dia jawab dah. Beby ok. Cuma doktor nak pantau. Saya cakap nak mandi lepas tu nak tengok beby. Temankan sebelum balik.

Apabila nak turun katil nak ke bilik air, barulah rasa sakit. Sakit badan sakit macam-macam. Perut rasa kosong tapi lembik. Suami hantar sampai depan pintu bilik air. Saya suruh tunggu luar. Tapi tak kuat juga nak berdiri lama. Suami juga yang mandikan siap dengan cuci darah. Saya memang rasa nak pitam sebab airnya sejuk. Mandi kerbau. Sebab tak kuat berdiri lama.

Kemudian, jam 6 lebih baru bergerak ke wad nicu. Tapi beby belum boleh tengok sebab doktor pakar nak pantau. Tunggu luar wad sekejap. Stokin tak pakai, suami patah balik ambil stokin.

Saya sambungkan cerita untuk bahagian ketiga pula. Kenangan pertama kali memandang dan memegang beby. Sebelum menjadi ibu, saya memang malas nak pegang anak orang. Tak terasa nak pegang. Sebab takut anak orang terkehel.

Sekarang beby tak mahu menangis dah aktif sangat. Memang dia jarang menangis. Menangis sebab tak selesa dengan situasi, atau takut dengan orang baru.





No comments: