Wednesday, November 11, 2015

Sebulan Al Fatih.



Alhamdulillah.

11 Oktober 2015.

Hari ini 11 November. Genap sebulan amanah Allah kepada kami berdua. Perjalanan yang rasanya panjang menanti dan menunggu akhirnya terasa singkat apabila hari ini genap sebulan. Si kecil telah keluar melihat matahari pagi mendapatkan vaksin pertamanya. Alhamdulillah. 

Andai diberikan kesempatan waktu. Saya kira kesempatan yang agak panjang untuk saya coretkan sedikit kenangan untuk bacaan si kecil akan datang. Sedikit kenangan perjalanan menunggu dan melahirkannya. Sungguh, hanya Allah sahaja yang memahami situasi, perasaan, sakit, perit dan pedih. Hanya Allah.

Alhamdulillah. Si kecil ini sihat walafiat. Walaupun sebelum ini banyak 'ahli nujum' berteka teki tentang jantina. Banyak juga kata negatif singgah dengan momokan jaundies. Alhamdulillah, si kecil sihat sehingga hari ini.

Tiada tips ataupun menu istimewa diamalkan. Hanya doa sepanjang tempoh kehamilan yang tak pernah putus, saya mohon Allah jaga si kecil, bantu saya menjaga si kecil sepanjang dalam kandungan. Sehingga kini masih juga saya amalkan. Andai ada sakit, biarlah saya yang menangung sakitnya. Jangan bebankan si kecil. Alhamdulillah, Allah kabulkan. 

May Allah bless fatih, ibu dan papa.
Love u.



Thursday, November 05, 2015

Meggi.



Sebenarnya lama juga saya berpantang dengan makanan kegemaran ramai yang sangat mudah disediakan ini. 

Apabila disebut makanan segera, maka berapi-api orang sibuk cerita tak elok, tak bagus dan tak yang macam-macam lagi. Sakit juga telinga mendengarnya.

Namun saya bukanlah terlampau ekstrem dengan makanan segera ini, sekadar makan 'jarang-jarang' apabila tekak merasa menu lain sudah tak sedap masuk ke perut. 

Kalau ramai pelajar mengatakan menu ini yang terbaik dihujung semester, saya masih lagi tenang mengira baki duit biasiswa. Awal semester sudah saya asingkan duit masuk ke akaun lain. Malah siap sedia mengira kos makan sehari selama hampir 14 minggu berkuliah. 

Sehingga sekarang sudah bekerja, saya praktikkan perkara yang sama. Duit gaji bulanan perlu diagihkan kepada bayaran hutang piutang. Kemudian peruntukkan untuk orang tua dan semestinya tolak terus secara automatik ke akaun simpanan luar. Tidak hanya simpanan awal bulan, baki belanja harian yang tidak digunakan secara total akan dimasukkan ke dalam tabung sementara untuk perkara kecemasan. 

Memang sukar hendak konsisten dan istiqamah membuat agihan bulanan. Apatah lagi jika kita masih lagi mudah terpengaruh dengan kemahuan diri sendiri. 

Kadang masalah yang saya selalu alami, apabila terlampau ekstrem menyimpan ada beberapa keperluan pun saya abaikan. Contohnya waktu menyelengara kereta pun saya lewatkan, cermin mata yang semakin unsang masih digunakan, sekadar menyebut beberapa contoh. 

Sejak dua tiga menjak, cermin mata asyik hilang dan tanggal cermin dari bingkainya. Rupanya sudah masuk 5 tahun tidak bertukar. Kuasa kanta pun dah macam orang rabun. Keperluan yang perlu difikirkan sebelum bersekolah kembali tahun depan nampaknya.


Wednesday, November 04, 2015

Peristiwa 4 November


Peristiwa 4 November.

Saya jarang lupa tarikh penting dalam hidup saya. Peristiwa penting pun begitu. Malah perkara yang pernah berlaku walaupun sekecil mana, masih juga teringat jika masih berbekas di dalam hati. Itu perkara kecil, kalau perkara besar sangatlah di ingati. Perkara gembira dan juga yang kurang mengembirakan.

4 November 2013.
Kalau ikut tarikh kalendar Islam. Hujung tahun waktu itu. Petang itu wajar membaca doa hujung tahun. 

Tentulah saya ingat. Keluarga dari Serom 6 datang merisik. Saya fikirkan biasa sahaja kedatangan bawa sebentuk cincin mungkin. Meleset apabila siap dua dulang cantik berhias di isi dengan buah dan sepasang baju. 

Malu dan segan. Entah. Perasaan yang tak boleh digambarkan. Tarikh yang penting, permulaan untuk langkah seterusnya. Selepas tarikh ini, pelbagai perkara perlu dipelajari dengan sepantas mungkin diserap. 

Saya sentiasa berpegang. Saya tidak sempurna. Namun saya cuba menjadi yang sempurna mungkin. InsyaAllah. 

Jika saya berbuat silap dan salah. Tegurlah dengan berhikmah. Saya manusia biasa yang punya perasaan. Walaupun nampak tidak berperasaan.