Hi, Assalamualaikum.
Sekian lama tak menaip, bukan bermaksud awal tahun begini tersangatlah sibuk. Sebenarnya sangatlah lapang dan berehat sahaja rasanya. Awal-awal sedikit terkejut mungkin senang sangat bercuti dan berehat dirumah cuti hujung tahun yang lepas. Alhamdulillah, sihat walafiat sehingga saat menaip hari ini.
SISTEMATIK.
Selepas beberapa ketika ini, saya rasakan bahawa kesibukkan hanya berlaku apabila kita bekerja disaat-saat akhir. Apatah lagi kalau kita sering kali suka menangguhkan kerja yang sedikit awalnya, terus lama kelamaan menjadi semakin banyak. Jikalau perancangan dilakukan secara awal dan sistematik, insyaAllah semua hal dapat berjalan dengan baik dan tiada istilah 'stress'.
BERSEDIA.
Ini jadual waktu untuk tahun ini sementara menunggu kedatangan anak pelajar tingkatan 4. Maksudnya selepas bercuti dan berhari raya cina nanti.
Tahun ini sama ada bersedia atau tidak, saya redha sahaja mengajar tingkatan 5. Sesungguhnya saya tidak tahu menahu latak belakang prestasi, tingkah laku dan sikap mereka semua. Semuanya saya bermula dengan sifar. Dengan membuat anggapan mereka adalah antara calon terbaik dia sekolah lama mereka ketika tingkatan 3. Dan insyaAllah, akan menjadi yang terbaik untuk SPM 2014.
MASIH BARU.
Walaupun tahun ini merupakan tahun ke 5 saya bertugas secara rasmi sebagai seorang guru disekolah. Saya masih beranggapan saya hanya seorang guru baru yang masih perlu banyak belajar. Sebabnya seorang guru berjumpa dengan seorang manusia yang sentiasa berubah tingkah laku dan sikapnya. Pengalaman belum tentu dapat menentukan kecemerlangan seorang guru, tapi tanpa pengalaman siapalah guru tersebut.
PENGALAMAN 2013.
Pengalaman yang saya rasa dekat sangat di dalam hati sepanjang tahun 2013, mungkin tiga perkara. Paling tepat mungkin hanya satu sahaja. Tapj yang paling sesuai untuk dikongsi disini hanya satu juga. Pengalaman berkhidmat semasa Pilihanraya Umum PRU-13. Pada awalnya meletakkan nama sekadar suka-suka. Apabila diminta kebenaran untuk menjadi ketua, juga sekadar suka-suka. Sekian tiba harinya, menjadi gugup dan bimbang pula. Ya Allah, memang banyak-banyak berdoa sepanjang proses mengundi seharian itu, sempat ingatkan emak supaya turut juga doakan semuanya berjalan dengan baik. Menjadi seorang ketua dan berhadapan dengan ejen-ejen parti yang ada yang sudah berpengalaman, memang menakutkan saya. Tapi rupanya, mereka juga ada rasa hormat dengan ketua yang kecil molek ini. Ingat lagi saat saya terlupa nak menterai peti undi sebelum proses pengundian, selepas 5 orang mengundi barulah saya terperasan....sejuk gila takut masa tu.........rasa macam muka naik pucat nampak kelalaian diri sendiri. Mujurlah, ejen semua faham dan bertolak-ansur. Alhamdulillah. Pengalaman terbaik untuk 2013. :)
PELIK 2014
Memasukki minggu ke empat tahun ini, banyak juga saya rasakan diri ketinggalan zaman. Pernah tiba-tiba timbul fenomena isu perkataan kangkung yang bermacam-macam menu dikongsikan. Terfikir-fikir apakah yang berlaku? Rupanya isu dalam negara juga. Rakyat Malaysia ada sahaja yang kurang puas hati. Saya fikirkan tiada pun dalam mana-mana akhbar yang menulis rakyat Malaysia mati kerana kekurangan makanan. Terlebih makanan itu yang selalu ada. Sampaikan sekarang, pantang muncul produk kesihatan makanan. Cepat larisnya dan cepat juga hilang ceritanya. Macam goreng pisang panas. Seingat saya, zaman saya bersekolah dahulu pun susah juga. Tiada BRIM, barang memanglah murah, tapi gaji bapak tak juga beribu, harga kereta pun mahal. Sesuailah kadar peningkatan harga barang berkadar terus dengan kadar peningkatan gaji. Malah sekarang pun melancong ke luar negara pun bukan perkara luar biasa untuk rakyat Malaysia.
Kemudian, saya kepelikkan apabila begitu banyak pula perkataan #selfie. Eh...apa kebenda pula agaknya....so, saya gunakan pakcik google pula untuk lebih lanjut faham. Dapatlah air teh kopi seperti dibawah.
Selfie adalah satu istilah ongputih yang baru, yang secara rasmi telah diterima oleh Oxford Dictionaries. Selfie dijelaskan oleh Oxford Dictionaries sebagai:
"A photograph that one has taken of oneself, typically one taken with a smartphone or webcam and uploaded to a social media website."
Lebih kurang maksudnya:
Satu gambar seseorang yang telah diambil sendiri, biasanya diambil dengan telefon pintar atau webcam dan dimuat naik ke laman web media sosial.
p/s : #selfie : perahsantan
awak selfie kan..ngaku cepat :P
ReplyDeleteTak nak mengaku laaaa....haha
ReplyDelete