Wednesday, February 03, 2016

Apa harapan kita?


Assalamualaikum

Hari ini cuba untuk menaip sesuatu. Pada awal tahun berniat mahu banyak menulis lagi, tapi mungkin tertumpu kepada blog Al Fatih. Sampaikan ke hari ini yang ada hanyalah tapak blog. Belum ada pengisian, mahu pun gambar. Perkara yang makin bertambah, bilangan isian dalam memori telefon sahaja. Seminggu sekali pasti ada aplikasi yang perlu dikorbankan. Malahan nota dan fail sekolah juga dikorbankan.

Hampir setiap hari ada sahaja berita kematian melibatkan anak kecil. Perasaan bertambah menusuk dalam hati apabila sudah bergelar ibu. Semalam bayi 4 bulan mati semasa dalam jagaan pengasuh. Ya Allah, tempoh EMPAT bulan masih terlalu awal dia diambil. Masih belum puas menyusu, memeluk, mencium, memandikan, menidurkan dan bermain dengannya. Penat lelah sakit payah bersalinkan, berjaga malam dan memenuhi keperluan si kecil belum luntur. 

Namun siapalah kita mahu melawan takdir. Sikecil nanti akan jadi penyambut ibu dan ayahnya di pintu syuga. Allah menjaganya lebih baik dari kita sendiri. 

Kemudian, saya terfikirkan apalah perasaan mak semasa kehilangan kedua kekanda saya. Kehilangan Siti Saleha yang keguguran semasa 7 bulan. Kemudian pemergiaan rakan sepermainan saya kak Umi Kalsum semasa umur 6 tahun. Kuatnya hati mak. Kuatnya perasaan mak. 

Saya mudah menangis mengenangkan kak Umi Kalsum. Sebenarnya saya semakin pasif kehilangan kak Umi. Saya jadi takut dengan orang dan takut hendak ke sekolah. Siapa sangka hari ini saya seorang guru dan wajib ke sekolah.

Sebenarnya apa yang kita ada hari ini semuanya hanya pinjaman. Kita pun belum tahu bilakah hari akhir kita. Sampai masa nanti, sama ada bersedia ataupun tidak, kita tak berkuasa menahan dari berlaku. Apa harapan kita? Semoga amalan kita yang tak seberapa mampu memimpin kita ke jalan menuju syurga. 



No comments:

Post a Comment

Terima kasih, may Allah bless you :)