Sunday, August 05, 2018

Jauh dan Kos



Assalamualaikum. 

Lama tak menaip. Sekarang banyak menaip dalam aplikasi Telegram sahaja. Banyak ditaip apabila timbul idea spontan. Kadang terfikir untuk dikongsi dalam blog yang semakin sunyi dan sepi ini. Sudahnya terus sunyi dan sepi bila nak disalin, tetapi bateri henpon dah krik-krik. Sadis kan.

Masa mula berpindah jauh dari negeri harimau selatan. Henpon saya beberapa kali dipalu dengan mesej sinis. Kenapa saya anggap sinis? Sebab ada bunyi udang disebalik batu. 

Entahlah. Pada mulanya saya elak sangat untuk berfikiran negatif. Malas nak prasangka buruk. Tak baik. Namun, kenyataan akhirnya terbongkar bila memang benar sangkaan saya.

Ayat bunga² bertanya khabar berita berlarutan dan menjadi sensitif apabila muncul ayat seperti ini...

"berapa kos balik kampung habis?"

"berapa kali balik kampung?"

"berapa hari dikampung?" 

"balik ke kampung yang mana?"

Eh kenapa ya? Susah nak jawab. Sebab saya tak pernah termuncul isu ini bila balik kampung.

Sejujurnya, saya dan suami tak pernah meletakkan sebarang budget berapa kos yang diperuntukkan apabila balik kampung.

Jika ada isu, mungkin berapa hari akan disaksamakan dikedua² kampung. InsyaAllah tiap kali kalendar kuda berwarna kuning muncul, kami akan terpacul di negeri harimau selatan.

Maklumlah, cuti kami berbeza. Dan perlu dirancang sebaiknya. Kadang sempat juga kami selitkan percutian famili kecil kami.

Kadang apabila balik kampung, ada agenda yang dirancang secara tiba² dikedua² keluarga seperti sambutan hari jadi atau makan² mengeratkan silahturahim.

Jika dah termasuk percutian, makan  bersama dua buah famili, tentu arah kos dah semakin meningkat.

Pernah juga saya berkongsi cerita ini bersama suami. Konon nak tahu juga berapa budget dia keluarkan untuk ditambah dengan budget yang saya keluarkan. Selalunya tak kesampaian pun, sebab perjalanan hampir 10 jam , kami kepenatan. Dan malas berfikir hal kecil begini dan anggapan kami akan jadi lebih 'hepi' tanpa kita banyak berkira².

Balik kampung kot.....
Kenapa perlu berkira. Kita nak hadap syurga dunia kita kan. Kalau dekat memang setiap minggu nak digilirkan balik kampung.

Sekali sekala kita gembirakan keluarga sendiri, sama² kongsi makan², bertukar cerita dan gelak ketawa. Seronok kan. Buat apa kita sibuk menyimpan duit berkepok² untuk masa depan yang tidak pasti. 

Selagi hayat kedua ibu bapa masih ada. Adik beradik masih ada. Sementara ada kesihatan dan umur panjang. Ada sedikit rezeki, kita kongsikan bersama.

Itu pendapat saya.
Mungkin kami tiada komitmen besar dan berimpian menyimpan aset dunia yang dihutangkan dengan bank sehingga pencen. 


Kami hepi dengan cara kami.

Ibu, papa dan al-fatih


Monday, June 04, 2018

Salam Ramadhan 1439H


Salam Ramadhan 19.

Sudah dipenghujung ramadhan rupanya. Impian dihati hendak sentiasa kongsi resepi 30 hari yang mampu dibuat. Tapi....dalam mimpi sahaja rupanya.

Jadi sempena cuti Nuzul Al Quran dan bercuti 3 hari, rajinlah ambil gambar dan menaip sedikit. Tetap selesai kemaskini pagi isnin juga...hihi. Melampau sibuk konon.


Biasanya jarang masak berat berbuka. Kadang sahaja. Paling mampu masak menu ringgan yang boleh dimasak dengan cepat.

Minggu lepas rasa rindu dengan roti sihat. Makan cecah milo panas lepas teraweh pun sedap. 

Tapi rancangan berubah bilaasak spageti petang khamis. Kuahnya banyak lebih. Simpan dan panaskan petang semalam. Letak lagi sosej dan oregano serta kepingan keju. Biar sejuk dan pekat. Sapu pada roti. Goreng guna planta dan telur. Siap dan sedap. Yummyyy!!


Ada ayam goreng. Jangan tanya resepi. Sebab beli di KFC....hihi


Haa....inilah spageti semalam. Masak masa cuti senang bagi makan si Al Fatih. Dia boleh ralit suap makan sendiri. Kalau makan nasi manja hendak bersuap pulak...😄😄😄😄


Sunday, April 22, 2018

Kejutan Tak Menjadi


Ini bukan sebab banyak masa percuma. Bukan sebab rajin. Bukan sebab banyak idea. Bukan dan bukan.

Hanya tak mahu kenangan hilang berlalu. Supaya tahun depan ada strategi baru untuk membuat kejutan. InsyaAllah andai panjang umur dan dimurahkan rezeki.

Ini bentuk pulutnya...
Tapi ini bekal saya ye...

Awalnya memang nampak seperti yang dirancang. Memang agak sibuk sejak awal April. Kesihatan pula agak terganggu sangat sebab pening kepala sejak balik dari Johor. Pergi klinik dua kali dan hampa jawapan doktor. MC pun tak bagi. Kita pula malu nak minta. Huhu...

Dua hari sebelum, kita dah ura-ura tak sempat nak buat apa. Penat...sakit kepala. Tak boleh nak fikir. 

Tambahan pula, memang khamis biasanya tak bawa bekal sebab balik awal. Memang macam malas nak masak pagi khamis.

Konon 'last minute' merancang nak buat pulut kuning dengan rendang ayam. Memang tak belanja apa, cuma pakai bahan sedia ada di dapur.

Pagi 12hb pula semua tak kena. Pulut kuning tak menjadi. Lembik. Rendang tak menarik. Arghhh....nampak stress la tak jadi buat special sempena besday tuan besar. Tapi bukan berlakon, memang stress tak jadi...haha

Dengan tak malu, bungkus juga suruh tuan besar bawa pergi kerja. Siap wasap tanya respon kawan-kawan. 


Tempahan kek pula jem pula. Boleh hantar petang selepas makan tengah hari. Kita dah gelabah, sebab takut lewat sangat. Maklumlah khamis balik awal.

Tapi perancangan Allah juga yang cantik bila difikirkan sedalamnya. Macam menjadi kejutan yang dirancang.

Tapi....tapi....

Tuan besar lagi bijak bistari. Dia simpan pula nombor telefon penghantar kek. Inilah yang kurang menjadi sebab dia dah tahu.......


Allhamdulilllah.
Selamat hari lahir papa Al Fatih. Semoga bertambah sweet....

Saturday, April 21, 2018

Macam Sandwich


Bulan April hampir ke penghujung. Cuba juga pagi ini menaip sedikit dalam blog. Sementara menunggu tuan besar balik berjogging. Tak dan sekarang nak mengikut jogging (baca sebagai jalan kaki), baik lagi saya berkebun dalam pasu walaupun hanya menyiram. Selebihnya tengok 611 bersama Al Fatih...hihi

Andai tidak terpost, nampaknya senasib dengan post lain....berkubur sebagai draf sahaja...huhu



Menu mudah pagi ini. Sandwich telur bersama mayonis dan kebetulan semalam bawa balik daun salad segar dari depan. 

Zaman saya sekolah sampai ke awal bekerja, saya memang tak minat langsung dengan sandwich. Bukan sandwich sahaja, burger dan sejenis makanan barat memang bukan pilihan. 

Tapi sejak orang Malaysia berani berevolusi resepi mengikut tekak orang Melayu, barulah saya boleh hadam sedikit. Apatah lagi bila pandai buat sendiri. Saya olah dengan apa yang saya suka. Jadi sandwich yang dulu bukanlah yang sekarang. 

Empat sebab kena pandai buat Sandwich

1. Sandwich menu paling murah untuk sediakan jika tiada idea sarapan pagi. Ada telur, tak pun sardin atau keju dan sapu dengan majerin atau butter atau gaul dengan mayonis. Siap. Ada sayur timun ke tomato atau salad itu dah jadi bonus.

2. Sandwich pun penuh dengan nutrien keperluan harian. Kurang minyak yang penting. Bertambah sedap dengan roti sihat (baca roti bijirin). 

3. Mudah dimakan bila-bila masa. Tak semestinya sarapan pagi. Jika rehat tengah hari pendek, boleh ngap sekeping sandwich dapatlah bertahan sampai petang.

4. Tak ambil masa lama. Takda alasan tak bawa bekal dari rumah. Sambil rebus telur boleh bakar sekejap roti atas kuali tak lekat. Hancurkan telur dan masukkan mayonis. Sapu pada roti dan siap.


Oklah. 
Tuan besar dah nampak dari kejauhan. Selamat mencuba. Tata..

Friday, January 19, 2018

Azam Pertama 2018. #1M1K


Bismillahirahmanirrahim..

Sudah terlambat agaknya bila baru mula menaip post pertama di tahun 2018. Hari ini sudah hari ke 18 berlalu.

Bermula 1 januari sekolah bermula, tak cukup tangan hendak menaip. Barangkali juga lupa adanya blog yang dibuka bagi mengasah bakat menulis dan berkongsi cerita. Paling utama, buntu ayat mana harus dimulakan bagi memulakan permulaan tahun baru.

Ya...masih belum bertemu impian dan harapan bagi 2018. Banyak suka dan duka silih berganti di tahun 2017, menyebabkan hati tak sanggup lagi merancang. Beratnya untuk redha dengan ketentuan Illahi yang memberi dan menarik nikmat sekelip mata. Allahuakbar!!

Bagi meningkatkan kepuasan diri. Azam pertama saya untuk tahun 2018 adalah nak tambah kemahiran membuat kuih tradisional. Maka dengan itu, kena rajin buat kuih. Kita tetapkan matlamat dengan 1 minggu 1 kuih. #1M1K



Seri muka labu.
Minggu pertama sekolah rasa nak makan seri muka. Oleh kerana pandan baru mula ditanam dan tak terfikir nak ambil lebih dari rumah mentua tempoh hari, jadi kita oleh guna labu yang dilenyek. Resepi agak-agak mengikut resepi seri muka durian. Rupa dah menarik, rasa menarik.


Kuih lapis.
Minggu kedua kita melapis kuih. Mudah juga kuih kukus. Dalam masa 1 jam dah siap. Tapi masa untuk dimakan kena tunggu sejuk baru molek untuk dipotong.


Kek kukus pisang.
Kali ini bukan minggu ketiga, tapi entah tengah gian nak mengukus. Tapi itulah, pahit pulak kek. Tak tahu maba silap. Kemungkinan besar mungkin jenis pisang kurang sesuai.


Karipap.
Mengubat kekecewaan, kita rehat sekejap menggunakan pengukus.maka muncullah air tangan kita si karipap inti kentang. Tambahan pula kita boleh sejuk bekukan dan mudah digoreng pagi untuk bento ke sekolah.


Apam gula merah.
Siapa kata dah kecewa tak boleh teruskan hidup. Kita cuba juga bercinta dengan pengukus. Sebenarnya dah lama termimpi nak buat apam. Tapi kengkangan mencari kelapa parut yang tak ketemu. Akhirnya jumpa satu kedai, tapi alahai....di parut sampai ke tempurung. Tak molek sikit warna kelapa.

Cukuplah untuk menunjukkan semangat mengobar-gobarkan impian azam tercapai. Akan datang menu minggu ke empat muncul bersama dengan resepi. InsyaAllah.

Azam pertama tahun 2018. Azam seterusnya masih dalam perancangan.

Semoga memberi manfaat.

Assalamualaikum.