Sunday, December 07, 2014

#Lactacyd : Tebus 1 Disember


Assalamualaikum.

Sulit juga nak menaip kali ini. Sulit untuk dikongsikan. Apatah lagi untuk dipaparkan. Tapi kena juga kongsi. Supaya perkara yang memberi manfaat dapat dikongsikan kepada orang lain.

Apa dia?
Awak perempuan ke? Kalau jawapannya 'YA'. Sekarang juga dapatkan promosi #Lactacyd secara percuma. Saya sudah dapatkan, cuma belum tebus sahaja.


Jangan lupa untuk 'Like' Facebook #Lactacyd. Kemudian ikut sahaja arahan untuk dapatkan yang percuma. InsyaAllah masih ada sebab baru sahaja promosi penebusan 1 Disember.


Bagaimana? Dapat emel yang sama macam saya tidak? Take care semua.....may Allah bless....


Saturday, December 06, 2014

Travel Trip : Jakarta-Bogor-Bandung (P2)


Assalamualaikum.

Sambungan post sebelum ini (Part 1). Harapnya sampai ke pergi dan balik saya kongsikan.

Percutian ke negara orang Jakarta-Bogor-Bandung mengambil masa 6 hari termasuk hari bertolak dan hari balik. Keseluruhannya 5 malam menumpang katil di negara orang. Perancangan keseluruhan kakak ipar yang mengaturkan. Saya cuma mengikut sahaja. 

Mula bertolak pagi sabtu tarikh 29 November 2014. Jam 9 sudah bergerak ke #KLia2 atas sebab tertentu. Sebenarnya kapal bertolak jam 2.55 petang. Sementara menunggu rombongan dari Muar sampai, pusing-pusing #KLia2 untuk kali ke 3 rasanya. Sebelum ini sudah sampai..hihi

Senyum nak makan ayam lagi...haipp!

Pengalaman pertama naik kapal terbang Air Asia. Pertama kali juga melalui #KLia2. Padahal Klia sahaja belum pernah. Sebelum ini naik kapal Fire Fly di lapangan terbang Senai, Johor.

Jauh benar berjalan dalam lapangan terbang #KLia2. Entah berapa kilometer bergerak masuk untuk menuju ke kapal terbang. Tapi akhirnya berjaya juga sampai ke jejantas yang bawahnya kapal terbang lalu. Sebiji macam gambar DS Najib bergambar semasa perasmiab tempoh hari.

Sempat bergambar..hehe

Selamat tiba di lapangan terbang Seoharto, Jakarta waktu tempatan jam 4 petang. Jam di tangan sendiri menunjukkan jam 5. Lambat satu jam dari Malaysia. Berbeza banyak ganda dengan lapangan terbang kita.

Turun kapal pakai tangga...kemudian ada bas menunggu. Kesian mak kena jalan jauh sikit...ke banyak sikit sebenarnya?

Belakang bas ada macam usaha pembesaran lapangan terbang rasanya. Mudah-mudahan ada penambah-baikan. Masa naik kapal kat JB pun takda naik turun tangga pun.

Kelebihan lapangan terbang kecil, jalan nak keluar pun tidak jauh. Ada kebaikan juga. Kemudian rupanya ada borang yang wajib isi untuk diberikan kepada pegawai imigresen. Entah borang apa, saya isi tiru pakwe kat sebelah.


Akhirnya sampai berpijak di bumi Jokowi juga. Tanah tumpah darah arwah Nyai dan Jaie (nenek dan atuk) sebelah emak.

Nantikan bahagian seterusnya yea..jaga diri semua. Love u.

May Allah bless us. Allah Almighty.


Friday, December 05, 2014

Travel Trip : Jakarta-Bogor-Bandung


Assalamualaikum.

Saya baru sahaja pulang dari perjalanan yang panjang sehari yang lepas. Sepanjang perjalanan memberikan pengalaman yang jauh berbeza dan membuka mata melihat lebih jauh memandang. Sedalamnya terbit rasa syukur dengan kesempatan yang diberi, dengan kelebihan yang Allah pinjamkan sementara ini.

Ya, inilah perjalanan jauh saya. Lebih jauh dari pengawasan mak dan abah, tapi ditemani oleh suami dan ahli keluarganya. 

Entah kenapa penulisan ini sangat skema...hehehe.... Nantikan gambar menarik yang sempat diketip sepanjang perjalanan. 

Memang semuanya indah belaka. Ya Allah terima kasih dengan anugerah yang Engkau pinjamkan ini. Kesempatan, kebahagiaan dan kasih sayang yang Engkau pinjamkan ini.

Alhamdulillah...Alhamdulillah.....semoga Allah terus memberkati kita semua. Amin.

Ini gambar dalam Masjid Istiqlal, Jakarta.


Thursday, November 27, 2014

#Nuffnang...nasibku


Ada orang nak aktif menaip di dalam blog untuk dapatkan duit poket tambahan. Memang betul kalau serius dan ramai pengikut a.k.a followers memang banyaklah dapat point. Point dikumpul boleh jadi duit poket. Saya ada terbaca seorang blogger yang sekarang tak berapa aktif dan pernah menjadi model sambilan sebelum ini, jadi beliau telah pun memperolehi followers tersendiri semasa zaman kerajinan menaip tulisan di dalam blog. Memang ramai dan hasilnya beliau boleh bercuti ke Hong Kong bersama famili dengan duit menulis blog sahaja. Hebat kan. Saya kagum.

Menaip dalam blog pun bukanlah sekadar menaip merapu. Kalau berkaitan dengan hidup peribadi sedikit sebanyak kisahnya memberikan inspirasi kepada orang lain. Selain itu, ada blogger yang rajin memberikan pandangan, komen atau review tentang sesuatu tempat, produk ataupun makanan. Ada juga yang rajin berkongsi resepi makanan. Apa pun boleh ditaip asalkan dapat menarik orang nak baca dan seterusnya memberikan komen. Pencapaian terbaik jika penulisan mereka turut dikongsikan oleh pembaca. Maka semakin ramai yang buka dan baca blog mereka. Point juga bertambah tinggi. Point tinggi duit pun berkepuk-kepuk. Heh.

Selepas itu, bagi nak naikan rating blog, perlulah dikongsikan ke laman sosial lain seperti facebook dan twitter sebagai contoh. 

Saya adalah juga cuba meningkatkan kualiti tulisan saya dalam blog dan seterusnya meningkatkan bilangan pembaca. Tapi entah kenapa semakin banyak difikirkan semakin rasa tak perlu. Saya menulis bukan hendak mendapat pujian atau penghargaan orang. Tulisan ini untuk bacaan saya dikemudian hari. Jika sedikit memberi inspirasi kepada orang, terpulanglah. Semua ini ilmu Allah.

Pagi ini saya cuba-cuba buka akaun #Nuffnang sendiri. Itupun selepas tiga hari lepas mendapat emel dari #Nuffnang. Kandungan emelnya seperti ini. Serius malas nak baca. 


Apabila saya buka akaun #Nuffnang. Seperti sebelum ini mesti terlupa password. Makanya kena la mohon password baru. 


Terkejut juga bila ada nilai RM 0.27. Hahahahaha....nak tergelak pula saya. Entah dari mana datangnya. Alhamdulillah yang mampu saya sebut, untuk tuntut nilainya tak perlulah rasanya. Tak layak.

Bagi saya, untuk sesiapa lepasan SPM atau STPM dari membuang masa melepak dan menghabiskan duit FAMA. Sambil menikmati keindahan cuti panjang baiklah dikongsikan dengan orang luar. Belajar cara nak menulis blog dan seterusnya sehingga menarik orang lain untuk membacanya. Serius boleh menjanakan duit poket.

Maaflah #Nuffnang, tugasan yang diberi susah sangatlah. Bagilah tugasan yang mudah. Blogger lain dapat yang mudah je. Kenapa kenapa dan kenapa...hehehe

Ok la..sampai sini. Tata.


Jom Ngeteh....#tehtarikchekhup


Morning semua.

Pagi ini saya tak buat milo. Dua hari lepas tergoda dan terbeli minuman 3 dalam 1 perasa teh tarik daripada #chekhup. Jangan dipersoalkan jenama tak berapa dikenali, ada tanda halal dari pihak Jakim, maka jangan was-was hendak mencuba. InsyaAllah. Tapi kalau ada yang was-was, sila jangan dicuba.


Dari segi rasa, warna dan tekstur hampir sama yang boleh diperolehi dikedai mamak berdekatan. Berbuih-buih walaupun belum ditarik. 


Ini bungkusan besar. Sebungkus ada 15 peket kecil. Sepeket kecil boleh buat secawan. Secawan boleh diminum sendiri atau kongsi. Jom dapatkan minuman teh tarik 3 dalam 1 keluaran dari #chekhup.

Babai.

Wednesday, November 26, 2014

TIPS : Elak ditipu peniaga online


Hampir dua minggu yang lepas, kakak saya mengadu barang yang beliau beli secara 'online' masih belum diterima. Semenjak Raya Haji yang lepas katanya. Hampir 3 bulan. Saya terkejut dan bertanya detail jual beli secara hitam putih. Alhamdulillah lengkap. 

Saya syorkan beliau hebahkan dalam group dimana beliau mula mengenali peniaga tersebut. Malangnya beliau malas nak kecoh sebab pernah dimarahi dalam laman 'facebook' penjual tersebut yang mengatakan kakak saya agak mendesak sangat. 

Saya tetap tidak berpuas hati. Mendesak beliau untuk membuat hebahan. Mungkin beliau tak mahu hanya dia seorang sahaja yang kecoh, maka beliau membuat siasatan dengan menghubungi pembeli lain yang berada dalam laman sosial penjual tersebut. Kakak saya dapat kumpulkan tiga orang yang menerima nasib yang sama. Masing-masing mendapat respon yang berbeza kenapa barang yang dibeli belum diterima. Antaranya emak sakit, anak tak sihat dan ada pula kematian. Namun masih tiada langkah seterusnya yang dapat menyekat orang lain dari tertipu.

Perancangan Allah juga yang terbaik rupanya. Seminggu kemudian, muncul perkecohan di laman sosial dalam group facebook berkaitan penjual online tersebut. Bukan seorang dan bukan dua dan bukan tiga. Ramai pembeli dan ramai juga ejen dropship di bawah peniaga tersebut memunculkan diri mendesak pulangan duit selepas menunggu sekian lama. Ada yang menunggu hampir 4 tahun, ada yang tiga bulan. Mahu pengsan saya mengikuti drama panjang 3 hari itu. Akhirnya semua pembeli dan ejen dropship dapat hak masing-masing. Saya beranggapan begitu, kakak saya juga mendapat haknya. Alhamdulillah mungkin khilaf peniaga tersebut yang kurang cekap berniaga.

Ingatkan panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Reda seminggu, dua hari yang lepas muncul pula pembeli lain yang tertipu lagi dengan peniaga yang sama. Bingung lagi saya mengikuti drama tersebut. Memang manis ayat peniaga online. Sangat manis, sangat lemah lembut dan baik hati. Susah nak percaya penipuan yang dilakukan. Sebagai seorang peniaga online, seharusnya dia mencatat urusan jual beli yang dilakukan, kemasukan duit dalam akaun dan urusan pengeposan yang hendak dan sudah dilakukan. Semua details seolah-olah hilang seperti rumahnya terbakar. Sehinggakan semua pembeli dan ejen dropship muncul bertubi-tubi macam peminta sedekah.

Saya kurang mahir nak mengulas langkah menjadi peniaga online yang cekap dan sistematik. Baik saya senaraikan langkah menjadi pembeli bijak bagaimana mengenal pasti peniaga online yang bagus agar semua pembeli online yang tegar seperti saya tidak tertipu.

1. Kedai online.
Semua peniaga online mesti ada laman sosial utama untuk mempromosikan barang mereka. Pastikan laman tersebut aktif. Ada jualan terbaru dan masih aktif seperti ada komen pembeli lain yang bertanya dan direspon oleh peniaga. Lebih baik jika ada disertakan testimoni pembeli lain setelah barang diterima. Juga ada medium lain yang boleh dihubungi seperti whatsapp/pm/email. 

2. Google nama peniaga atau kedai online. 
Pastikan tiada feedback negatif mengenai peniaga tersebut. Kalau ada, pastikan tarikhnya bila berlaku. Kalau dah lama sangat, mungkin itu khilaf masa lampaunya. Sekarang mungkin sudah bertambah baik pengurusannya. Namun hati-hati juga...hehe.

3. Mendaftar dengan SSM.
Entahlah bagi saya daftar atau tidak sama sahaja. Nak menipu sekarang sesiapa pun boleh menjadi kebarangkalian. Pakai tudung tapi hisap rokok. Depan kita baik yang amat, belakang kita macam tak percaya hidup-hidup kena tipu rupanya. Wallahuallam.

4. Minta COD.
Kalau kita minta COD, itu dah bukan pembelian secara online. Sebab kita kena keluar untuk ambil barang. Tujuan beli online nak kurangkan masa keluar rumah. Duduk dalam rumah, barang pun sampai. Abang posmen yang tak berapa hensem yang hantarkan. Baik kan.



Ini sahaja yang dapat saya simpulkan. Kebiasaanya saya beli secara online, belum pernah tertipu. Bukan bercakap besar, harap-harap tiada penipuan. Kita pembeli jujur, insyaAllah akan berjumpa peniaga jujur. Kalau terjumpa mungkin sebahagian perkara tersebut berlaku adalah khilaf kita. Mungkin  rezeki tersebut Allah tarik balik, sebab kita lupa bahagian orang lain. Kita lupa diri dengan rezeki Allah bagi.

Sama-sama munasabah diri masing-masing.





Tuesday, November 25, 2014

Malaysian 'my' Top Model #maha2014


Hi. Assalamualaikum.

Sempena lawatan ke #maha2014 yang singkat semalam. Kebetulan pula cuaca mendung dan akhirnya kebasahan juga. Sempat juga berpusing-pusing ambil gambar. 

Jom sama-sama tengok gambar model sambilan tak berbayar. Heh.


Ini kerbau paling besar warna hitam coklat. Sebelah kandang kerbau pink merah jambu. Pelik dan ajaib kerbau bersih warna kejambuan. Semua haiwan pasif belaka, entah bosan tengok orang datang agaknya.


Tengok gayanya macam nak masuk kandang model baju bola. Muka tak nampak lagi. Pemalu mungkin. Tunggu gambar seterusnya.


Bermula aksi menjinakkan haiwan. Eh memang dah jinak semua lembu kerbau di #maha2014. Belai-belai macam kucing yeaaa...hihi


Cewahhh....macam tuan gayanya. Konon bagi semangat dan amanat terakhir eh...hehee


Terbaik dari ladang. Cuma tukang tangkap gambar sahaja tersengget ambil gambar. Halal la...asal nampak New Holand Technology....hihi


Haa...yang ini memang 'rare' kan. Masih baru dan masih dalam kajian lagi. 


Model dah pandai berposing. Wahhhh.....


Lembu lagi. Tapi yang ini agak buas sedikit. Asyik nak menyondol sahaja. Takut juga nak pegang, takut naik minyak.


Model putera lilin. Suci dan murni keluaran desa. Dikelilinggi bunga orked yang berwarna-warni.


Mat bunga rupanya...hihi


Orked dibelakang model berbaju bola belang mahal harganya. Tapi dah sedia cantik dalam pasu besar. Bunganya pun rimbun. Sekali tengok macam bunga plastik kat PISB Air Hitam di jalan Kluang Johor.


Akhir sekali....jeng jeng...model bergaya sakan dengan vespa merah di tanah sawah. Cewahhh.....

Ok. Itu sahaja. Sekian.


Monday, November 24, 2014

#Maha2014


Cerita hari ini mesti ditaip. Tak boleh ditangguh-tangguh. Kalau ditangguh jadi basi nanti. Tak banyak ayatnya, mungkin sedikit dapat dikongsikan dalam post ini. 


Sebenarnya memang sangat teruja nak melawat Maha. Sejak....sejak...entah bila sejaknya, tapi selalu rasa tak adil kenapa pameran sebegini dibuat di Selangor. Ingat apa...orang johor tak minat nak datang ke. 

Berkokok banyak pun, bukan akan dibuat pamera Maha di Johor. Sampai kucing bertanduk pun belum tentu.

Saya tak dapat menaip banyak, sedikit gambar sahaja dapat dikongsi dalam post ini. Kesuntukan masa kononnya, nak membelek gambar pun belum sempat. Kepala berpusing-pusing sebab kebasahan siang tadi.


Ini ayam. Ayam jantan. Mak kata orang tua dulu kata...kalau nak suami hensem makan balung ayam. Maksud saya yang warna merah atas kepala ayam..hihi


Pencinta orked memang boleh jadi sasau tak tidur malam teringat orked yang super duper murah. Orked gajah daun lebar yang dijual dipasar Rengit harga sepokok hampir RM 40, tapi jualan di booth #maha2014 cuma RM 15. Ada juga yang jual secara jamak berjemaah berpukal-pukal. 


Tujuan utama saya tentulah nak tengok lembu besar, kerbau besar, kambing je takda yang besar. Banyak sangat lembu dan kerbau besar. Paling tak sangka, semuanya pasif dan ada yang mesra kamera. Boleh je pengunjung 'selfie', tapi dikenakan bayaran.

Oh yea, lagi satu semua lembu, kambing, kerbau dan segala jenis binatang bersih. Bagaikan disabun bersih. Boleh pegang dan boleh peluk. 


Yang terakhir, tidak dilupakan maskot #maha2014.  Tengah bapak lembu, kiri sedikit emak lembu...yang comel sikit anak lembu takda kepala sebab tukang tangkap gambar. Heh.

Thursday, November 13, 2014

#SarcasTEEk untuk cikgu


Assalamualaikum.

Sekian lama tak bersua, rindu pula. Tapi apa agaknya yang hendak dikongsikan bersama. Hari-hari melalui sama, pergi dan balik kerja. Menunggu akhirnya sesi persekolahan yang akan tiba.

Ada sesuatu juga sebenarnya. Cuti sekolah yang lepas, sambil sibuk menanda kertas peperiksaan. Saya terjumpa jualan beg dari #SarcasTEEk. Sempat juga berkongsi pandangan dengan suami yang paling hensem, tapi biasalah laki-laki mesti tak berapa faham minat orang perempuan.



Tapi masa promosi kenalah pre-order. Maksudnya kena tempah barulah team #SarcasTEEk buatkan. Kemudian barulah barang tersebut dihantar kepada abang posmen yang tak berapa hensem. Akhirnya abang posmen yang tak berapa hensem hantar ke pintu pagar sekolah. Wahhh...seronok kan. Harga pengenalan hanyalah RM65 sahaja.


Secara jujurnya, beg keluaran #SarcasTEEk tidak mengecewakan. Didatangkan dengan saiz yang besar dan tali yang kukuh serta ruangan penyimpanan barang yang sistematik macam beg lain. Selain itu, kualiti beg kanvas yang terbaik rasanya. Kalau pakai sampai ke anak 10 pun masih elok rasanya. Kalau hendak ke pasar, bawa balik buah tembikai 10 kilo pun masih selamat. Itupun kalau muatlah. :P

Namun, baru sahaja saya berpoya-poya ke web #SarcasTEEk sebentar tadi. Mengecewakan beg tersebut telah pun habis dijual. Alahai....kesian. Tapi jangan kecewa, banyak lagi produk lain yang ohsem gila. Saya berminat dengan baju sejuk warna hijau. Tapi label petai pula. Fobia pulak dengan petai...hoho

Kemudian, apa yang mahu dikongsikan selain sibuk menghabiskan wang membeli beg. Tujuan pembelian adalah untuk membantu pembangunan Sekolah Integrasi Warga Prihatin. Sekurang-kurangnya sambil membeli sambil membantu. Nak harapkan keluar duit banyak nak membantu, belum cukup  redha lagi. InsyaAllah suatu masa nanti agaknya.

Maka, jomlah kita melawat web #SarcasTEEk sama-sama. Membeli sambil menderma. Ok. Tata.

May Allah bless u.

Love u.








Sunday, November 02, 2014

Hi November.


Assalamualaikum.

Selamat datang November...

Pagi ini emak gorengkan karipap 'frozen' ke sekolah. Gembiranya karipap yang sedia disejuk beku telah digoreng dengan cantik sekali kulit luarnya. Teruja sampai tahap nak melompat-lompat. Sempat bungkuskan juga kepada teman sebelah meja atas perkongsian hebat ini...haha. Beliau kata saya dah gila buat karipap 'frozen'. Lepas ini buat projek sejuk beku kuih lain. Apa dia? Tunggu yea...


Semalam 1 November pasti semua rakyat Malaysia, khususnya rakyat Pahang dan Johor menghadap TV sampai ke tengah malam. Semua rakyat Johor berharap pasukan JDT membawa Piala Malaysia. Walaupun bukan peminat bola, tetap juga menyokong atas dasar esoknya Ahad mungkin akan diisytiharkan cuti. Yeah!


Bagaimanapun, adat bertanding. Ada kalah dan ada menang. Kemenangan bukan untuk pasukan Johor. Dan rakyat Johor, esok Ahad wajib datang bekerja yea...hihi. 

Pada masa yang sama, ada Festival Filem Malaysia. Saya tak tengok, cuma dapat tahu pagi tadi semasa datang ke sekolah, berita pagi menyampaikan Lisa Surihani menang Pelakon Filem Terbaik menerusi Filem 'Istanbul Aku Datang'. Wah....my 'feberet' cerita...

"saya tak mintak peluang kedua, tapi saya hanya mintak satu peluang.."

Masih ingat dialog ini. Entah begitu terkesan di dalam hati. 

Semalam juga, rupa-rupanya selain kecoh dengan bola. Pelakon Rozita Che Wan selamat bersalin. Ceh! cerita artis pula diselitkan. Bukan nak cerita sebab saya peminat Che Ta, cuma kecohnya sebab bayi perempuan yang dilahirkan tersangatlah comel dan cantik seperti ibunya. Isu utamanya sekarang saya sibuk nak masukkan dalam penulisan ini, bukanlah sebab kelahiran tersebut. Tapi perkongsian yang memandai dan mengarut dari penjual produk kesihatan. Ramai betul mengambil kesempatan melariskan produk masing-masing dengan alasan untuk cantik, sihat dan cergas seperti Che Ta. Aik?

Kenapa agaknya macam gembira sangat munculnya bulan November?


Sebabnya bulan terakhir sebelum kita semua bercuti. Alhamdulillah tahun kedua tidak menjaga peperiksaan awam. Macam kurang percaya...pastu cuti nak tengok si comel panda. Masih belum tengok lagi..huhu

Oh yea, tak salah kalau hendak berkongsikan gambar Malam Bintang Sehebat yang berlangsung pada malam 31 Oktober yang lepas. Agaknya, inikah malam terakhir saya datang ke sekolah? Eh ada lagi satu malam....sebelum peperiksaan Fizik nanti....huyuuuuuu....


Akhir kata, tak lupa juga kepada anak pelajar semua. Cikgu berharapan besar untuk melihat kalian berada lebih tinggi di masa depan. Walau apa jua keputusan SPM yang kamu terima tahun depan, jangan berhenti berusaha. Cemerlang itu sangat subjektif maksudnya. 

InsyaAllah, semoga Allah memberkati kamu dan memudahkan kamu menjawab soalan periksa dengan sebaiknya. Semoga cemerlang di dunia dan sejahtera di akhirat. Amin.

May Allah bless us.

Friday, October 31, 2014

FROZEN in the house.


Hi, Assalamualaikum.

Awal pagi begini, kalau hari sekolah memang dah tiga jam dalam perjalanan ke Jepun. Tak mungkin akan ada sebarang cerita ditaip waktu-waktu begini..hihi

Baru-baru ini seorang teman sebelah meja berkongsi resepi membuat kuih sejuk beku atau lebih 'femes' dikenali sebagai 'FROZEN FOOD'. Setelah mencari bersama pakcik Google ternyata kebanyakkan rahsia kuih sejuk beku tidak dipaparkan. 

Rata-rata hanya berkongsi teknik yang sama. Ada dua teknik yang serupa digunakan oleh suri rumah tangga @ ibu mithali diluar sana. 

1. Beku terus.
Karipap yang sedia dicetak akan disimpan ke dalam peti ais sekejap, mungkin dalam beberapa minit. Kemudian dikeluarkan untuk terbalikkan karipap tadi dan disejukkan lagi beberapa minit. Selepas beku sepenuhnya, barulah disimpan dalam bekas kedap udara ataupun plastik. Akhirnya boleh simpan dalam peti ais semula.

2. Goreng separuh.
Teknik kedua ini paling banyak dikongsikan. Karipap yang sedia dicetak, digoreng separuh masak. Kemudian setelah sejuk dan minyak telah kering, barulah dibungkus dalam bekas kedap udara ataupun plastik. Seterusnya disimpan dalam peti ais.


Bagaimana dengan teknik yang saya dapati dari rakan sebelah meja?

Memang saya tak jumpa teknik ini apabila bertanya kepada pakcik Google. Penat juga mencari. Tapi tak berpeluh lagi..heh.

Menurut rakan saya, teknik ini diperolehi oleh kakaknya yang telah mengikuti kursus makanan sejuk beku.

Maafkan saya jika teknik ini sebenarnya yang dipraktikkan oleh pengusaha sejuk beku yang selama ini menjadi rahsia peribadi dan teknik ini bukan untuk sebaran ramai. Maafkan saya. Bagi saya ilmu perlu dikongsi, rezeki ada dimana-mana. 

Caranya mudah juga dan saya kira lebih baik sebab lebih sihat. Kemudian karipap boleh disimpan lebih lama. Karipap yang sedia dicetak dikukus sekejap dalam 3 minit dan apabila sejuk, barulah disimpan dalam bekas kedap udara ataupun plastik. Setelah siap boleh disimpan dalam peti ais. Mudah sahaja.

Apabila mahu digunakan, keluarkan peti ais dan terus digoreng tanpa perlu menunggu karipap pada suhu dapur. Mudah macam goreng nugget kan.


Bagaimana? Agaknya laku ke kalau dijual? Tapi rasanya sekadar hobi suka-suka. Mudah ada kuih sejuk beku, kalau ada tetamu senang nak dihidang. 

Sesiapa yang hendak mencuba dipersilakan. Boleh buka pernigaan kuih sejuk beku. Kalau berminat nak tahu lebih lanjut, boleh email nooryan315@gmail.com.

Ok, nak ucap selamat malam ke? :P

Tuesday, October 28, 2014

Tips menabung.


Assalamualaikum.

Hai semua. Ok malam ini saya seperti mahu berkongsi cara atau pun tips menyimpan duit yang boleh diamalkan. 


1. Gaji terus simpan.
Ada dua cara penyimpanan melalui duit gaji. Pertama telah bersetuju membuat pemotongan gaji dengan bank atau yang kedua membuat simpanan sendiri dalam akaun bank tertentu sebelum merancang perbelanjaan bulanan.

Langkah pertama adalah yang terbaik bagi mereka yang memang belum mampu menyisihkan duit gaji yang diterimanya.

Selepas penyimpanan, dengan senang hati boleh mengagihkan duit gaji masing-masing mengikut keutamaan. 

2. Tabung.
Mudah nampak.
Sediakan tabung untuk menyimpan. Letakkan tabung ditempat yang mudah dilihat dan berdekatan. Contohnya kalau dibilik, depan cermin sebab kita selalu selfie dengan cermin kan..hihi

Motivasi.
Kadang kita perlukan motivasi untuk rajin menabung. Belilah tabung yang cantik dan menarik untuk memulakan tabungan. Tapi elakkan beli tabung yang terlampau besar, sebab motivasi menurun sebab tengok tabung banyak kosong. Kecil cepat penuh..hihi

Jenis duit.
Pilih jenis duit yang hendak disimpan. Contohnya anda kurang suka duit syiling, sebab berat untuk dibawa. Maka, sisihkan duit syiling setiap kali anda dapat.

Sisih mengikut warna.
Ada tips saya dapati menyisih duit mengikut warna. Contohnya duit kertas RM 20 agak jarang ditemui. Maka, apabila kita dapat duit berwarna jingga terus kita sisihkan. Namun, kalau jarang sangat dapat RM 20 cepat-cepatlah tukar ke warna lain. Jenuh pulak nak penuh tabung nanti, terbantut usaha murni nanti...huhu

Lebihan belanja.
Maksud lebihan duit adalah duit yang telah kita gunakan untuk berbelanja dan ada baki. Baki tersebut mungkin RM 1.30 atau RM 3.60. Jadi jangan segan-segan memasukkan baki ke dalam tabung. 

3. Sorok.
Kelakar juga sebenarnya teknik menyorok. Mudah sahaja. Kita simpan atau sorok duit dimana-mana tempat. Mungkin dalam tempat simpanan kad pengenalan. Mungkin bawah bantal, mungkin poket seluar, mungkin dimana-mana sahaja. Hasilnya? Anda tentu terkejut selepas beberapa lama, tiba-tiba semasa mencari barang lain, terseluk sana sini, anda terjumpa duit. Masa itu mesti terfikir-fikir...eh duit siapa? Konon........hahaha. Ataupun boleh juga pura-pura terkejut selepas tahu duit sendiri dan anda jerit kuat-kuat. Mesti ramai yang akan mengaku tuan punya duit itu nanti...hihi



Ini antara cara saya memulakan tabungan. Semua cara diatas masih dipraktikkan. Kalau ditanya cara mana satu paling bagus untuk dicontohi. Secara jujurnya cara pertama pemotongan terus dari duit gaji yang terbaik. Sebab tangan tidak akan gatal-gatal dan kepala tak mungkin boleh memanipulasikan duit gaji anda lagi.

Bagaimanapun teknik penabungan juga antara yang terbaik. Sepanjang pengalaman sebelum ini saya pernah menyimpan syiling sehingga RM 200 dalam masa setahun. 

Tapi sejak jarang menggunakan tol, dan kalau menggunakan tol pun sudah banyak menggunakan TnG, jadi pengumpulan duit syiling semakin berkurang. Saya mula bertukar menyimpan not berwarna biru dan kemudian beralih kepada warna hijau pula. Alhamdulillah, Raya Aidilfitri yang lepas saya berjaya mengumpul lebih RM 400. Boleh buat duit raya untuk budak-budak.

Sebenarnya, kekuatan menabung terletak pada diri masing-masing mengikut target dan tujuan. Ada orang meletakkan target menabung hendak membeli sesuatu atau untuk bercuti bersama keluarga. Apa jua tujuan anda semua, yang pasti usaha baik lagi murni ini dapat meningkatkan ekonomi masing-masing dikala negara dalam keruncingan ekonomi.


Mungkin duit tabungan hari ini pembuka jalan untuk memenuhi impian menjadi penternak berjaya...........hahahaha (kita gelakkan dulu).


Suntikan Mati.


Assalamualaikum.

Hari ini hari selasa. Jika kita kekurangan mood untuk hari ini, disarankan memakai pakaian berwarna merah jambu ataupun ungu. Menurut kajian boleh meningkatkan dan memotivasikan seseorang untuk bergiat aktif seharian. 

Ohhh.....kajian semata-mata. Saya tetap dalam emosi tak seronok. Hukhuk... Buktinya semalam dah terlelap lebih 8 jam, sepatutnya saya bersemangat. Tapi sekarang, ketika menaip ini saya masih lagi mengantuk menjaga peperiksaan yang hanya mengambil masa 1 jam 15 minit. 

Saya terpaksa juga mencuri masa berblogging nampaknya. Tinggal 15 minit sahaja lagi. Saya terjumpa sesuatu....


Alahai....kejamnya sampai mahu disuntik. Entah akhbar mana entah. Mungkin sekadar mengusik.

Mencari pasangan memang mudah, tapi mencari yang serasi dalam segenap segi, perlu penelitian. Ok. Cukuplah eh..


Friday, October 24, 2014

Salam Akhir Tahun.


Hari ini Jumaat. Penghulu segala hari. Hari Jumaat yang terakhir untuk tahun hijrah. Esok sudah masuk tahun baru, 1 Muharam 1436H. 

Kalau mengikut perkiraan tahun hijrah, hari ini pada tahun hijrah yang lepas merupakan detik yang sangat bersejarah. 

Terima kasih memilih kita.
Terima kasih berjanji dan setia.
Terima kasih datang bawa famili merisik kita. 

Rasa tak percaya pula, dah kahwin...boleh duduk sama-sama, boleh jalan sama-sama.


Salam Akhir Tahun.


Thursday, October 23, 2014

Dua puluh tiga.




Aku dan kamu ada sesuatu
Pantas waktu berlalu
Terimalah seadanya
Tiada apa yang sempurna

Walau apapun yang terjadi
Harus tabah kita hadapi
Segala apa yang kita lalui
Menjadi kita yang hari ini

Fikir sebelum bicara
Jatuh sebelum terluka
Pasti adanya suka dan duka
Pasti ada menangis dan ketawa

Berjanji biar pasti
Berjanji ditepati




Saturday, October 11, 2014

Resepi : Serunding Anak Menantu.


Semalam saya jadi rajin hendak mencuba resepi baru. Serunding kelapa bersama daging korban. Sebenarnya lama nak cuba resepi ini sejak berhari raya Aidilfitri yang lepas. Sebabnya nampak serunding emak mentua lain benar dengan serunding emak sendiri. 

Makanya saya tunggulah raya Aidiladha pula sebab beraya di Muar pula. Malangnya emak mentua dah siap tempah serunding dengan orang kampung. Alaaa....hancus musnah impian nak curi resepi.

Tapi tak mengapa dengan bantuan emak sendiri, kami reka-reka serunding emak mentua berdasarkan rasa-rasa 'kunjungan' berkat raya.

Kita ringkaskan cerita, saya kongsikan resepi serunding misteri itu. Saya namakan Serunding Anak Menantu.

Bahan-bahan.
Kelapa parut - disangan (goreng tanpa minyak)
Daging - direbus dan dikerat 18x
Bawang merah - 3 ulas
Bawang putih - 3 ulas
Kunyit
Halia
Ketumbar + Jintan - 1 sudu
Lada putih + Lada hitam - 1 sudu
Garam + Gula + Kiub ayam
Minyak - untuk menumis

Cara memasak.
1. Bawang-bawang, kunyit, halia, ketumbar, jintan, lada putih dan lada hitam kisar. Gunakan air secara minima.
2. Tumis bahan yang dikisar sampai naik bau. Masukkan daging bagi nak pastikan daging ada rasa rempah. Kacau sampai kering.
3. Masukkan kelapa yang siap disangan. Guna api kecil dan kacau sampai kering. 

Tadaaaa......


Sebelum itu minta pendapat anak emak mentua. Tapi macam biasa responnya. Dah boleh agak bagaimana...hahaha.


Ok la. Serunding Anak Menantu selamat dihidang. Esok nak bawa ke sekolah. Nak tengok komen isteri solehah dan ibu mithali bagaimana pula. Heh :P


Friday, October 10, 2014

Minat.


Menurut Irfan Khairi ;
"Lakukan apa yang kita minat. Minat akan memberi motivasi, disiplin dan semangat tanpa perlu banyak tenaga. Antara kunci kejayaan adalah minat."

Apa minat saya?

1. Kemaskini blog.
Kalau banyak yang saya baca, saya lihat dan saya alami. Semakin banyak yang saya hendak kongsi. Sebagai inspirasi orang yang rajin "google" dan saya di kemudian hari. Minta maaf kalau ayat ada terkasar. Kalau kurang setuju boleh komen. Kalau tak suka terus jangan baca...heh

2. Memasak.
Eh eh bukan hendak memukul gendang sekampung. Minat memasak bukan bermakna saya handal di dapur. Bukan juga bermaksud enak rasanya. Saya minat mencuba resepi baru. Apatah lagi kalau resepi tersebut sudah menjadi viral. Wajib cuba!

3. Haiwan.
Entah kenapa jiwa kanak-kanak yang jakun melihat haiwan ada dalam diri ini. Sebab bertubuh kecil menyebabkan virus ini masih ada dalam badan? Lama tak jalan zoo....nak tengok panda....huahua..

4. Berniaga.
Haaa...ini bukan secara tetap. Sekadar suka-suka. Tiga tahun sebelum ini berturut-turut buat jualan kerepek raya. Ohsem gile! Lepas itu ada jual tudung, ada jual stokin kaki, ada stokin tangan. Adalah untung sikit seposen dua. Tapi seronok tak terkata. Tips yang saya baca dari mereka yang berjaya dalam bidang jual-beli adalah ikhlas nak membantu orang lain dan hendak mengikut sunnah. Berniaga kan sunnah Rasulullah. Untung sikit tak mengapa. Dapat pahala banyak..kan kan.

5. Tidur/rehat.
Ini bukan minat. Ini sakit dalaman...haha


Ok semua, Salam Jumaat.

Panasnya cuaca....best pulak kalau dapat abc kan kan


#MyCyberSale : Tudung


Assalamualaikum.

Rasanya ini macam tiada kaitan dengan #MyCyberSale. Saja mahu berkongsi, kalau nak dapatkan tudung bawal yang tidak jarang dan juga lebar boleh dapatkan di facebook/zetinorani. 

Selain tudung, ada juga jual shawl labuh, stokin kaki, stokin tangan dan barangan kecantikan. 


Jom kita sama-sama tolong orang Islam berniaga. Berniaga kan sunah Rasulullah.


Thursday, October 09, 2014

Kalaulah kita TAHU bersyukur.


Alhamdulillah.

Hari ini seorang pakar motivasi Raja Shamri b Raja Husin datang ke sekolah. Jujur, saya tidak kenal beliau dan tidak pernah melihatnya. Tapi paparan layar tidak menipu yang beliau pernah keluar di televisyen.

Kisah hidupnya sangat menyentuh hati. Boleh saya yakin 100% yang berada di dalam dewan baik pelajar dan baik guru ada mengalirkan air mata mendengarnya.

Drama arahan Erma Fatima dan Rashid Sibir pun tidak mampu membuat kita tersangat tersentuh dan mengalirkan air mata jika drama tidak diiringi dengan latar muzik yang bersesuaian. Tanpa muzik, hanya cerita dari mulutnya telah membuatkan semua hati meruntun.

Raja Shamri adalah insan terpilih. Allah tahu dia mampu menanggung beban sebegini hebat. Tiada insan lain sekuatnya. Tiada keluarga lain yang mampu tabah seperti keluarganya.

Bergelar OKU sejak kecil dan dilahirkan dalam sebuah keluarga kurang kemampuan membuatnya bermotivasi tinggi bagi mengubah nasib diri dan keluarganya.

Tips kejayaan beliau sama ada cemerlang dalam peperiksaan ataupun kerjaya, dunia dan akhirat kena seiring. Kesimpulan yang saya boleh buat :
1. Hormat orang lain. Jangan biadap. Walau dengan sesiapa, yang tua dan juga yang muda.
2. Rajin membantu. Banyak memberi, makin banyaklah yang menerima.
3. Rajin solat dan mengaji. Solat Dhuha untuk jemput rezeki.
4. Gembirakan hati orang lain untuk lebih gembira.
5. Bersyukur dengan apa Allah beri.

Bahagian kelima yang paling berat, sebab kita ada sikap tamak. Apa yang ada tidak disyukuri. Yang tak dapat asyik diminta-minta.

Kalaulah kita tahu bersyukur.

Kalaulah kita tahu bersyukur. 



Tuesday, October 07, 2014

Imbasan kenangan 2013.


Assalamualaikum.

Selamat Hari Raya Aidil-Adha.

Hari ini muncul pula kekuatan untuk menaip kenangan ataupun pengalaman yang telah dilalui sepanjang tahun 2013. Tujuan menaip? Untuk pembacaan sendiri supaya tidak lupa. Selain itu, untuk panduan jika membawa kebaikkan kepada mereka yang mencarinya dalam laman maya.


Kelantan TRIP : Tahun Baru Cina
Bermula dengan angan-angan. Proses perancangan yang berlaku dihujung waktu. Kerana nak dapatkan persetujuan Mak dan Abah. Memang semua adik beradik sedia maklum yang Abah tak mungkin akan meninggalkan segala 'belaan' dalam satu tempoh yang lama. Akhirnya bersetuju untuk mengikuti jalan-jalan ke Kelantan.

Memandu bersendirian dengan mengikuti secara dekat kereta famili angah. Kemudian penempahan rumah tumpangan yang kurang memuaskan, tapi masih boleh didiami selama 4 malam. Hampir semua tempat membeli-belah di pelusuk Kelantan sudah kami redah. Dalam keadaan cuaca yang gerimis dan mendung kami selamat mengikuti trip selama 5 hari.

Keseluruhannya, semua bahagian daerah Kelantan mudah dicari. Jalannya dan papan tanda senang nak faham. Kalau dapat pergi lagi mungkin bukanlah dimusim cuti sekolah. Sebab? Kelantan sesak sangat!

Ada beberapa cerita telah dikongsikan di sini. TRIP 1. TRIP 2. TRIP 3. TRIP 4. TRIP 5.


PRU-13 : 3 Mei
Bersedia menjadi Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk saluran ke 3 dari 6 saluran di pusat pengundian SMK Permas Jaya merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Sehingga hari ini masih lagi bagaikan mimpi dapat berhadapan dengan komuniti yang berbeza pahaman politik. Apatah lagi berhadapan dengan ejen parti yang dilantik. Darah sentiasa berderau. Waktu bersenggang dan nak melepak juga belum dapat meredakan hati yang sentiasa berdebar-debar. Manalah tahu ada kemungkinan diluar jangkaan kita.

Dengan adanya pengalaman ini, rasanya mahu menjadi KTM untuk PRU akan datang. Masih berpeluang lagikah?

Ramai tak percaya saya adalah KTM. Tapi polis penggiring, ejen parti dan pengundi panggil saya PUAN. Mereka menghormati saya walaupun saya kecil orangnya. Heh.


Saya kurang pasti adakah pengalaman dan kenangan PRU-13 sudah ditulis dalam blog atau tidak. Tapi hanya jumpa ceritanya disini. PRU-13.


Lawatan Sekolah : Mei-Jun
Memasukki tahun ketiga mengikuti rombongan Persatuan Sains dan Matematik. Bagaimanapun fasa tahun ini berubah pula. Tiada lagi memasukki Sunway Laggoon. Bertukarkan kepada Ice-skating di Sunway Piramid. Pertama kali. Wow.


Rombongan kali ini memang banyak tempat dilawati. Bermula KLCC dengan Sunway Piramid. Kemudian esoknya ke tempat paling wajib untuk dilawati iaitu Genting Highland. Balik esoknya bergerak ke Pusat Sains Negara.



Merisik : 4 November.
Alhamdulillah. Selamat  dirisik pada tanggal 4 November 2914 bersamaan 1 Muharram 1434 H. Memang belum pernah ditulis tentang peristiwa penting ini dimana-mana. Bukan bermaksud tidak menghargai momen indah ini, tapi ada banyak perkara yang harus dijaga sehingga tarikh kami rasmi dengan akad nikah. Kecenderungan peristiwa ini dirahsiakan. banyak baiknya. Maka teruslah disimpan sehinggalah saya bocorkan saat ini.

Gambar? Entah ada disimpan atau memang tiada? Biarlah rahsia kot. Heh.



Dipinang : 25 Disember.
Sepertimana peristiwa merisik, begitulah juga bertunang. Kecenderungan dirahsiakan banyak baiknya, maka teruslah tersimpan secara rahsia. Gambar pun hanya dipaparkan pada posting tarikh nikah kami.


Majlis memang biasa sahaja. Atas permintaan saya yang tak mahu ada timbul unsur pembaziran. Seringkas mungkin seperti majlis merisik sebenarnya saya fikirkan. Sebab tak mahu menyusahkan kedua belah pihak. Tiada pelamin. Hantaran hanya barangan dan manisan yang biasa-biasa juga.

Saya tak minta dari famili yang berlebihan. Cuma saya minta dipercepatkan majlis rasmi sahaja.


Pindah : Dis
Mungkin inilah dikatakan rezeki kalau dah tertulis untuk kita, insyaAllah tak kemana. Rezeki nak kahwin agaknya. Saya dapat pindah bersama-sama kawan baik serumah saya sejak awal mengajar. Sebenarnya juga tidak berperancangan untuk pindah. Ada sebab saya diberikan kekuatan untuk mengisi eg-tukar.

1. Rezeki.
Ayat seorang rakan : " intan, ko mohonlah pindah, mana tau rezeki aku dan baby aku nak pindah ni...sebenarnya ada kat ko...kita kan selalu buat benda yang sama...ko mohonlah pindah"

Memang rezeki kita saling berkait. Kami sama-sama dapat pindah tanpa membuat rayuan jika nak dibandingkan orang lain. Siapa kata yang belum kahwin tak mungkin dapat pindah? Rezeki masing-masing kan.

2. Famili
Nyai baru sahaja meninggal bulan 4 yang lepas. Bertambah kritikal dengan masalah dalaman famili sebelah mak pula. Saya perlu ada di kampung untuk menangkis fitnah mak. Mak tak bersuara, biarlah saya bersuara. Mak adalah syurga saya. Saya perlu pertahankan syurga saya.

3. Kengkangan Kerja.
Ya. Saya sudah bosan dengan SMK Permas Jaya. Rencam. Suatu tatabahasa baru yang saya belajar dari senoir bagaimana mengelak kerja. Saya seronok bekerja. Seronok bekerja rupanya menjadi duri dalam hati mereka yang berkira-kira bekerja.

Bekerja lebih sedikit, tapi berkokok riuh sekampung. Duit gaji yang kita terima itu bukan semua milik kita, tidak takutkah nanti kalau Allah persoalkan di akhirat nanti? Biar kerja lebih dengan gaji yang biasa-biasa. Bukan kerja biasa-biasa untuk dapat gaji lebih.



4. Ubah angin.
Memang kengkangan kerja menyebabkan saya hendak berubah angin. Lagipun masa mohon eg-tukar, saya belum ada mana-mana komitmen. Belum dirisik dan belum bertunang.

Apabila saya bertanyakan perancangan masa depan ayatnya telah berubah dari "takyah la pindah, nanti kejap je lagi dah nak pindah" kepada "terpulanglah, kalau ada baiknya..pindahlah"

Masa itu, saya fikirkan memang saya perlu banyak bersabar lagi.



ALHAMDULILLAH.
Alhamdulillah. Memasukki tahun 2014 berbagai lagi kenangan dan pengalaman baru. Semua memasukki diari hidup bagaikan peluru berpandu. Mungkin ini sahaja yang dapat saya kongsikan. Mungkin sesetengahnya sudah saya lupai secara sengaja ataupun tidak.

Masa berlalu dengan pantas. Saya akui, pengalaman mengajar kita menjadi lebih matang dan menjadi lebih rasional dalam mengambil dan melakukan sesuatu keputusan.

Saya juga masih percaya. Andai kita berniat nekad untuk menjadi lebih baik, Allah akan hantar orang yang baik-baik untuk bersama-sama kita.

Saya juga memahami konsep banyak kita memberi, insyaAllah banyaklah Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Allah sentiasa bersama kita.



Semoga kita semua sentiasa dibawah keberkatan dan keredhaan Allah.

May Allah bless us.

Amin.